Monday, August 10, 2009

REBUTLAH PELUANG BERIBADAH TANPA MENGIRA SIAPA KITA

Sabda Rasulullah SAW : "Sesungguhnya Allah Ta'ala sangat berbangga dengan orang-orang tua yang rajin beribadat, TETAPI Allah lebih berbangga dengan orang-orang muda yang rajin beribadat.."

Dalam hadith yang lain, Nabi SAW bersabda : "Rebutlah 5 perkara (masa untuk beribadat) sebelum tiba 5 perkara sebaliknya..(antaranya) : Masa muda kamu sebelum tibanya hari tua".

Tuan-tuan yang saya kasihi,

Post kali ini, saya ingin tujukan khas kepada tuan-tuan yang jarang, amat jarang atau tak pernah langsung mendatangi surau kita untuk menunaikan solat berjemaah. Saya bukan nak menyibuk atau mengganggu privacy tuan-tuan. Harapan saya, semoga tulisan ini dapat memberikan sedikit cetusan ke arah pembukaan minda dan hati kecil sesiapa yang membacanya. Jika benar, terimalah..jika salah, biarlah salah itu pada saya dan perbetulkanlah saya.

Saya kadang-kadang terfikir-fikir..apa sebab atau alasan tuan-tuan tidak dapat datang ke surau kita untuk berjemaah bersama-sama rakan yang lain-lain? Pernah juga saya terfikir untuk menjalankan satu kaji selidik mengumpul seberapa banyak alasan daripada mereka yang tidak dapat datang ke surau kita. Saya amat takut sekiranya alasan tuan-tuan tidak mahu ke surau adalah kerana kebencian kepada saya sebagai salah seorang imam yang dilantik. Kalau sekiranya itulah alasannya, silalah beritahu saya agar dapat saya selesaikan masalah tuan-tuan ini sepantas yang mungkin. Dan dalam masa yang sama, tuan-tuan cadangkanlah nama sesiapa yang tuan-tuan fikir layak untuk kita lantik beliau sebagai imam surau kita. Insya'Allah, saya bila-bila masa sahaja bersedia menjadi makmum kepada beliau.

Namun, sekiranya alasan tuan-tuan tidak mahu ke surau kerana sibuk, tiada masa, badan letih, kepenatan, rumah jauh, tiada kenderaan, tidak ngam dengan jemaah surau, sentiasa out-station, bimbang tinggalkan anak bini kat rumah, takut nanti rumah dipecah masuk penyamun atau apa sahaja alasan yang tidak mampu saya sebutkan lagi..tolonglah fikirkan sekali lagi. Betulkah itu alasan sebenar kita atau hanya rekaan fiksyen tuan-tuan semata-mata?

Ada yang beritahu saya, "Ustaz, saya mengaku memang saya tak pernah ke surau. Tetapi saya solat di masjid. Bukankah solat di masjid lebih afdhal daripada solat di surau?". Bangganya saya apabila mendengar pengakuan salah seorang rakan kita ini bersama hujah dan dalilnya. Nak diberikan hujah kita pula, takut panjang pulak ceritanya. Akhirnya, "Ye lah..betul kata tuan. Tapi tak bolehkah kalau dapat juga tuan datang ke surau kita meskipun hanya satu waktu sahaja dalam seminggu?".

Ada pula yang berkata, "Saya cukup fed-up dengan surau kita ni, ustaz. Pernah satu hari tu (tahun 2007), saya ke surau, ada seorang jemaah tu, dia hentam kerajaan dengan kata-kata yang cukup kesat. Terasa betul hati saya..sebab saya ni orang kerajaan. Bahkan ada juga ustaz yang bagi kuliah (bukan Ustaz Kamal), diselitkan dalam kuliahnya dengan isu-isu politik yang berat kepada pembangkang..Sebab tu, sampai hari ni, saya tak pergi lagi ke surau kita tu".

Saya setuju sebahagian kata-kata rakan kita di atas tu. Sejak dari dahulu, sekarang (dan mungkin selama-lamanya), mana-mana masjid atau surau di Malaysia, rata-rata yang datang mengimarahkannya adalah mereka yang datangnya dari 'that side'.. Bagaimana dengan 'this side'? Datanglah beramai-ramai supaya kita dapat mengimbangi surau tersebut. Habis tu, ustaz pun ramai dari 'that side', macamana? Kita pun apa kurangnya. Kalau takde nak dilantik jadi imam tetap pun, kita jemputlah sekali-sekala ustaz-ustaz 'this side' datang berikan ceramah di surau kita. Ajak rakan-rakan se'ideologi' dengan kita, jom kita ke surau Al-Hidayah..jangan bagi peluang orang-orang 'that side' menguasai surau kita.

Tuan-tuan,
Maafkanlah saya. Bukan maksud saya di atas tu, untuk mengasing-asingkan jemaah. Awak orang sana, dia orang sebelah sini..Ingatlah, bila kita datang ke surau, tujuan utama kita adalah untuk nak beribadat (solat). Kita berdiri menghadap qiblat yang sama, tuhan yang sama dan solat yang sama. Imam pun, imam yang sama. (Belum ada berlaku solat 2 imam di sini). Ideologi kita masing-masing tu, gantungkanlah terlebih dahulu di pagar surau tu.. Saya akui, majoriti jemaah kita dan jemaah masjid surau lain sekali pun adalah pro-that side. Pernahkah kita terfikir kenapa surau masjid lebih ramai dikunjungi oleh mereka? Apakah kerana keberkesanan tarbiyyah oleh pemimpin-pemimpin mereka? Atau melalui kuliah-kuliah agama yang disampaikan oleh ustaz-ustaz serta ulamak mereka? Ntahlah..saya belum buat kajian lagi..

Tidak kiralah tuan-tuan orang pro apa sekali pun, jemputlah datang ke surau kita. Marilah kita jadikan surau kita sebagai tempat untuk kita hidup saling berkasih-sayang dan bersatu padu. Buanglah keegoan kita tu..tundukkanlah hati kita di hadapan Allah. Akuilah kesilapan dan kembalilah ke jalan kebenaran. (Nasihat ini, juga untuk saya sendiri!)..

Ada juga sebahagian kecil jemaah yang beri alasan tak ke surau kerana terkecil hati dengan kata-kata perli dan sindiran dari ahli jemaah yang lain. Maksud saya, apabila seorang hamba Allah ni, yang baru nak berjinak dengan surau, tiba-tiba datang ke surau..ada ahli jemaah surau yang mulutnya agak laser sikit lemparkan kata-kata seperti perli atau menyindir bunyinya..akhirnya, kawan ni, terus tak datang langsung!! Saya tak nak komen apa-apa dalam bab ni..sebab saya tak tahu pun ada kes seperti ini. Saya sendiri pun tak pernah kena sindir apabila pertama kali jejak kaki di surau setelah sebelumnya saya asyik berjemaah di masjid-masjid lain. (sebab kerap takde orang kat surau, saya ke masjid/surau lain).

Kalaulah betul seperti didakwa, ini pun satu lagi penyakit orang-orang kita. Yang jenis suka menyindir ni, apakah dia rasa dia tu dah cukup bagus sangat ke? Kita sepatutnya bersyukur, berbangga dan ucapkan tahniah apabila surau kita didatangi ahli jemaah baru. At least, ahli surau kita bertambah lagi seorang.

Yang baru nak jenguk surau pula, janganlah buat-buat macam kera sumbang atau seperti rusa masuk BWP. Bergaul mesralah dengan jemaah yang lain-lain tu..bersama-sama ikuti kuliah agama, lepas tu sama-sama kita pekena teh tarik dan roti Babu sebaik sahaja selesai solat Isyak..janganlah datang ke surau kemudiannya duduk sorang-sorang jauh nun di bahagian belakang. Selama ni saya perhatikan tiada apa-apa masalah pun dengan kehadiran ahli jemaah yang baru. Kita terima dengan gembira, suka hati dan dalam masa yang begitu singkat, mereka ni dah jadi macam orang yang dah lama/biasa dengan kita..

Mungkin cerita tuan-tuan tu, cerita 3 tahun yang lalu..Situasi tersebut kini sudah berubah, tidak lagi seperti dahulu. Jomlah.. datanglah semula ke surau kita, insya'Allah tuan akan dapat rasai kelainannya. Kalau tuan rasa surau kita perlukan lagi kepada perubahan, berbincanglah..kita sentiasa alu-alukannya demi kebaikan kita bersama juga.

Tidak kurang juga yang memberi alasan kerja lewat malam, atau malam baru tiba kat rumah..Saya faham, saya pun pernah bekerja sampai jadi sibuk macam tu. Bagaimana dgn hari-hari tak bekerja? Hari kita bersantai di rumah bersama keluarga? Pun tak dapat datang juga ke surau.. Jadi, apa alasan kita yang sebenarnya?

