Sunday, August 23, 2009

INDAHNYA BILA HIDUP SALING BEKERJASAMA


Hari ke-2 berpuasa sekali lagi menyaksikan satu ikatan perpaduan yang amat erat di kalangan ahli jemaah surau. Aktiviti memasak dan menyediakan Bubur Lambuk untuk dijadikan juadah berbuka puasa berjalan dengan lancar sekali. Bermula sejak awal pagi lagi, sehinggalah berjaya diagih-agihkan kepada sebahagian penduduk BWP yang hadir, sambutannya begitu menggalakkan sekali.

Dalam masa tidak sampai 45 minit, sebanyak 140 bungkus bubur lambuk habis diagihkan. Sedikit baki yang tinggal pula dijadikan sebagai tambahan jamuan moreh pada malam tadi.

Untuk makluman, jamuan bubur lambuk akan dijadikan sebagai sebahagian daripada aktiviti mingguan surau ini di sepanjang bulan Ramadhan. Minggu ini (hari ini), Puteri Emas diamanahkan untuk menjayakannya, diikuti oleh Puteri Bestari/Ayu (Bestayu), Delima dan Dahlia pada minggu yang terakhir.

Menurut En. Azmi, bendahari Program Bubur Lambuk Puteri Emas, sebanyak RM245 telah dibelanjakan bagi menjayakan program tersebut.

Perlu diingat, ribuan terima kasih patut diucapkan kepada penderma Program Bubur Lambuk Mingguan ini yang enggan namanya disiarkan di dalam blog ini. Hanya ALlah yang dapat membalas jasa beliau..semoga dimurahkan lagi rezeki dan semoga amal jariah beliau ini dapat dijadikan contoh ikutan kepada ahli-ahli jemaah surau yang lain.

Terima kasih kepada semua yang menjayakan aktiviti ini termasuk petugas-petugas dari luar Puteri Emas..

SELAMAT DATANG WAHAI BULAN YANG MULIA..

Saturday, August 22, 2009

PUTERI EMAS KENA PECAH MASUK LAGI...


Salam 1 Ramadhan..Ketika penduduk BWP riang menyambut ketibaan awal Ramadhan, satu lagi musibah datang melanda. Makhluk terkutuk yang berupa manusia berhati perutkan syaitan yang sering memecah masuk ke rumah orang kini datang lagi, masih menjadikan Puteri Emas sebagai sasaran kerja jahatnya.

Kali ini, rumah no. 293 milik En. Wan Fakhrudin menjadi mangsanya. Jumlah kerugian belum diketahui tetapi syukurlah saya dimaklumkan tuan rumah tidak meninggalkan wang tunai dan barang kemas/berharga semasa meninggalkan rumahnya pada minggu lepas.

Pencuri memecah masuk melalui pintu hadapan dimana gril besi dengan mudah sekali diumpil dan dipatahkan.

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN



Saat menunggu menjelangnya 1 Ramadhan pada petang (mahgrib) semalam, hati saya terasa sangat gembira. Banyak perkara yang menggembirakan hati ini. Syukur Alhamdulillah.. Pertamanya, saya masih hidup..sihat dan waras. ( Kesian saudara Ustaz Asri Ibrahim-tak sempat beribadah puasa lagi buat selama-lamanya-baru aje umur 40 tahun!)

Menitik air mata apabila Pak Chad melaungkan azan Maghrib..dalam hati kecil, saya ucapkan "Selamat Datang Wahai Ramadhan..semoga ibadat puasaku serta puasa sahabat-sahabatku tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun yang telah berlalu..".

Alangkah gembiranya kerana dapat menyambut ketibaan Ramadhan yang dikenali sebagai Bulan Seribu Rahmat, Seribu Maghfirah..Ganjaran pahala ibadat fardhunya digandakan sehingga 7o kali berbanding di dalam bulan-bulan yang lain..

Hati saya bertambah lagi gembira apabila saya dapat melihat ramainya bilangan ahli jemaah yang datang..hati ini berbisik lagi : "Kalaulah sebelum dan selepas Ramadhan, jumlah inilah juga yang memenuhkan ruang solat surau ini...(bisikan saya terhenti setakat itu sahaja)". Bilangan yang terpaksa dilimpah-ruahkan sehingga ke kaki lima/koridor surau..hingga ada yang baru datang tetapi terpaksa pulang semula kerana ketiadaan ruang untuk bersolat.

