Sunday, June 28, 2009

APABILA AZAN BERKUMANDANG LAGI...


Pagi tadi, jam 4.30, hujan mulai turun..dari perlahan bertukar menjadi sederhana lebat..Alhamdulillah, syukur..hujan nikmat dan rahmat makin mencurah-curah. Dalam hati, saya terfikirkan apakah hujan yang turun ini berperanan mengejutkan manusia agar bangkit untuk mengabdikan dirinya kepada Allah SWT atau makin mengulit tidur-tidur mereka sambil dibaluti badan masing-masing dengan selimut yang tebal? Hanya yang istiqomah dengan amalan qiam sahaja yang mampu mengusir segala bisikan yang menghampiri cuping-cuping telinga. "Wahai Tuhan..masukkanlah aku dan keluargaku ke dalam golongan hambaMu yang sentiasa merindui untuk bermunajat denganMu di dua pertiga malam."

Azan Subuh laungan Bilal Jalani berkumandang lagi. Laungannya yang kuat dan kasar amat sesuai sekali dengan panggilan solat Subuh. Semoga suara beliau didengari oleh malaikat di lapisan langit nun di atas sana..

Suara azan di muka bumi ini adalah suara Allah yang diwakilkan kepada mereka yang bergelar muazzin. Setiap muazzin hanya menjalankan tugas memanggil, menyeru, mempelawa dan mengajak manusia supaya hadir ke rumah-rumah Allah. Satu tugasan yang sangat mulia, sepertimana firman Allah : "Dan siapakah yang lebih baik perkataannya dibandingkan dengan orang-orang menyeru manusia kepada Allah serta dia beramal soleh..". Azan laungan muazzin yang ikhlas hati sanubarinya pasti akan terangkat ke langit lalu didengari oleh malaikat yang menghuni alam di atas sana. Lalu mereka (para malaikat) pun turun untuk menyampaikan rahmat dan barakah daripada Allah kepada sesiapa yang menyahut panggilan tersebut. Sudah tentu amat beruntunglah orang-orang yang menyahut panggilan Tuhannya lalu mendatangi rumahNya semata-mata kerana menjalankan kewajipannya sebagai seorang hamba.

Tugas mengajak manusia ke jalan Allah adalah tugasan semua ummat Islam, tidak hanya terletak di atas bahu atau pundak imam-imam, pendakwah bertauliah dan mereka yang setaraf dengannya. Biar pun sedikit sumbangan kita terhadap perjuangan mengajak manusia kepada kebaikan, ianya adalah jauh lebih baik daripada kita bertindak mendiamkan diri..atau jauh lebih baik bila dibandingkan dengan orang yang menyokong atau menggalakkan perkara maksiat berlaku di hadapan mata mereka. Renungkan kembali kisah burung kecil yang berusaha menyelamatkan Nabi Ibrahim seperti yang pernah saya ceritakan suatu masa dahulu..Semua kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah. Kita akan ditanya oleh Allah :"Apakah yang telah kamu lakukan untuk menegakkan agama Aku di bumi ini?". Bayangkan apakah pula bentakan Allah kepada mereka yang berusaha untuk menggagalkan kerja-kerja agama dan usaha baik yang dilakukan oleh orang lain?

Penutup bicara pagi ini, saya ingin ucapkan terima kasih, syabas dan tahniah kepada ahli serta jemaah surau yang telah mendaftarkan diri mereka sebagai "Tetamu Allah". Jangan lupa banyakkan berdoa semoga kebaikan yang kita sedang lakukan hari ini akan berterusan bahkan semakin bertambah baik untuk masa-masa akan datang.

Bagi mereka yang masih malu-malu nak mendekatkan diri kepada rumah Allah, soalan dari saya : sampai bila kita nak tunggu hati ini tiada lagi rasa malu? Paksa-paksakanlah diri dan belajarlah menghilangkan rasa ego yang tersemat di dalam hati. Dengan alasan duniawi yang tidak diterima pakai oleh Allah, apakah lagi agaknya alasan kita apabila di akhirat kelak kita ditanya oleh Allah : "Kenapa kamu tidak dapat datang ke rumahKu setiap kali Aku memanggil kamu?"

Datanglah..jenguklah surau kita. Kalau tidak setiap hari pun, sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu..Tidak malukah kita dengan Allah..Dia memberikan kita sebegitu banyak nikmat untuk kita gunakan, tetapi untuk 20 minit berjemaah di rumahNya, kita sanggup beri alasan 'Tiada Masa"..

No comments:

Post a Comment