Sunday, June 28, 2009

APABILA AZAN BERKUMANDANG LAGI...


Pagi tadi, jam 4.30, hujan mulai turun..dari perlahan bertukar menjadi sederhana lebat..Alhamdulillah, syukur..hujan nikmat dan rahmat makin mencurah-curah. Dalam hati, saya terfikirkan apakah hujan yang turun ini berperanan mengejutkan manusia agar bangkit untuk mengabdikan dirinya kepada Allah SWT atau makin mengulit tidur-tidur mereka sambil dibaluti badan masing-masing dengan selimut yang tebal? Hanya yang istiqomah dengan amalan qiam sahaja yang mampu mengusir segala bisikan yang menghampiri cuping-cuping telinga. "Wahai Tuhan..masukkanlah aku dan keluargaku ke dalam golongan hambaMu yang sentiasa merindui untuk bermunajat denganMu di dua pertiga malam."

Azan Subuh laungan Bilal Jalani berkumandang lagi. Laungannya yang kuat dan kasar amat sesuai sekali dengan panggilan solat Subuh. Semoga suara beliau didengari oleh malaikat di lapisan langit nun di atas sana..

Suara azan di muka bumi ini adalah suara Allah yang diwakilkan kepada mereka yang bergelar muazzin. Setiap muazzin hanya menjalankan tugas memanggil, menyeru, mempelawa dan mengajak manusia supaya hadir ke rumah-rumah Allah. Satu tugasan yang sangat mulia, sepertimana firman Allah : "Dan siapakah yang lebih baik perkataannya dibandingkan dengan orang-orang menyeru manusia kepada Allah serta dia beramal soleh..". Azan laungan muazzin yang ikhlas hati sanubarinya pasti akan terangkat ke langit lalu didengari oleh malaikat yang menghuni alam di atas sana. Lalu mereka (para malaikat) pun turun untuk menyampaikan rahmat dan barakah daripada Allah kepada sesiapa yang menyahut panggilan tersebut. Sudah tentu amat beruntunglah orang-orang yang menyahut panggilan Tuhannya lalu mendatangi rumahNya semata-mata kerana menjalankan kewajipannya sebagai seorang hamba.

Tugas mengajak manusia ke jalan Allah adalah tugasan semua ummat Islam, tidak hanya terletak di atas bahu atau pundak imam-imam, pendakwah bertauliah dan mereka yang setaraf dengannya. Biar pun sedikit sumbangan kita terhadap perjuangan mengajak manusia kepada kebaikan, ianya adalah jauh lebih baik daripada kita bertindak mendiamkan diri..atau jauh lebih baik bila dibandingkan dengan orang yang menyokong atau menggalakkan perkara maksiat berlaku di hadapan mata mereka. Renungkan kembali kisah burung kecil yang berusaha menyelamatkan Nabi Ibrahim seperti yang pernah saya ceritakan suatu masa dahulu..Semua kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah. Kita akan ditanya oleh Allah :"Apakah yang telah kamu lakukan untuk menegakkan agama Aku di bumi ini?". Bayangkan apakah pula bentakan Allah kepada mereka yang berusaha untuk menggagalkan kerja-kerja agama dan usaha baik yang dilakukan oleh orang lain?

Penutup bicara pagi ini, saya ingin ucapkan terima kasih, syabas dan tahniah kepada ahli serta jemaah surau yang telah mendaftarkan diri mereka sebagai "Tetamu Allah". Jangan lupa banyakkan berdoa semoga kebaikan yang kita sedang lakukan hari ini akan berterusan bahkan semakin bertambah baik untuk masa-masa akan datang.

Bagi mereka yang masih malu-malu nak mendekatkan diri kepada rumah Allah, soalan dari saya : sampai bila kita nak tunggu hati ini tiada lagi rasa malu? Paksa-paksakanlah diri dan belajarlah menghilangkan rasa ego yang tersemat di dalam hati. Dengan alasan duniawi yang tidak diterima pakai oleh Allah, apakah lagi agaknya alasan kita apabila di akhirat kelak kita ditanya oleh Allah : "Kenapa kamu tidak dapat datang ke rumahKu setiap kali Aku memanggil kamu?"

Datanglah..jenguklah surau kita. Kalau tidak setiap hari pun, sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu..Tidak malukah kita dengan Allah..Dia memberikan kita sebegitu banyak nikmat untuk kita gunakan, tetapi untuk 20 minit berjemaah di rumahNya, kita sanggup beri alasan 'Tiada Masa"..

Saturday, June 27, 2009

PERMOHONAN MAAF SECARA TERBUKA

Asslamualaikum w.m;

Sudah agak lama saya tidak menulis dan mengaktifkan blog surau ini, maklumlah 4 hari berturut-turut terpaksa bertungkus-lumus dan berkejaran ke sana-sini setelah di lantik sebagai LO (Guru Pengiring) bagi kontinjen dari luar Negeri Sembilan ke Ihtifal SMKA Peringkat Kebangsaan yang diadakan di SMKA Sheikh Mohd Said.

Berita mengenai kejayaan menganjurkan Perkhemahan Ibadat Anak-anak Cemerlang BWP pun belum dapat dimuatkan. Entry kali ini, saya ingin fokuskan kepada perkara yang lebih penting daripada berita perkhemahan tempoh hari.

