Thursday, August 13, 2009

SELESEMA BABI : AMARAN ALLAH KEPADA MANUSIA

Saya masih teringat kata-kata daripada seorang guru agama sewaktu saya masih kecil dahulu : “Di antara tanda-tanda hampirnya Qiamat ialah banyaknya berlaku wabak atau penyakit baru yang dahulunya tidak pernah kita dengari sebagai bala dan balasan daripada Allah SWT ke atas kejahatan dan keingkaran manusia”.

Wabak yang terbaru yang sedang menggusarkan semua ummat manusia hari ini, iaitu H1N1 atau dikenali juga dengan ‘Selsema Babi’ turut merupakan satu bentuk hukuman daripada Allah SWT.

Kadang-kadang, Allah menurunkan bala dan azabNya sebagai peringatan atau amaran agar manusia segera kembali semula ke jalanNya. Renungkanlah kembali sejarah Thamud, Aad, Bani Israel dan ummat-ummat lain yang terdahulu daripada kita yang diceritakan Allah di dalam Al-Qur’an. Mereka ditimpa balasan azab yang amat mengerikan lantaran kesombongan serta keingkaran mereka untuk tunduk patuh kepada Allah SWT. Bukan sahaja mereka enggan menerima ajaran dan nasihat para rasul serta utusan-utusan Allah, bahkan lebih dahsyat lagi ada di antaranya yang diusir, disiksa dan dibunuh dengan kejam.

Negeri kaum Nabi Luth (Sodom), yang terkenal dengan perbuatan jijik mereka melakukan hubungan seks sesama lelaki (homoseksual) pernah dihilangkan daripada peta dunia dengan cara ALlah SWT mengangkatnya, menterbalikkannya lalu menghempaskannya sehingga terbenam dan terpelosok jauh ke dalam perut bumi. Dengan itu, penyakit AIDS yang hampir wujud akibat perbuatan mereka ketika itu, dapat dibanteras daripada merebak.

Sebagai seorang Islam, kita mesti percaya bahawa semua penyakit datangnya daripada ALlah SWT. Dialah yang menurunkan penyakit dan Dialah yang menyembuhkannya. Selain berusaha untuk mengubati dan menghindari penyakit ini, kita juga diwajibkan berdoa kepadaNya. Dengan berdoa, bererti kita menzahirkan sifat lemah kita di hadapan ALlah serta kebergantungan kita sepenuhnya kepada Dia.

Nabi SAW menyuruh kita supaya memohon pertolongan daripada ALlah SWT dengan memperbanyakkan solat, menjauhkan semua bentuk maksiat dan dengan membiasakan diri mendirikan solat di rumah-rumah ALlah.

Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Hampir-hampir ALlah SWT ingin menurunkan azabNya ke atas penduduk bumi tetapi Dia menangguhkannya kerana terpandang masih ada di kalangan hambaNya yang mendirikan solat ( berjemaah ) di rumah-rumahNya.

Berdasarkan hadith di atas, di antara rahsia dan hakikat solat berjemaah itu sendiri, ianya mampu menyelamatkan kita serta ahli keluarga daripada tertimpa azab atau balasan daripada ALlah. Maka fahaman sebaliknya (mafhum mukhalafah), kalau kita sengaja meninggalkan solat secara berjemaah, sengaja membiarkan rumah-rumah ALlah sunyi sepi, kosong tanpa penghuninya, maka kita sebenarnya sedang menjemput azab ALlah supaya datang menghampiri kita.

Sekali lagi, janganlah lagi berlagak sombong..datanglah ke surau kita agar dapat kita dirikan solat fardhu beramai-ramai. Tinggalkanlah urusan di rumah tu sekejap.. (20 minit sahaja saya minta masa tuan-tuan). Saya tak mahu minta apa-apa yang lain dari tuan-tuan, selain masa tuan-tuan yang begitu berharga tu..luangkanlah sedikit masa untuk kita sama-sama menyembah ALlah..Tuhan yang memberikan kesenangan hidup kepada kita hari ini..

Terima kasih.. Dapatkan artikel ini dalam bentuk flyer dengan memuat-turunkannya DI SINI.

"PadaMu Ya ALlah aku berharap, bukakanlah pintu hati sahabat-sahabat dan jiran-jiranku agar tersentuh hati-hati mereka setiap kali mendengar panggilan muazzinMu.."

No comments:

Post a Comment