Monday, September 7, 2009

MENJELANGNYA AKHIR RAMADHAN

Ramadhan kini telah menghampiri penghujung fasa ke-2, iaitu fasa 10 hari pertengahan. Beberapa hari lagi akan bermulalah fasa ke-3 yang merupakan fasa terakhir dimana terdapat padanya satu malam yang amat istimewa iaitu Malam Al-Qadar. Beribadah pada malam tersebut pahalanya sama seperti beribadah selama lebih 83 tahun.

Tiada seorang pun yang dapat meneka dengan tepat bilakah malam Al-Qadar tersebut. Ianya adalah satu rahsia daripada rahsia-rahsia ALlah SWT. Yang pasti, seperti yang dijelaskan oleh baginda Rasulullah SAW, malam Al-Qadar itu terdapat di dalam 10 malam yang terakhir di dalam Ramadhan.

Mengapa ALlah sengaja merahsiakan malam tersebut? Antara hikmahnya ialah supaya kita sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan malam istimewa itu dengan membanyakkan amalan dan ibadah seperti bersolat sunat, membaca Qur'an, berzikir dan seumpamanya. Nabi SAW sendiri sentiasa bermujahadah pada 10 malam terakhir dalam Ramadhan dengan beriktikaf dan meninggalkan seketiduran dengan isteri-isteri baginda.

Menurut satu riwayat, Nabi SAW amat sedih apabila berakhirnya Ramadhan. Perpisahan baginda dengan Ramadhan seumpama perpisahan sepasang kekasih yang saling merindui antara satu sama lain.

Amat jauh sekali jika dibandingkan dengan ummatnya hari ini. Kita hari ini, sering menghitung hari, berapa lama lagikah nak berakhirnya Ramadhan..berakhirnya Ramadhan kita sambut dengan begitu gembira sekali. Memang kita disuruh bergembira kerana esok kita akan menyambut Hari Kemenangan..Tetapi dalam kita bergembira menyambut 1 Syawwal, adakah kita juga bersedih dengan perginya 30 Ramadhan? Apakah kita yakin bahawa Ramadhan akan datang masih ada peluang untuk kita merasainya? Apakah tidak mungkin Ramadhan tahun ini adalah Ramadhan yang terakhir buat diri kita?

Biasanya 10 hari terakhir, bilangan jemaah terawih akan mulai susut. Seorang demi seorang tiada lagi kelihatan di surau atau di masjid. Golongan ibu bapa tidak lagi endahkan Lailatul Qadar kerana tarikan yang lebih menarik dari Lailatul Bazar. Ibu-ibu pula mula sibuk di dapur memasak kuih untuk hidangan di pagi raya nanti..selain memaksa atau memujuk si ayah untuk menukarkan langsir, permaidani dan kusyen-kusyen baru..akhirnya, berterawihlah di Nilai 3 atau di mana-mana shopping complex pilihan hati..

Saya bukannya nak mengata kepada sesiapa. Dahulu, saya pun macam tu juga..kita lebih utamakan keseronokan dunia daripada ganjaran akhirat yang dijanjikan Tuhan. Bukannya tidak boleh kita berseronok dengan nikmat dunia, tapi utamakanlah akhirat kerana di sanalah tempat abadinya kehidupan kita nanti...

Selamat Beriktikaf..dan Selamat Mencari Keredhaan ALLah !

No comments:

Post a Comment