Pagi semalam (Jumaat, 26 Jun 2009 ), Allah SWT telah mempertemukan saya dengan En. Sahak [sesiapa yang berkenaan di BWP tentu telah lama mengenali beliau]. Alhamdulillah..saya amat gembira dengan pertemuan tersebut kerana saya sendiri pun telah terlalu lama berharap untuk menemui beliau. Tetapi memandangkan masing-masing sibuk dgn komitmen masing-masing, pertemuan tersebut sering sahaja tertangguh. Berkali-kali saya ke rumah beliau tetapi hampa. Dalam pertemuan singkat (lebih kurang 45 minit) sebelum solat Jumaat semalam, akhirnya apa yang terbuku di dalam hati saya selama ini berjaya dileraikan. Begitu juga dari pihak Encik Sahak.

Secara jujur saya katakan, selama ini, beliaulah orang yang menjadi mangsa tohmahan saya terutamanya di dalam isu fitnah ke atas Surau Al-Hidayah. Perasaan geram, marah dan benci silih berganti menyelubungi perasaan saya. Mengapa ada manusia yang sanggup menaburkan fitnah ke atas rumah Allah? Ekoran perasaan amarah dan kurang berfikir panjang, ditambah pula dengan maklumat yang didengari daripada beberapa rakan (serta musuh yang tersembunyi), saya begitu pantas menuding jari melemparkan satu fitnah yang maha besar kepada manusia bernama Sahak ini. Saya telah salah-gunakan blog ini untuk menghentam beliau (saya tak tulis pun nama beliau dalam blog-tetapi sebahagian pembaca ada yang dapat mengagak siapa orang yang saya maksudkan).

Alhamdulillah..beberapa minggu kemudiannya, Allah memberikan petunjuk kepada saya dengan berlakunya beberapa pendedahan dan pengakuan beberapa orang yang tidak mahu melihat orang-orang BWP berterusan hidup dalam perpecahan. Akhirnya, kita dah dapat tahu :

siapa penyampai berita palsu kepada pihak SB yang menyatakan Surau Al-Hidayah telah dijadikan pusat pembangkang,

siapa pelapor kepada Akhbar Sinar yang menggunakan nama samaran AJK Bandar Warisan Puteri yang menjadi punca tersungkurnya kedai makan milik En. Arshad.

siapa yang menghantar sms mengarahkan boikot program Kawalan Keselamatan Puteri Emas, Cahaya dan Anggun pada petang sebelum diadakan perjumpaan ke-2 pada sebelah malamnya,

siapa yang menjadi dalang pos kawalan Puteri Emas dipotong sambungan elektriknya,

siapa yang menghantar surat layang kepada saya dikaitkan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menjalankan kutipan wang cara haram daripada orang ramai,

siapa yang pernah berkata akan memastikan saya hanya akan dilantik sebagai imam surau pada tahun ini sahaja kerana kuliah yang disampaikan terlalu panas,

serta beberapa lagi perbuatan yang ada kaitan dengan kes-kes seperti disebutkan.

Namun demikian, apa yang saya rasa cukup terkilan dan sedih, dalang tersebut bukannya orang lain..orang yang agak rapat juga dengan saya. Berbual bersama-sama ..Entahlah..cuma boleh saya katakan di sini, ianya umpama duri dalam daging, gunting dalam lipatan dan babi dalam virus H1N1..Memang tak dijangka langsung!!

Pun begitu, apa guna kita membalas kejahatan orang dengan kejahatan kita..bukankah itu menggambarkan bahawa kita pun turut sama jadi orang jahat atau bodoh? Apa salahnya kalau kita memaafkan sahaja orang seperti dia ni..cerita pun takkan jadi panjang dan martabat kita sudah tentu akan diangkat oleh Allah kerana kita bersedia memaafkan kesalahan orang..

Kepada si dalang saya saya maksudkan, kalau tuan terasa dengan tulisan saya ini, serta mengakui kesalahan tuan, segeralah bertaubat dan hentikanlah serta-merta perbuatan jahat tuan tersebut. Kita kembali kepada masyarakat perpaduan kita seperti sebelum ini. Let bygones be bygones..

Kembali kepada Encik Sahak..dengan rasa yang amat bersalah, malu, sedih dan ikhlas hati, saya serta para jemaah surau memohon maaf secara terbuka dari tuan di atas segala kesilapan dan kesalahan kami terhadap tuan. Walaupun kiranya tuan telah memaafkan kami, perasaan bersalah tetap menyelubungi kami kerana kami telah gagal mempamerkan satu role model yang baik untuk ditonjolkan kepada masyarakat kita. Semoga insiden yang berlaku selama ini akan menjadi pengajaran yang amat berguna kepada kita semua.

Dalam kuliah Subuh tadi, ada saya sentuh mengenai perasaan bersalah kami terhadap tuan serta nasihat saya kepada para jemaah agar jangan terlalu pantas menuduh orang lain sebelum dilakukan penyiasatan atau pertanyaan kepada orang itu sendiri..

Dalam kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih serta penghargaan kepada En. Sahak di atas sokongan mantap yang beliau berikan terhadap Program Kawalan Keselamatan Berbayar Puteri Emas, Anggun dan Cahya. Tidak ketinggalan juga kepada 130 orang penduduk di 3 Puteri ini yang memberikan komitmen padu serta kepercayaan kepada jawatankuasa program ini. Sama-samalah kita berdoa semoga persekitaran kita sentiasa dilindungi oleh Allah SWT daripada sebarang kejadian yang tidak diingini.

Akhir kata, selaku imam di surau ini, saya buat kali yang seterusnya, menjemput semua warga BWP untuk menunaikan solat secara berjemaah di surau kita dengan harapan rahmat Allah akan terus berlimpahan dan memasuki setiap rumah di BWP ini.

