Sunday, August 23, 2009

INDAHNYA BILA HIDUP SALING BEKERJASAMA


Hari ke-2 berpuasa sekali lagi menyaksikan satu ikatan perpaduan yang amat erat di kalangan ahli jemaah surau. Aktiviti memasak dan menyediakan Bubur Lambuk untuk dijadikan juadah berbuka puasa berjalan dengan lancar sekali. Bermula sejak awal pagi lagi, sehinggalah berjaya diagih-agihkan kepada sebahagian penduduk BWP yang hadir, sambutannya begitu menggalakkan sekali.

Dalam masa tidak sampai 45 minit, sebanyak 140 bungkus bubur lambuk habis diagihkan. Sedikit baki yang tinggal pula dijadikan sebagai tambahan jamuan moreh pada malam tadi.

Untuk makluman, jamuan bubur lambuk akan dijadikan sebagai sebahagian daripada aktiviti mingguan surau ini di sepanjang bulan Ramadhan. Minggu ini (hari ini), Puteri Emas diamanahkan untuk menjayakannya, diikuti oleh Puteri Bestari/Ayu (Bestayu), Delima dan Dahlia pada minggu yang terakhir.

Menurut En. Azmi, bendahari Program Bubur Lambuk Puteri Emas, sebanyak RM245 telah dibelanjakan bagi menjayakan program tersebut.

Perlu diingat, ribuan terima kasih patut diucapkan kepada penderma Program Bubur Lambuk Mingguan ini yang enggan namanya disiarkan di dalam blog ini. Hanya ALlah yang dapat membalas jasa beliau..semoga dimurahkan lagi rezeki dan semoga amal jariah beliau ini dapat dijadikan contoh ikutan kepada ahli-ahli jemaah surau yang lain.

Terima kasih kepada semua yang menjayakan aktiviti ini termasuk petugas-petugas dari luar Puteri Emas..

No comments:

Post a Comment