Derma serta sumbangan ikhlas daripada para jemaah turut mencurah-curah membasahi bumi surau ini. Sebutlah apa sahaja aktiviti atau program yang nak diadakan atas nama surau, bendahari surau terus tersenyum lebar..apa tidaknya? Tak perlu susah-susahkan diri pergi keluarkan wang dari akaun bank surau..cukup dengan derma kilat ahli jemaah..tak sampai seminggu, wang kutipan dah pun mencukupi..

Saya bagi pihak surau, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penderma. Doa kami sentiasa mengiringi setiap sen yang tuan-tuan dermakan. Sesungguhnya tidak akan bertukar jadi miskin sekiranya kita suka menderma. ALlah tentu akan memberikan balasan yang setimpalnya..

Faktor kegembiraan saya seterusnya ialah peningkatan bilangan ahli jemaah yang tetap. Purata setiap malam (sebelum Ramadhan ) sekitar 20-30 orang. Kekal bersama dalam kuliah Maghrib adalah kira-kira serama 10-15 orang. Bagi saya, itu satu jumlah yang cukup memberangsangkan..dan boleh ditingkatkan lagi!!

Faktor terakhir ialah kewujudan satu tiang bendera betul-betul di hadapan tangga sayap kiri surau..apabila didongakkan kepala ke atas, nah..sedang berkibar megah bendera Jalur Gemilang..Hasrat jadi kenyataan..Asalnya kita nak pacakkan batang buluh sahaja untuk dijadikan tiang bendera, tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya..kerana ada seorang insan pemurah yang berkata kepada saya : "Ustaz jangan memalukan surau kita..mana ada lagi orang pasang bendera guna batang buluh? Semua dah besi sekarang..!!" Alhamdulillaah..siapa sangka?

Maka tahun ini, bermulalah Ramadhan dengan pengibaran Jalur Gemilang..Selamat Berpuasa dan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-52.

Thursday, August 13, 2009

SELESEMA BABI : AMARAN ALLAH KEPADA MANUSIA

Saya masih teringat kata-kata daripada seorang guru agama sewaktu saya masih kecil dahulu : “Di antara tanda-tanda hampirnya Qiamat ialah banyaknya berlaku wabak atau penyakit baru yang dahulunya tidak pernah kita dengari sebagai bala dan balasan daripada Allah SWT ke atas kejahatan dan keingkaran manusia”.

Wabak yang terbaru yang sedang menggusarkan semua ummat manusia hari ini, iaitu H1N1 atau dikenali juga dengan ‘Selsema Babi’ turut merupakan satu bentuk hukuman daripada Allah SWT.

Kadang-kadang, Allah menurunkan bala dan azabNya sebagai peringatan atau amaran agar manusia segera kembali semula ke jalanNya. Renungkanlah kembali sejarah Thamud, Aad, Bani Israel dan ummat-ummat lain yang terdahulu daripada kita yang diceritakan Allah di dalam Al-Qur’an. Mereka ditimpa balasan azab yang amat mengerikan lantaran kesombongan serta keingkaran mereka untuk tunduk patuh kepada Allah SWT. Bukan sahaja mereka enggan menerima ajaran dan nasihat para rasul serta utusan-utusan Allah, bahkan lebih dahsyat lagi ada di antaranya yang diusir, disiksa dan dibunuh dengan kejam.

Negeri kaum Nabi Luth (Sodom), yang terkenal dengan perbuatan jijik mereka melakukan hubungan seks sesama lelaki (homoseksual) pernah dihilangkan daripada peta dunia dengan cara ALlah SWT mengangkatnya, menterbalikkannya lalu menghempaskannya sehingga terbenam dan terpelosok jauh ke dalam perut bumi. Dengan itu, penyakit AIDS yang hampir wujud akibat perbuatan mereka ketika itu, dapat dibanteras daripada merebak.