Muat turun kuliah Subuh saya DI SINI.

Sunday, June 14, 2009

LAWATAN MUHIBBAH

Malang tidak berbau. Ketika program gotong-royong pada hari Sabtu, 13 Jun baru-baru ini, salah seorang ahli jemaah surau, saudara Azmi bin Mohd. Adnan ( No. 192 - Puteri Emas ) telah ditimpa satu kemalangan. Beliau bersama beberapa rakan yang lain ditugaskan untuk memotong dan menebang beberapa batang pokok di Puteri Anggun yang didapati rimbunan dedaunnya menghalang cahaya lampu jalan menyebabkan kawasan di situ gelap pada waktu malam.

Ketika berjaya memotong sebatang dahan (menggunakan chain-saw), dahan pokok tersebut jatuh ke tanah tetapi terpelanting lalu terkena tangga yang beliau gunakan sebagai tempat berdiri. Akibatnya beliau hilang keseimbangan badan lalu terjatuh ke atas jalan bertar menyebabkan tangan kiri beliau patah di pergelangan tangan. Rakan-rakan yang memerhati tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian tersebut berlaku terlalu pantas.

Petang tadi, selepas solat Asar, saya bersama Abang Roslan menziarahi saudara Azmi di Wad 4B Hospital Tuanku Jaafar. Kami hanya dapat meluangkan masa selama kira-kira 30 minit kerana terpaksa pulang segera untuk membuat persiapan ke surau pula. Dalam ziarah tersebut, saya menyampaikan salam dan doa daripada ahli jemaah surau serta sedikit sumbangan (wang tunai berjumlah RM200) daripada Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan 3 Puteri ditambah dengan derma yang diperolehi daripada beberapa orang penghuni di Puteri Anggun.

Kami mendoakan agar saudara Azmi cepat sembuh dan bersabar di atas musibah yang menimpanya.

Friday, June 12, 2009

TAWARAN MENYERTAI PASUKAN PENGURUSAN JENAZAH

Pengurusan jenazah adalah salah satu daripada tuntutan kifayah ke atas ummat Islam. Dalam erti kata lain, di dalam setiap kawasan atau komuniti masyarakat, mesti ada satu orang atau satu golongan kecil yang dapat melaksanakan pengurusan jenazah ini. Kita tidak boleh saling harap-mengharap kepada orang lain kerana suatu ketika nanti, kita pasti akan bertemu dengan situasi dimana orang lain akan bergantung harap kepada kita, contohnya seperti ketiadaan imam yang dilantik sedangkan waktu untuk mendirikan solat berjemaah sudah lama berlalu.

Sehubungan dengan itulah, saya rasa terpanggil untuk duduk semeja bersama tuan-tuan para jemaah surau memikirkan konsep Fardhu Kifayah ini. Apakah wajar apabila berlaku satu kematian, kita terpaksa bersusah payah memanggil orang-orang luar untuk menguruskan jenazah dari kalangan kita sendiri? Apakah tidak jatuh maruah kita apabila tidak ada seorang pun di kalangan kita yang dapat menguruskannya? Apakah kita tidak akan dipersoalkan oleh Allah SWT kelak? Cuba bayangkan sekiranya si jenazah itu adalah sahabat baik kita yang selama ini sering membancuh teh untuk kita pada saban malam? Apakah kita tidak mahu memberikan penghormatan terakhir kepada beliau? Penghormatan dalam bentuk menguruskan jenazahnya sehingga selesai dikebumikan atau ditalqinkan? Cuba bayangkan pula kalau si mati itu ibu, bapa, anak atau isteri kita pula? Takkan kita nak tengok dari luar bilik mandi jenazah semata-mata? Sebaik-baiknya kitalah sebagai anak, suami atau bapa yang memandikan, mengkafankan, mengimamkan solat ke atas mereka dan menguruskan beberapa perkara lain yang berkaitan dengannya..Semua itu adalah sebagai penghormatan kita yang terakhir kepada mereka sebelum mereka berpindah ke alam barzakh sana..

Tuan/tuan yang berminat serta sanggup memikul beban amanah ini, sila daftarkan nama tuan/tuan sebagai Team Pengurusan Jenazah Surau Al-Hidayah. Insya’Allah beberapa siri kursus khas berkaitan pengurusan jenazah akan kita usahakan supaya kita semua dapat menguasai semua perkara berkait pengurusan kematian ini. Mudah-mudahan usaha kecil kita ini mendapat sanjungan, pujian dan kebanggaan daripada Allah SWT.

Ustaz Haji Kamal bin Ismail
11 Jun 2009

Thursday, June 11, 2009

GOTONG-ROYONG BULAN JUN

Dimaklumkan bahawa Surau Al-Hidayah akan mengadakan Gotong-Royong Bulanan sebagaimana berikut :

Tarikh : 13 Jun 2009 [ Sabtu ]
Masa : 8.30 - 11 pagi

Aktiviti :

Lap cermin tingkap/ Vacuum karpet

Kemaskan setor
Balut Buku
Siram anak pokok

Mengecat benteng pagar
Menebang pokok di belakang blok A Puteri Emas dan di Anggun yang menghalang pandangan serta cahaya lampu jalan raya.

Makanan disediakan : Nasi Ayam.

Wednesday, June 10, 2009

PERKHEMAHAN IBADAT

Sebagaimana semua sedia maklum, Biro Pendidikan Surau Al-Hidayah akan menganjurkan Perkhemahan Ibadat (Mukhayyam), insya'Allah pada 20-21 Jun 2009 [Sabtu-Ahad]. Sasaran program perkhemahan ini adalah seramai 50 orang anak-anak Bandar Warisan Puteri yang berusia antara 7-12 tahun.

