Friday, June 12, 2009

TAWARAN MENYERTAI PASUKAN PENGURUSAN JENAZAH

Pengurusan jenazah adalah salah satu daripada tuntutan kifayah ke atas ummat Islam. Dalam erti kata lain, di dalam setiap kawasan atau komuniti masyarakat, mesti ada satu orang atau satu golongan kecil yang dapat melaksanakan pengurusan jenazah ini. Kita tidak boleh saling harap-mengharap kepada orang lain kerana suatu ketika nanti, kita pasti akan bertemu dengan situasi dimana orang lain akan bergantung harap kepada kita, contohnya seperti ketiadaan imam yang dilantik sedangkan waktu untuk mendirikan solat berjemaah sudah lama berlalu.

Sehubungan dengan itulah, saya rasa terpanggil untuk duduk semeja bersama tuan-tuan para jemaah surau memikirkan konsep Fardhu Kifayah ini. Apakah wajar apabila berlaku satu kematian, kita terpaksa bersusah payah memanggil orang-orang luar untuk menguruskan jenazah dari kalangan kita sendiri? Apakah tidak jatuh maruah kita apabila tidak ada seorang pun di kalangan kita yang dapat menguruskannya? Apakah kita tidak akan dipersoalkan oleh Allah SWT kelak? Cuba bayangkan sekiranya si jenazah itu adalah sahabat baik kita yang selama ini sering membancuh teh untuk kita pada saban malam? Apakah kita tidak mahu memberikan penghormatan terakhir kepada beliau? Penghormatan dalam bentuk menguruskan jenazahnya sehingga selesai dikebumikan atau ditalqinkan? Cuba bayangkan pula kalau si mati itu ibu, bapa, anak atau isteri kita pula? Takkan kita nak tengok dari luar bilik mandi jenazah semata-mata? Sebaik-baiknya kitalah sebagai anak, suami atau bapa yang memandikan, mengkafankan, mengimamkan solat ke atas mereka dan menguruskan beberapa perkara lain yang berkaitan dengannya..Semua itu adalah sebagai penghormatan kita yang terakhir kepada mereka sebelum mereka berpindah ke alam barzakh sana..

Tuan/tuan yang berminat serta sanggup memikul beban amanah ini, sila daftarkan nama tuan/tuan sebagai Team Pengurusan Jenazah Surau Al-Hidayah. Insya’Allah beberapa siri kursus khas berkaitan pengurusan jenazah akan kita usahakan supaya kita semua dapat menguasai semua perkara berkait pengurusan kematian ini. Mudah-mudahan usaha kecil kita ini mendapat sanjungan, pujian dan kebanggaan daripada Allah SWT.

Ustaz Haji Kamal bin Ismail
11 Jun 2009

No comments:

Post a Comment