Sebagai seorang Islam, kita mesti percaya bahawa semua penyakit datangnya daripada ALlah SWT. Dialah yang menurunkan penyakit dan Dialah yang menyembuhkannya. Selain berusaha untuk mengubati dan menghindari penyakit ini, kita juga diwajibkan berdoa kepadaNya. Dengan berdoa, bererti kita menzahirkan sifat lemah kita di hadapan ALlah serta kebergantungan kita sepenuhnya kepada Dia.

Nabi SAW menyuruh kita supaya memohon pertolongan daripada ALlah SWT dengan memperbanyakkan solat, menjauhkan semua bentuk maksiat dan dengan membiasakan diri mendirikan solat di rumah-rumah ALlah.

Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Hampir-hampir ALlah SWT ingin menurunkan azabNya ke atas penduduk bumi tetapi Dia menangguhkannya kerana terpandang masih ada di kalangan hambaNya yang mendirikan solat ( berjemaah ) di rumah-rumahNya.

Berdasarkan hadith di atas, di antara rahsia dan hakikat solat berjemaah itu sendiri, ianya mampu menyelamatkan kita serta ahli keluarga daripada tertimpa azab atau balasan daripada ALlah. Maka fahaman sebaliknya (mafhum mukhalafah), kalau kita sengaja meninggalkan solat secara berjemaah, sengaja membiarkan rumah-rumah ALlah sunyi sepi, kosong tanpa penghuninya, maka kita sebenarnya sedang menjemput azab ALlah supaya datang menghampiri kita.

Sekali lagi, janganlah lagi berlagak sombong..datanglah ke surau kita agar dapat kita dirikan solat fardhu beramai-ramai. Tinggalkanlah urusan di rumah tu sekejap.. (20 minit sahaja saya minta masa tuan-tuan). Saya tak mahu minta apa-apa yang lain dari tuan-tuan, selain masa tuan-tuan yang begitu berharga tu..luangkanlah sedikit masa untuk kita sama-sama menyembah ALlah..Tuhan yang memberikan kesenangan hidup kepada kita hari ini..

Terima kasih.. Dapatkan artikel ini dalam bentuk flyer dengan memuat-turunkannya DI SINI.

"PadaMu Ya ALlah aku berharap, bukakanlah pintu hati sahabat-sahabat dan jiran-jiranku agar tersentuh hati-hati mereka setiap kali mendengar panggilan muazzinMu.."

Wednesday, August 12, 2009

SOLAT HAJAT PERDANA WABAK H1N1

Solat Hajat Perdana bagi memohon perlindungan ALlah SWT daripada penularan wabak merbahaya H1N1 akan diadakan seperti butiran berikut :

Tarikh : 13 Ogos 2009 ( Khamis )
Masa : Selepas Bacaan Yasin/Tahlil

Semua penduduk BWP yang berkelapangan dijemput hadir beramai-ramai. Marilah kita sama-sama berdoa semoga malapetaka wabak merbahaya ini tidak lagi berterusan meragut nyawa manusia..

Para penduduk juga dinasihatkan supaya mengamalkan solat secara berjemaah di masjid/surau sebagai langkah usaha kita menolak bala ini daripada menimpa kita dan keluarga.

PENGEMASKINIAN DATA JEMAAH SURAU DAN PERUBAHAN SISTEM MAKLUMAN

Dimaklumkan bahawa pihak pengurusan Surau Al-Hidayah kini dalam proses mengemaskini data anggota jemaah sebagai salah satu usaha untuk menambahbaikkan sistem penyaluran makluman yang lebih pantas dan efisien.

Sehubungan itu, tuan-tuan yang menghuni BWP termasuk di Villa Suria diminta supaya memaklumkan kepada pihak surau data peribadi tuan-tuan. Maklumat yang diperlukan ialah :

1) Nama penuh ketua rumah,
2) nombor rumah,
3) nombor handphone untuk dihubungi.