Sebenarnya, program perkhemahan ini telah lama dicadangkan dan dibentangkan di dalam mesyuarat tetapi kerap tertangguh kerana terdapat beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.

Tuan/tuan yang mempunyai anak di antara usia yang dinyatakan di atas, bolehlah mendaftarkan nama anak tuan/puan dengan bayaran hanya RM10 seorang. Borang penyertaan akan diedarkan mulai 11 Jun 2009 atau muat turunkannya DI SINI.

Di antara pengisian program ialah :

Ceramah/Motivasi Solat oleh motivator dan guru-guru yang dilantik.
Amali wudhuk dan solat.
Qiamullail.
Hafalan wirid dan doa selepas solat.
Riadah dan lain-lain.

Semua peserta diwajibkan bermalam di dalam khemah yang akan didirikan di tapak perkhemahan surau. Penggunaan khemah sendiri amatlah digalakkan. Para ibu bapa juga digalakkan sentiasa memantau aktiviti anak-anak masing-masing dengan menghadirkan diri ke surau pada setiap waktu solat berjemaah.

Semoga program ini mendapat sokongan padu daripada tuan/puan.

Monday, June 8, 2009

ALANGKAH SUKARNYA MEMBUAT KEBAJIKAN..


Tiba sahaja di rumah pada jam 3.45 petang tadi (setelah pergi memunggah perabut sumbangan Encik Ismail - 383 Puteri Anggun kepada surau Al-Hidayah), saya menerima sepucuk surat atas nama Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan tertulis dengan mesin taip di penjuru atas sebelah kirinya 'URUSAN SERI PADUKA BAGINDA'. Tanggapan pertama sebelum membukanya, ini adalah surat tak baik isi kandungannya.. Tepat sekali.. satu salinan surat MAKLUMAN MEMULAKAN KAWALAN KESELAMATAN BERBAYAR bertarikh 02 Jun 2009 yang diedarkan kepada semua penduduk Puteri Emas, Cahaya dan Anggun telah dikembalikan semula kepada saya melalui pos. Satu salinan surat tersebut ditujukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Saya tidak tahu siapa yang mengirim surat tersebut, tetapi tuan-tuan terutamanya penghuni di 3 Puteri ini tentu ada yang dah tahu..sebab saya yakin pengirimnya bukan penduduk Puteri Ayu, Bestari, Dahlia mahu pun Delima.

Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada si pengirim surat ini. Amarah tuan terhadap saya rupanya masih belum berkesudahan..atas apa motif pun, saya dapat menerima pada sebarang masa segala nasihat, pandangan dan tunjuk ajar dari tuan. Saya bersedia bila-bila masa untuk kita adakan sebarang rundingan dan perbincangan. Saya tahu dan saya mengaku, saya masih mentah dalam soal memimpin masyarakat..saya pun tak ada hasrat langsung nak jadi pemimpin orang-orang di sini. Apa yang saya buat, adalah atas kerelaan dan sebagai nak membalas jasa baik rakan-rakan yang sekian lama mengadakan kawalan di sekitar Puteri Emas khasnya, ketika saya ditugaskan mengajar di Gua Musang kira-kira 2 tahun yang lalu. Selama tempoh saya mengajar di Gua Musang, saya maklum bahawa rakan-rakan di sini ada menjalankan kawalan Rukun Tetangga pada sepanjang malam. Saya rasa amat lega kerana (insya'Allah) anak isteri saya di rumah tidaklah berada dalam ketakutan. Dalam masa yang sama, saya rasa amat kesal kerana tidak dapat menyertai mereka menjalankan kawalan malam..Oleh sebab itulah, saya dan beberapa rakan di sini, setelah melalui beberapa perjumpaan dengan sebahagian besar penduduk, bersetuju untuk mengupah beberapa orang pengawal bagi menggantikan kawalan sukarela ini. Pada awalnya, saya secara sukarela menawarkan diri untuk menjalankan survey mendapatkan persetujuan daripada penghuni 3 Puteri di sini.

Dalam perjumpaan terakhir bertarikh 25 Mei 2009, diadakan pelantikan AJK Kebajikan dan Keselamatan. Saya sedaya upaya cuba menolak daripada dilantik sebagai pengerusi memandangkan saya juga sibuk dengan tugasan sebagai imam I di Surau Al-Hidayah. Namun demikian, majoriti ahli yang hadir pada malam tersebut meminta saya menjadi pengerusi dan diberi kepercayaan untuk menjayakan Program Kawalan Keselamatan Berbayar. Akhirnya, saya akur dengan permintaan mereka.

Kepada tuan si pengirim surat tersebut, tonjolkanlah diri tuan supaya kita dapat bersemuka, berbincang cara baik dan berhemah. Lupakanlah soal perselisihan politik (sekiranya ada) dan marilah kita sama-sama berusaha mencari jalan ke arah keselesaan hidup kita dan rakan-rakan yang lain di persekitaran ini. Cara tuan bertindak sebegini sebenarnya menambahkan kehuru-haraan di kalangan kita dan secara tidak langsung membangkitkan kebencian yang membuak-buak di hati majoriti penghuni di sini terhadap tuan. Mungkin tidak lama lagi, tuan akan dikutuk, dikeji bahkan mungkin akan disumpah-seranah oleh mereka. Tergamakkah tuan menerima semua itu ? Bolehkah tuan tidur setiap malam dalam keadaan selesa? Cuba bayangkan.. tuan mungkin dapat tidur dengan dengkuran yang cukup melenakan..tetapi dalam masa yang sama para malaikat sentiasa mengutuk dan melaknat tuan di sepanjang malam hatta ke pagi hari serta mengaminkan doa-doa kutukan manusia lain ke atas tuan.. Apa tuan nak pilih cara hidup sedemikiankah ?

