Sudah agak lama saya tidak menulis dan mengaktifkan blog surau ini, maklumlah 4 hari berturut-turut terpaksa bertungkus-lumus dan berkejaran ke sana-sini setelah di lantik sebagai LO (Guru Pengiring) bagi kontinjen dari luar Negeri Sembilan ke Ihtifal SMKA Peringkat Kebangsaan yang diadakan di SMKA Sheikh Mohd Said.
Berita mengenai kejayaan menganjurkan Perkhemahan Ibadat Anak-anak Cemerlang BWP pun belum dapat dimuatkan. Entry kali ini, saya ingin fokuskan kepada perkara yang lebih penting daripada berita perkhemahan tempoh hari.
Pagi semalam (Jumaat, 26 Jun 2009 ), Allah SWT telah mempertemukan saya dengan En. Sahak [sesiapa yang berkenaan di BWP tentu telah lama mengenali beliau]. Alhamdulillah..saya amat gembira dengan pertemuan tersebut kerana saya sendiri pun telah terlalu lama berharap untuk menemui beliau. Tetapi memandangkan masing-masing sibuk dgn komitmen masing-masing, pertemuan tersebut sering sahaja tertangguh. Berkali-kali saya ke rumah beliau tetapi hampa. Dalam pertemuan singkat (lebih kurang 45 minit) sebelum solat Jumaat semalam, akhirnya apa yang terbuku di dalam hati saya selama ini berjaya dileraikan. Begitu juga dari pihak Encik Sahak.
Secara jujur saya katakan, selama ini, beliaulah orang yang menjadi mangsa tohmahan saya terutamanya di dalam isu fitnah ke atas Surau Al-Hidayah. Perasaan geram, marah dan benci silih berganti menyelubungi perasaan saya. Mengapa ada manusia yang sanggup menaburkan fitnah ke atas rumah Allah? Ekoran perasaan amarah dan kurang berfikir panjang, ditambah pula dengan maklumat yang didengari daripada beberapa rakan (serta musuh yang tersembunyi), saya begitu pantas menuding jari melemparkan satu fitnah yang maha besar kepada manusia bernama Sahak ini. Saya telah salah-gunakan blog ini untuk menghentam beliau (saya tak tulis pun nama beliau dalam blog-tetapi sebahagian pembaca ada yang dapat mengagak siapa orang yang saya maksudkan).
Alhamdulillah..beberapa minggu kemudiannya, Allah memberikan petunjuk kepada saya dengan berlakunya beberapa pendedahan dan pengakuan beberapa orang yang tidak mahu melihat orang-orang BWP berterusan hidup dalam perpecahan. Akhirnya, kita dah dapat tahu :
siapa penyampai berita palsu kepada pihak SB yang menyatakan Surau Al-Hidayah telah dijadikan pusat pembangkang,
siapa pelapor kepada Akhbar Sinar yang menggunakan nama samaran AJK Bandar Warisan Puteri yang menjadi punca tersungkurnya kedai makan milik En. Arshad.
siapa yang menghantar sms mengarahkan boikot program Kawalan Keselamatan Puteri Emas, Cahaya dan Anggun pada petang sebelum diadakan perjumpaan ke-2 pada sebelah malamnya,
siapa yang menjadi dalang pos kawalan Puteri Emas dipotong sambungan elektriknya,
siapa yang menghantar surat layang kepada saya dikaitkan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menjalankan kutipan wang cara haram daripada orang ramai,
siapa yang pernah berkata akan memastikan saya hanya akan dilantik sebagai imam surau pada tahun ini sahaja kerana kuliah yang disampaikan terlalu panas,
serta beberapa lagi perbuatan yang ada kaitan dengan kes-kes seperti disebutkan.
Namun demikian, apa yang saya rasa cukup terkilan dan sedih, dalang tersebut bukannya orang lain..orang yang agak rapat juga dengan saya. Berbual bersama-sama ..Entahlah..cuma boleh saya katakan di sini, ianya umpama duri dalam daging, gunting dalam lipatan dan babi dalam virus H1N1..Memang tak dijangka langsung!!
Pun begitu, apa guna kita membalas kejahatan orang dengan kejahatan kita..bukankah itu menggambarkan bahawa kita pun turut sama jadi orang jahat atau bodoh? Apa salahnya kalau kita memaafkan sahaja orang seperti dia ni..cerita pun takkan jadi panjang dan martabat kita sudah tentu akan diangkat oleh Allah kerana kita bersedia memaafkan kesalahan orang..
Kepada si dalang saya saya maksudkan, kalau tuan terasa dengan tulisan saya ini, serta mengakui kesalahan tuan, segeralah bertaubat dan hentikanlah serta-merta perbuatan jahat tuan tersebut. Kita kembali kepada masyarakat perpaduan kita seperti sebelum ini. Let bygones be bygones..
Kembali kepada Encik Sahak..dengan rasa yang amat bersalah, malu, sedih dan ikhlas hati, saya serta para jemaah surau memohon maaf secara terbuka dari tuan di atas segala kesilapan dan kesalahan kami terhadap tuan. Walaupun kiranya tuan telah memaafkan kami, perasaan bersalah tetap menyelubungi kami kerana kami telah gagal mempamerkan satu role model yang baik untuk ditonjolkan kepada masyarakat kita. Semoga insiden yang berlaku selama ini akan menjadi pengajaran yang amat berguna kepada kita semua.
Dalam kuliah Subuh tadi, ada saya sentuh mengenai perasaan bersalah kami terhadap tuan serta nasihat saya kepada para jemaah agar jangan terlalu pantas menuduh orang lain sebelum dilakukan penyiasatan atau pertanyaan kepada orang itu sendiri..
Dalam kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih serta penghargaan kepada En. Sahak di atas sokongan mantap yang beliau berikan terhadap Program Kawalan Keselamatan Berbayar Puteri Emas, Anggun dan Cahya. Tidak ketinggalan juga kepada 130 orang penduduk di 3 Puteri ini yang memberikan komitmen padu serta kepercayaan kepada jawatankuasa program ini. Sama-samalah kita berdoa semoga persekitaran kita sentiasa dilindungi oleh Allah SWT daripada sebarang kejadian yang tidak diingini.
Akhir kata, selaku imam di surau ini, saya buat kali yang seterusnya, menjemput semua warga BWP untuk menunaikan solat secara berjemaah di surau kita dengan harapan rahmat Allah akan terus berlimpahan dan memasuki setiap rumah di BWP ini.
Muat turun kuliah Subuh saya DI SINI.
No comments:
Post a Comment