Friday, November 27, 2009

SELAMAT BERKORBAN


Pagi tadi, sebaik selesai sahaja solat Eid Adha yang diimamkan oleh Ust Hj. Shafie, pengerusi Surau, lebih tepatnya pada jam 8.45 pagi, telah berlangsung acara menumbangkan 7 ekor lembu yang dijadikan korban pada tahun ini.

Semua lembu berjaya dikorbankan oleh 3 pakar penyembelih, iaitu Ust Manas, Ust Hj. Hishamuddin dan Ust Hj. Zawawi. Majlis korban pada hari ini berakhir tepat jam 12.30 tengah hari, tidak melibatkan sesi sebelah petang seperti mana yang dirancangkan sebelum ini. Amat menakjubkan kerana semuanya dapat diselesaikan sebelum solat Jumaat. Inilah berkat kerjasama dan semangat bantu-membantu yang sedia terpupuk di dalam hati setiap peserta dan pekerja.

Dalam pada itu, ada sesuatu yang melucukan apabila lembu yang terakhir (lembu ke-7) menunjukkan sikap agresifnya dengan melompat dan menerjah pagar kawat surau menyebabkan riwayatnya terpaksa ditamatkan di tepi jalan, tidak di dalam kawasan surau..

Apa-apa pun, syabas dan tahniah kepada semua yang hadir dan memberikan kerjasama, termasuk kaum ibu dan anak-anak kecil yang turut sama memeriahkan lagi suasana hari raya pada hari ini.

Penutup kata, jangan lupa, bahawa masa untuk kita terus bertakbir belum lagi berhenti sebaik selepas acara korban pagi tadi. Penuhkan masa kita dengan memperbanyakkan bertakbir sehingga ke petang hari ke-13 Zulhijjah (Ahad- 30 Nov 2009).

Selamat menyambut Hari Raya Adha..

2 comments: