Friday, August 7, 2009

HIDAYAH YANG TERHALANG

Saya masih teringat kepada arwah seorang jiran semasa di kampung dahulu, di Kuala Terengganu. Rumahnya memang terlalu hampir dengan dinding masjid. Tidak keterlaluan jika saya katakan mungkin tak sampai pun 10 langkah. Namun demikian, amat malang sekali..walaupun rumahnya yang amat begitu hampir dengan masjid, beliau jarang solat berjemaah di sana. Nak tengok muka beliau satu kali dalam seminggu tu, hanya pada solat Jumaat sahaja..

Setiap kali imam masjid (bapa saudara saya) bertanyakan berkenaan perbuatan beliau, bermacam alasan yang diberikannya. Setiap malam, corong pembesar suara masjid yang menghala ke rumah jiran saya ini sentiasa kedengaran kuliah-kuliah agama yang disampaikan oleh imam-imam tenaga pengajar yang bertauliah.

Sehinggalah pada suatu hari, beliau jatuh sakit, sakit yang akhirnya membawa kepada kematian. Setiap kali masuk waktu solat, beliau ingin bersolat. Soalan yang sering ditanyakan kepada ahli keluarganya ialah "Orang dah azan ke belum?" padahal suara muazzin cukup kuat melaungkan azannya..Beliau tidak dapat mendengar suara azan (sehingga ke saat kematian) sebaliknya tiada masalah pendengaran pun apabila mendengar cakap-cakap dari orang lain. Di saat hampir sakratul maut, anak-anak mentalqinkan beliau dengan kalimah tauhid. Beliau bertanya kepada mereka "Apakah ucapan yang senyap sunyi tersebut?" kerana beliau tidak dapat mendengari dari mulut anak-anaknya..

Cerita di atas hanyalah sekadar renungan untuk saya nak berkongsi dengan tuan-tuan. Dewasa ini, ramai dari kalangan kita yang masih tidak endahkan panggilan azan. Tanyakanlah diri anda, semasa azan (terutamanya azan Maghrib) sedang dilaungkan, di manakah sepatutnya diri kita berada? Di rumah, di padang takraw, di tepi-tepi jalan atau di shopping complex? Atau ada tempat yang lebih baik lagi dari yang saya sebutkan itu?

Maaflah kalau tulisan saya ini menyinggung sesiapa yang berkenaan. Fikir positif..saya tak sebut pun nama individu-individu yang tertentu. Ianya adalah umum, mungkin termasuk saya sendiri juga. Saya nak sentuh pasal istilah 'Qudwah' atau contoh ikutan yang baik. Saya mengaku, saya tidaklah sebaik tuan-tuan.

Sejak sukan sepak takraw di Puteri Emas mula diperkenalkan, saya dapati hubungan sesama penduduk yang suatu ketika dahulu pernah ter'renggang' sedikit, kini dapat dirapatkan semula. Saya setuju dengan suara hati saudara Iskandar (izinkan saya mention nama tuan-sebab ini perkara baik) semasa berbual di surau beberapa minggu yang lalu, kita di BWP tidak sepatutnya hidup berkelahi, bermasam muka dan seumpamanya. Anggaplah perselisihan faham selama ini sebagai gurauan yang tidak perlu dipanjangkan. Saya cukup gembira mendengarnya. Istilah orang kampung saya, kita just forget and forgive je lah..

Takde faedah pun kalau kita hidup bermasam muka. Dahulu, sebelum mengenali Encik Sahak (izinkan saya mention nama tuan-sebab ini pun perkara baik), saya disogokkan dengan cerita-cerita buruk mengenai beliau. Ada juga timbul rasa benci kat beliau..padahal orangnya pun saya tak kenal lagi (Astaghfirullah Al-Azim..!!) Setelah saya rapat dan kenal (walaupun tak banyak) beliau, saya rasa beliau juga seorang yang patut kita hormati. Mungkin akan ada yang tak bersetuju dengan kata-kata saya ini. Tak apa..itu hak tuan-tuan.

Kini saya merasakan cukup puas hati dengan suasana kehidupan di surau. Encik Sahak serta beberapa ahli jemaah lain yang telah lama berjauh hati dengan surau, kini telah kembali. Orang surau yang dahulunya pernah terlibat dalam isu tuduhan liar terhadap Encik Sahak, semuanya telah menyesal dan menerima beliau sebagai ahli surau.

Bagaimana pula dengan sebahagian yang masih nak bermusuhan dengan beliau pula? Nasihat saya, sudah-sudahlah tu.. Elok sangat ke kita tunjukkan pe'el perangai macam kanak-kanak tu? Tambah pula, Ramadhan dah hampir benar ni.. Buang-buanglah perangai kesyaitanan tu dan isikanlah dengan sifat kemalaikatan pula.. Boleh ke? Insya'Allah ye..

Selamat Menyambut Ramadhan !!



No comments:

Post a Comment