Ketika usia kita masih muda ni, janganlah nak tunggu pencen baru nak cari masjid surau. Jenguk-jenguklah sikit..Tak setiap waktu pun, satu waktu satu minggu pun OK lah tu..sesuai dengan tahap alasan kesibukan kita..(tp bagi Islam, amat belum OK lagi le..). Satu soalan dari saya, bagi orang-orang yang suka memberi alasan bertangguh ni, iaitu nanti kalau dah pencen, kami ke surau le.. yakinkah kita bahawa kita ni boleh hidup sehingga tarikh pencen tu?

Semua alasan tadi, bagi saya..ia kembali kepada pokok persoalan yang pernah saya bincangkan..Iaitu kita semua masih berlagak SOMBONG di hadapan ALlah SWT. MALAS ke rumah-rumah ALlah dengan mencipta beratus bahkan beribu alasan.. Begitulah sifat kebanyakan manusia, semakin diberikan kesenangan, semakin menyusahkan diri untuk menziarahi rumahNya. Apa guna kereta bersusun-susun di hadapan rumah kalau sebijik pun tak dapat nak digunakan untuk ulang-alik ke masjid/surau? Sesungguhnya itu adalah satu penyelewengan ni'mat yang pastinya akan dipersoalkan di Hari Akhirat nanti..

Akhir sekali saya nak tujukan kepada tuan-tuan yang mempunyai latar-belakang pendidikan agama atau bekerja di institusi yang berkaitan dengan agama (seperti Pusat Zakat, JHEAINS, MAINS) terutamanya mereka yang bergelar ustaz atau guru agama..

Saya pun kadang-kadang hairan bercampur sedih juga dengan sikap tuan-tuan ni. Sepatutnya orang macam tuan-tuanlah yang menjadi contoh menjadikan diri sebagai ahli jemaah tetap di surau kita, menjadi imam sekiranya ketiadaan imam bertugas, menggiat-aktifkan apa sahaja program agama anjuran surau dan seumpamanya. Tetapi malangnya..tuan-tuan sendiri pun termasuk dalam golongan orang yang perlu dinasihatkan. Kata seorang ahli sufi : "Bagaimana air telaga nak jadi tawar kalau mata airnya sendiri sentiasa masin?"

Terima kasih. Sebarang komen, sila direct ke diri saya di surau. Kita bincang sambil pekena Kopi Arab!

Ustaz Haji Kamal bin Ismail.


** Mungkin selepas membaca posting ini, ada di antara tuan-tuan yang melabelkan saya sebagai imam samseng. Title tersebut pernah diberikan kepada saya oleh juhala' Puteri Bestari selepas kata-kata pesanan saya pada malam tahlil arwah di rumah Encik Azmi Mayan. Biasalah tu..kadang-kadang percakapan kita ni, kita maksudkan lain tetapi orang lain faham lain..Dalam kes imam samseng ni, saya pernah berkata bahawa orang yang tidak ke masjid/surau ni (lebih suka dirikan solat fardhu sorang-sorang di rumah), mereka ni dicopkan oleh Allah sebagai orang yang cuba nak memutuskan hubungannya dengan Allah. Dan sesiapa yang memutuskan hubungan dengan Allah, kita pun sewajarnya turut berbuat demikian. Cintailah orang yang dicintai Allah nescaya kamu pun akan turut dicintai Allah..tetapi sekiranya kita cintakan orang yang dilaknati Allah, maka kita pun akan turut mendapat laknatNya.. Jadi, saya beri amaran : Sesiapa yang tetap berdegil tak nak datang ke surau (saya minta mereka datang at least sekali sahaja dalam seminggu), jangan terkejut sekiranya suatu hari nanti, pihak surau tak akan datang ke rumahnya apabila ada dibuatnya majlis-majlis tahlil arwah, kesyukuran atau seumpamanya di rumahnya.

Semenjak itulah saya dilabelkan sebagai imam samseng. Baiklah, saya nak tanya tuan-tuan satu soalan lagi..Nabi pernah mengugut untuk membakar rumah orang-orang yang tak solat berjemaah di masjidnya, apakah nabi pun nak dilabelkan sebagai samseng? Memang agak susah berhadapan dengan juhala' berpendidikan tinggi ni..cakap mereka hanya di belakang..bila kita ajak berunding, berbincang face to face, tak nak pula..Apa sahaja keraguan atau ketidakpuasan yang timbul dalam hati tuan-tuan, any time jumpa saya di surau pada waktu mahgrib, isyak dan subuh.

No comments:

Post a Comment