Sila sms-kan maklumat tuan-tuan ke 017-6150169 (Ust. Haji Kamal).
Mulai bulan Ramadhan ini, Risalah Al-Irsyad tidak akan diedarkan lagi ke rumah tuan-tuan kerana kami menghadapi masalah ketiadaan 'Budak Penghantar Surat'. Sebaliknya sebarang maklumat berkaitan aktiviti Surau Al-Hidayah akan disalurkan terus ke handphone tuan-tuan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS). Namun demikian, penerbitan risalah Al-Irsyad tetap akan diteruskan dan tuan-tuan boleh mendapatkannya di surau atau memuat-turunkannya dari laman blog ini.

Sila maklumkan kepada rakan/jiran yang berdekatan. Kerjasama tuan-tuan amat kami hargai.

Monday, August 10, 2009

REBUTLAH PELUANG BERIBADAH TANPA MENGIRA SIAPA KITA

Sabda Rasulullah SAW : "Sesungguhnya Allah Ta'ala sangat berbangga dengan orang-orang tua yang rajin beribadat, TETAPI Allah lebih berbangga dengan orang-orang muda yang rajin beribadat.."

Dalam hadith yang lain, Nabi SAW bersabda : "Rebutlah 5 perkara (masa untuk beribadat) sebelum tiba 5 perkara sebaliknya..(antaranya) : Masa muda kamu sebelum tibanya hari tua".

Tuan-tuan yang saya kasihi,

Post kali ini, saya ingin tujukan khas kepada tuan-tuan yang jarang, amat jarang atau tak pernah langsung mendatangi surau kita untuk menunaikan solat berjemaah. Saya bukan nak menyibuk atau mengganggu privacy tuan-tuan. Harapan saya, semoga tulisan ini dapat memberikan sedikit cetusan ke arah pembukaan minda dan hati kecil sesiapa yang membacanya. Jika benar, terimalah..jika salah, biarlah salah itu pada saya dan perbetulkanlah saya.

Saya kadang-kadang terfikir-fikir..apa sebab atau alasan tuan-tuan tidak dapat datang ke surau kita untuk berjemaah bersama-sama rakan yang lain-lain? Pernah juga saya terfikir untuk menjalankan satu kaji selidik mengumpul seberapa banyak alasan daripada mereka yang tidak dapat datang ke surau kita. Saya amat takut sekiranya alasan tuan-tuan tidak mahu ke surau adalah kerana kebencian kepada saya sebagai salah seorang imam yang dilantik. Kalau sekiranya itulah alasannya, silalah beritahu saya agar dapat saya selesaikan masalah tuan-tuan ini sepantas yang mungkin. Dan dalam masa yang sama, tuan-tuan cadangkanlah nama sesiapa yang tuan-tuan fikir layak untuk kita lantik beliau sebagai imam surau kita. Insya'Allah, saya bila-bila masa sahaja bersedia menjadi makmum kepada beliau.

Namun, sekiranya alasan tuan-tuan tidak mahu ke surau kerana sibuk, tiada masa, badan letih, kepenatan, rumah jauh, tiada kenderaan, tidak ngam dengan jemaah surau, sentiasa out-station, bimbang tinggalkan anak bini kat rumah, takut nanti rumah dipecah masuk penyamun atau apa sahaja alasan yang tidak mampu saya sebutkan lagi..tolonglah fikirkan sekali lagi. Betulkah itu alasan sebenar kita atau hanya rekaan fiksyen tuan-tuan semata-mata?

Ada yang beritahu saya, "Ustaz, saya mengaku memang saya tak pernah ke surau. Tetapi saya solat di masjid. Bukankah solat di masjid lebih afdhal daripada solat di surau?". Bangganya saya apabila mendengar pengakuan salah seorang rakan kita ini bersama hujah dan dalilnya. Nak diberikan hujah kita pula, takut panjang pulak ceritanya. Akhirnya, "Ye lah..betul kata tuan. Tapi tak bolehkah kalau dapat juga tuan datang ke surau kita meskipun hanya satu waktu sahaja dalam seminggu?".

Ada pula yang berkata, "Saya cukup fed-up dengan surau kita ni, ustaz. Pernah satu hari tu (tahun 2007), saya ke surau, ada seorang jemaah tu, dia hentam kerajaan dengan kata-kata yang cukup kesat. Terasa betul hati saya..sebab saya ni orang kerajaan. Bahkan ada juga ustaz yang bagi kuliah (bukan Ustaz Kamal), diselitkan dalam kuliahnya dengan isu-isu politik yang berat kepada pembangkang..Sebab tu, sampai hari ni, saya tak pergi lagi ke surau kita tu".