Saya yakin tuan adalah di antara beberapa orang penduduk yang tidak bersetuju dengan program Kawalan Keselamatan Berbayar yang diperkenalkan oleh pakatan penghuni 3 Puteri ini. ( Untuk makluman, sehingga tarikh hari ini, hanya 2 orang sahaja yang berterus-terang memberitahu saya bahawa mereka tidak bersetuju dengan program ini dan tidak mahu bayar yuran bulanan). Saya cukup menghormati pengakuan jujur mereka ini. Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan 3 Puteri sendiri tidak pernah memaksa mereka dan tuan untuk membayar yuran bulanan tersebut. Cuma dalam hal ini, mereka lebih terhormat berbandingkan diri tuan. Bagi saya, tuan adalah seorang yang penakut alias bacul kerana sering berbunyi di belakang pokok..takut nak bersemuka dan suka melontar batu lalu sembunyikan tangan..

Ayuh tuan..kenapa perlu takut untuk berhadapan dengan orang macam saya? Dari segi fizikal, tuan jauh lebih besar daripada saya..apatah lagi dari segi pengaruh dan kekuatan sokongan..Datanglah sama ada ke rumah saya atau pun ke surau supaya kita boleh bertentang mata dan menjernihkan apa-apa yang keruh..Buanglah segala kekusutan di dalam hati tuan, serta egoism yang membaluti hati yang semakin mengotor tu..

Akhir kata, saya sentiasa mendoakan agar tuan dan mereka yang mungkin satu team dengan tuan sentiasa diberikan hidayah oleh ALlah SWT. Kembalilah semula kepada kesucian Islam dan bertaubatlah serta berazamlah untuk tidak lagi bersama dengan kejahatan dan kezaliman manusia sesama manusia...sesungguhnya ALah SWT amat gembira dengan taubat hambaNya yang telah terlalu jauh tersesat dari jalan kebenaran.

Jalan kebenaran telah lama terbentang di hadapan tuan..cuma hati tuan sahaja yang masih enggan menerimanya. Adakah kerana perut terlalu banyak bercampur benda-benda haram atau sengaja nak tunjuk kesamsengan tuan di hadapan ALlah SWT? Hanya Dia yang mengetahui segala-galanya.

Ustaz Haji Kamal bin Ismail.

SEKADAR RENUNGAN..

Pagi ni, izinkan saya berceloteh sedikit mengenai dua orang sahabat yang telah lama berkawan rapat. Alhamdulillah..mereka berdua adalah sebahagian daripada ahli jemaah tetap surau ini..Sudah lanjut usianya tetapi, ikhlas saya katakan..tanpa mereka berdua, maka sunyi dan sepilah suasana surau ini, terutama selepas solat Isyak..sebelum kami pulang ke rumah masing-masing.

Ada 2 orang lelaki bernama Zambrose dan Roslan ( dia ni baru masuk Islam beberapa bulan yang lepas ).. Si Zambrose ini orangnya tidak pernah lelah dan malas dalam meminta dan memohon doa kepada ALLAH, sedangkan si Roslan, dia malahan tidak pernah meminta dan memohon kepada ALLAH,..selesai aje Ustaz Kamal beri salam, dia pun terus blah..tak nak tunggu untuk berdoa bersama-sama yang lain ( sebab nak jalankan tugas menyediakan air minuman kepada jemaah surau )

Kita tanya alasan masing-masing.. Si Zambrose ditanyai, 'Kenapa kau selalu meminta dan memohon kepada ALLAH?'.. 'Kerana mengikuti Rasulullah', jawab Zambrose mantap dengan gayanya sebagai bekas seorang atlit ( sambil hisap rokok Kent yang dibelinya semasa buat Umrah baru-baru ni..), kerana Rasulullah mengajari untuk berdoa dan memohon kepada ALLAH.

Sekarang giliran si Roslan pula, ditanyakan kepadanya, 'Kenapa kamu tidak mahu meminta dan memohon kepada ALLAH?' , lalu jawab Roslan, 'Kerana Mengikuti Rasulullah..', Wahh.. ( jawapannya tegas selayaknya kerana si Roslan ni bekas seorang tentera..) Roslan mulai menghuraikan, katanya : 'Pada waktu Isra' dan Mi'raj, Rasulullah pernah berasa malu dan langsung meminta dan memohon kepada ALLAH agar dapat keringanan dalam melakukan solat buat umatnya, padahal kewajiban solatnya belum pun dikerjakan lagi.. begitu juga aku, kata Roslan, aku malu meminta dan memohon kepada ALLAH, kerana nikmat yang telah ALLAH kurniakan kepadaku selama ini, yang aku tidak pun memintanya, tetapi Dia beri jugak kepada aku..Masih ada sebahagian besar daripada nikmat-nikmat tersebut yang masih tidak dapat aku mensyukurinya. Apabila aku tamak dan masih selalu memohon sesuatu daripadaNya sedangkan nikmat-nikmat yang aku dapat sebelum ini pun aku masih tidak mampu mensyukurinya lagi, aku bimbang sekiranya ia akan menjadikan aku kufur nikmat.. Sebab itulah aku lebih suka memilih qona'ah ( gembira serta puas hati dengan apa yang ada sekarang ).

Subhanallah..ternyata jawapan si Roslan ni sangat logik dan menunjukkan kewarakan, kezuhudan dan ketertibannya meski pun beliau baru lima bulan jadi 'Muallaf'. Jadi, kepada rakan-rakan jemaah sekalian..jangan mudah langsung menjatuhkan seseorang itu sesat, sebelum anda tanyakan dulu alasan dan dasarnya apa? Begitulah, jangan bermudah-mudahan membid’ahkan manusia yang melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya sebagai hamba.

Watak dalam cerita di atas ditulis bukan untuk maksud menghina..Abang Mat So'od pasti tersenyum kerana cerita di atas secara tidak langsung menggambarkan keakraban yang telah terjalin antara kita ( jemaah surau ). Ya Allah, tambahkanlah keakraban antara kami, jangan Engkau jadikan di kalangan kami, orang-orang yang mempunyai hasad dengki serta khianat kepada sesama saudaranya..Aamin !

Sunday, June 7, 2009

CERAMAH BULANAN : USTAZ NASARUDDIN ALI


" Assalamualaikum Ustaz Kamal, ni Ustaz Nasaruddin.. malam ni saya datang ke Surau Al-Hidayah, boleh ke..malam ni saya free.." Begitulah antara sedutan perbualan saya dengan Al-Fadhil Ustaz Nasaruddin..jam di tangan dah nak hampir 4.30 petang. Sikit lagi, masuklah waktu Asar.. Saya terus 'on'kan laptop, taip secepat mungkin iklan tentang ceramah bulanan yang akan disampaikan oleh Ustaz Nasaruddin pada malam ni.. Sebaik sahaja selesai solat Asar, saya terus berkejar ke Mega Way mencari kedai fotostat..tapi malangnya semuanya TUTUP!!

Namun begitu, Alhamdulillah saya ucapkan kerana dalam keadaan tidak dimaklumkan kepada semua warga BWP, kuliah ustaz malam tadi tetap mendapat sambutan ramai.. Bagi ustaz, kualiti lebih baik dari kuantiti.. Saya tak nak ulas lanjut pasal ceramah ustaz malam tadi tapi ingin saya nyatakan kepada orang-orang yang tak datang, anda sepatutnya menyesal dan rasa rugi kerana terlepas ceramah ustaz tu..

Insya'Allah, lain kali kita jemput lagi beliau ke surau kita..

KAUNTER BERGERAK TM POINT


Tengah hari tadi, Surau Al-Hidayah telah menerima satu tetamu yang sangat istimewa..Sebuah trak TMPoint dengan beberapa orang pegawainya ! Mereka datang untuk menerima pembayaran bil-bil utiliti daripada penduduk BWP selain untuk mempromosikan pakej streamyx dan sebagainya..

Menurut pegawai perhubungan yang bertugas, ini adalah kali pertama TMPoint memperkenalkan Kaunter Bergerak ( setakat ini hanya sebuah sahaja ) dan ianya akan menjelajah ke seluruh Negeri Sembilan serta sebahagian daripada negeri Selangor Darul Ehsan..

Ramai juga yang saya perhatikan datang menjelaskan bil-bil apatah lagi setelah dibuat pengumuman melalui pembesar suara daripada surau..

Saturday, June 6, 2009

CERAMAH AGAMA BULAN JUN

Penceramah
USTAZ NASRUDDIN BIN ALI
( Penceramah Bebas )

Tarikh
06. 06. 2009
( SABTU )

Masa
Selepas Solat Maghrib

SEMUA MUSLIMIN/MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR !
( Sila sebarkan makluman ini kepada rakan-rakan atau saudara-mara yang lain )

Friday, June 5, 2009

QIAMULLAIL SIRI 2 / JUN

Pengumuman :

Qiamullail Siri 2 bagi Bulan Jun, Insya'Allah akan diadakan pada :

Tarikh : 07 Jun 2009 [ Ahad ]

Masa : 4.30 pagi

Kuliah Subuh Oleh :
Ustaz Haji Kamal bin Ismail

SARAPAN ROTI CANAI DISEDIAKAN !

Dijemput Hadir Beramai-ramai !!

KUNCI MOTOSIKAL HILANG

Kepada sesiapa yang kehilangan kunci motosikal [ No. Pendaftaran NT 9266 ], sila dapatkan daripada saya : Di surau - ketika waktu solat jemaah atau di rumah saya di 203 Puteri Emas sekiranya saya tiada di sana.

Sila bawa bukti pemilikan ( lebih baik bawa motosikal itu sendiri ) semasa menuntut kunci motosikal tersebut. Saya bimbang sekiranya ia dituntut oleh orang lain yang tidak berkenaan.

- Ustaz Haji Kamal

AWASI KELUAR-MASUK LORI TANAH


Umum mengetahui bahawa BWP kini sedang dirancakkan dengan projek pembinaan sebuah sekolah kebangsaan (bakal disusuli dengan sekolah menengah) di sebuah tanah berdekatan dengan Puteri Delima.

Satu-satunya laluan untuk ke tapak projek tersebut ialah melalui sebatang jalan di hadapan surau ini. Beberapa buah lori tanah kelihatan keluar-masuk dan kadang-kadang dengan kelajuan yang cukup menggerunkan.

Bagi pihak surau, saya nasihatkan semua ibu bapa yang membiarkan anak-anak mereka bermain di luar rumah supaya sentiasa memerhatikan pergerakan anak-anak serta mengingatkan mereka tentang pergerakan keluar-masuk lori-lori tanah ini. Elakkan tragedi terutama di musim cuti sekolah seperti sekarang dimana anak-anak berada di rumah ketika ibu bapa keluar bekerja.

Sama-samalah kita perbanyakkan doa semoga tiada peristiwa buruk berlaku di dalam persekitaran kita ini..

Wednesday, June 3, 2009

SI MALAUN NI BUAT HAL LAGI..


Petang tadi, ketika nak azan Zohor, saya terpandang ke arah Tabung Kebajikan Surau yang terpaku pada dinding. Apasal nampak pelik aje? Lihat ke bawah, didapati bertaburan bekas-bekas habuk besi di atas sebuah buku catatan yang terletak di atas rehal panjang. Masya'Allah..terkejut saya! Rupa-rupanya ada orang telah cuba mengopak tabung tersebut. Mangga kunci tiada..tetapi tabung tersebut tidak dapat dibuka kerana ada kunci kedua pula..

Saya teringat pula pada Tabung Makan Malam Jemaah yang terletak di luar, berhampiran dengan pintu masuk..nah tu dia.. terkopak engsel yang diletakkan mangga..Saya tak tahu berapa jumlah duit kat dalam tabung tu sebab biasanya Encik Roslan yang membukanya selang dua hari sekali, kerana hanya beliau yang pegang kunci tabung-tabung tu..

Saudara Arshad dan Ustaz Shafie yang turut menyaksikan tabung-tabung yang dipecahkan ini yakin kejadian berlaku selepas solat Subuh.. kerana belum kelihatan lagi kesan atau serpihan besi tabung di atas lantai ketika solat Subuh pagi tadi..

Apalah nak jadi dengan pencuri ni.. Kang kami pakat maki-hamun atau sumpah seranah kang, nanti ada orang lain marah kat kami pulak! Nasib..nasib..bagi saya, senyum aje la..!!

PENGKULIAH MAGHRIB TERBARU : USTAZ TUAN HJ. HISHAMUDDIN

Berita baik untuk semua penghuni BWP amnya dan jemaah Surau Al-Hidayah khasnya.. Biro Pendidikan & Pengajian Agama Surau Al-Hidayah telah memperoleh persetujuan daripada Al-Fadhil Ustaz Tuan Haji Hishamuddin bin Mansor untuk memenuhi undangan sebagai seorang lagi tenaga pengkuliah Maghrib.

Ustaz Hj. Hishamuddin yang menetap di Villa Suria Seri Pajam bukanlah asing bagi anggota Qaryah Masjid Sikamat kerana beliau sering menyampaikan kuliah-kuliah agama dan dijemput menjadi khatib di masjid tersebut.

Dalam perbincangan bersama Al-Fadhil Ustaz Hj. Hishamuddin, beliau memaklumkan kesanggupan untuk hadir pada Hari Ahad Minggu I dan III sahaja. Ustaz Tn. Haji Shafie telah dimaklumkan dan beliau telah bersetuju untuk bergilir Kuliah Maghrib beliau dengan Al-Fadhil Ustaz.

Untuk makluman, Al-Fadhil Ustaz memilih pelajaran Tafsir Maudhu'i ( تفسير موضوعيّ ) sebagai pengisian kuliah Maghrib beliau.

Alhamdulillah, nampaknya surau kita akan bertambah seorang lagi tenaga pengajar sebagai usaha berterusan kita untuk memberi kefahaman tentang Islam kepada seluruh penduduk BWP ini. Semoga kita tidak persia-siakan peluang keemasan ini..

KEMPEN DERMA DARAH

Insya' Allah, jika tiada aral melintang, pihak Surau Al-Hidayah bercadang untuk menganjurkan Kempen Derma Darah pada penghujung cuti persekolahan ini.

Kami memerlukan buah pandangan anda untuk menjayakan kempen ini.

MENGGELAR ORANG JAHAT DENGAN PANGGILAN TERTENTU : WAJAR ATAU TIDAK ?

Memberi gelaran kepada orang-orang yang melakukan kejahatan bukanlah perkara asing di dalam Islam. Allah sendiri menggelarkan orang-orang yang ingkar menyembahNya sebagai KAFIR, orang-orang yang melihat kebenaran tetapi menolak kebenaran sebagai ZALIM, orang-orang yang menjadi musuh dalam selimut sebagai MUNAFIQ dan sebagainya lagi. Bahkan Allah SWT memberikan gelaran SYAITAN kepada ketua-ketua/pemimpin-pemimpin kafir sebagaimana dalam ayat 14 Surah Al-Baqarah. Demikian juga Allah memanggil dengan gelaran BINATANG ( orang Terengganu kata : MENATANG ) kepada orang-orang yang ada mata, telinga dan akal fikiran tetapi tidak menggunakannya untuk mencari kebenaran ( lihat ayat 179 Surah Al-A'raf ).

Hasad dengki serta sakit hati melihat orang lain dilimpahkan nikmat adalah dari perbuatan dan sifat IBLIS Laknatullah. Apakah tidak boleh kita menggelar pemilik sifat tersebut dengan gelaran IBLIS ?

Apa motif serta tujuan di sebalik memberi gelaran-gelaran seumpama ini ? Antaranya ialah supaya manusia muslim/mukmin sentiasa beringat atau mengingatkan diri mereka daripada melakukan kejahatan.. Dalam erti kata lain, kalau tak nak orang panggil kita zalim, fasiq, munafik, iblis, setan, menatang dan lain-lain lagi, jangan dibuat kerja-kerja yang orang ramai tak suka..tak pasal-pasal orang di sekeliling kita dok asyik menyumpah kita siang dan malam. Cukup 40 orang menyumpah macam tu, tak ke haru diri tu?

Tuesday, June 2, 2009

PELUANG MENGADAKAN TAHLIL ARWAH

Pemergian insan tersayang meninggalkan kita buat selamanya amatlah memilukan, apatah lagi di saat kita masih memerlukan mereka. Apakah dengan persinggahan mereka di alam barzakh menyebabkan kita yang masih berada di alam dunia ini terputus terus hubungan? Tidak..kita sebenarnya tidak pernah pun memutuskan hubungan dengan mereka yang telah bertitle 'Arwah'. Dalam Islam, ada caranya bagaimana untuk terus bersilaturrahim dengan mereka ini. Antaranya ialah dengan mengirimkan doa, memohon daripada Allah SWT semoga mereka selamat ketika di alam sana..

Bagi tujuan dan niat murni tersebut, pihak Surau Al-Hidayah mengalu-alukan semua jemaah yang berhasrat untuk mengadakan bacaan tahlil dan kiriman doa kepada arwah yang tercinta. Majlis akan diadakan pada setiap hari Khamis, selepas solat Maghrib atau spesifiknya selepas bacaan Yasin.

Sila lengkapkan Borang Tahlil Arwah yang boleh didapati di dalam Kotak Makluman Surau atau muat turun DI SINI.

Tuan-tuan tidak perlu menyediakan makan minum untuk para jemaah kerana semuanya akan ditanggung oleh surau kita. Namun demikian, sekiranya tuan-tuan bercadang untuk mengadakan jamuan, memadailah dengan jamuan yang ringkas sahaja.

Monday, June 1, 2009

TERSUNGKUR JUA AKHIRNYA..


Rentetan dari komplen seorang hamba Allah ( yg menggunakan nama samaran AJK Warisan Puteri )yang disiarkan di dalam interaktif@SINAR keluaran Sabtu, 30 Mei 2009 (gambar di atas), sebuah kedai makan yang didirikan di atas tapak terbiar milik TH Properties di Desa Puteri Dahlia yang sebelum ini berjaya mengeratkan semula perpaduan di Bandar Warisan Puteri, akhirnya ranap dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Seremban (MPS).

Kejadian yang berlaku beberapa minit sebelum masuk waktu Asar itu tidak disedari oleh pemiliknya, saudara Arshad kerana beliau dikatakan terlelap seketika di rumahnya yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

Beberapa pekerja dari dua buah trak pengangkut dan sebuah van MPS dilihat mengangkut semua barang yang terdapat di kedai makan tersebut. Menurut Ketua Pegawai Operasi yang bertanggungjawab, pihak MPS terpaksa bertindak kerana mendapat laporan daripada orang ramai.

Tahniah saya ucapkan kepada MPS di atas kepantasan bertindak yang ditunjukkan. Bagaimana dengan 2 buah kedai makan ( satu milik Cina dan satu lagi milik Melayu ) yang mendirikan premis mereka di tepi jalan keluar ( di atas tanah rezab ) dari BWP ke Jalan Pantai-Kuala Klawang? Agak-agak le, kalau saya buat repot, apakah MPS berani bertindak ke atas mereka sepantas seperti apa yang mereka lakukan kepada kedai milik Encik Arshad tadi ? Premis tersebut didirikan dengan binaan kekal memandangkan lantainya siap disimenkan.

Saya tidak menyalahkan pegawai MPS..mereka sekadar menjalankan tugas.. Cuma terkilan dgn si pengadu..bukankah elok kalau datang berbincang, utarakan kata nasihat atau buah pandangan kpd saudara Arshad, tunjukkan jalan bagaimana cara berniaga yg sebenarnya.. Mengapa perlu tergesa-gesa menulis ke akhbar ? Mengapa tidak kita selesaikan secara peringkat dalaman sahaja?

Kini ramai yang susah kerana peristiwa tersebut..ramai yang mengutuk saudara..saya bimbang sekiranya kutukan itu diaminkan oleh malaikat di langit..
Nasihat juga perlu diberikan kpd saudara Arshad kita..salah tetaplah salah, tapi sekurang-kurangnya anda telah berusaha memohon kebenaran tapak dan lesen perniagaan..cuma nasib tidak menyebelahi..lesen baru aje nak approve, lori MPS dah pun sampai.. [ Politik punya pasal ]

Petikan dari artikel asal : [ Kepada b**** tua ber**** *****, tahniah juga untuk anda..memang anda seorang yang cukup hebat..Tunggulah doa-doa dari kami yang akan dibacakan khas untuk anda selama 40 hari tanpa henti..melainkan anda datang kepada kami, membuat pengakuan dan memohon maaf secara terbuka di dalam Rumah Allah ini..]

Maksud doa dari kami seperti yang di'highlight'kan di atas, bukanlah doa mohon kebinasaan kpd si pengadu..Sejak hari peristiwa kedai saudara Arshad diangkut MPS, saya tidak pernah sama sekali berdoa sedemikian.. Doa saya, tidak lain tidak bukan : Ya Allah, eratkanlah perpaduan di kalangan kami atas nama agamaMu, jauhkanlah kami dr orang-orang yang memiliki sifat dengki dan khianat terhadap kami, tunjukkanlah mereka jalan hidayahMu..selamatkanlah kami semua dari azab api NerakaMu..