Saya setuju sebahagian kata-kata rakan kita di atas tu. Sejak dari dahulu, sekarang (dan mungkin selama-lamanya), mana-mana masjid atau surau di Malaysia, rata-rata yang datang mengimarahkannya adalah mereka yang datangnya dari 'that side'.. Bagaimana dengan 'this side'? Datanglah beramai-ramai supaya kita dapat mengimbangi surau tersebut. Habis tu, ustaz pun ramai dari 'that side', macamana? Kita pun apa kurangnya. Kalau takde nak dilantik jadi imam tetap pun, kita jemputlah sekali-sekala ustaz-ustaz 'this side' datang berikan ceramah di surau kita. Ajak rakan-rakan se'ideologi' dengan kita, jom kita ke surau Al-Hidayah..jangan bagi peluang orang-orang 'that side' menguasai surau kita.

Tuan-tuan,
Maafkanlah saya. Bukan maksud saya di atas tu, untuk mengasing-asingkan jemaah. Awak orang sana, dia orang sebelah sini..Ingatlah, bila kita datang ke surau, tujuan utama kita adalah untuk nak beribadat (solat). Kita berdiri menghadap qiblat yang sama, tuhan yang sama dan solat yang sama. Imam pun, imam yang sama. (Belum ada berlaku solat 2 imam di sini). Ideologi kita masing-masing tu, gantungkanlah terlebih dahulu di pagar surau tu.. Saya akui, majoriti jemaah kita dan jemaah masjid surau lain sekali pun adalah pro-that side. Pernahkah kita terfikir kenapa surau masjid lebih ramai dikunjungi oleh mereka? Apakah kerana keberkesanan tarbiyyah oleh pemimpin-pemimpin mereka? Atau melalui kuliah-kuliah agama yang disampaikan oleh ustaz-ustaz serta ulamak mereka? Ntahlah..saya belum buat kajian lagi..

Tidak kiralah tuan-tuan orang pro apa sekali pun, jemputlah datang ke surau kita. Marilah kita jadikan surau kita sebagai tempat untuk kita hidup saling berkasih-sayang dan bersatu padu. Buanglah keegoan kita tu..tundukkanlah hati kita di hadapan Allah. Akuilah kesilapan dan kembalilah ke jalan kebenaran. (Nasihat ini, juga untuk saya sendiri!)..

Ada juga sebahagian kecil jemaah yang beri alasan tak ke surau kerana terkecil hati dengan kata-kata perli dan sindiran dari ahli jemaah yang lain. Maksud saya, apabila seorang hamba Allah ni, yang baru nak berjinak dengan surau, tiba-tiba datang ke surau..ada ahli jemaah surau yang mulutnya agak laser sikit lemparkan kata-kata seperti perli atau menyindir bunyinya..akhirnya, kawan ni, terus tak datang langsung!! Saya tak nak komen apa-apa dalam bab ni..sebab saya tak tahu pun ada kes seperti ini. Saya sendiri pun tak pernah kena sindir apabila pertama kali jejak kaki di surau setelah sebelumnya saya asyik berjemaah di masjid-masjid lain. (sebab kerap takde orang kat surau, saya ke masjid/surau lain).

Kalaulah betul seperti didakwa, ini pun satu lagi penyakit orang-orang kita. Yang jenis suka menyindir ni, apakah dia rasa dia tu dah cukup bagus sangat ke? Kita sepatutnya bersyukur, berbangga dan ucapkan tahniah apabila surau kita didatangi ahli jemaah baru. At least, ahli surau kita bertambah lagi seorang.

Yang baru nak jenguk surau pula, janganlah buat-buat macam kera sumbang atau seperti rusa masuk BWP. Bergaul mesralah dengan jemaah yang lain-lain tu..bersama-sama ikuti kuliah agama, lepas tu sama-sama kita pekena teh tarik dan roti Babu sebaik sahaja selesai solat Isyak..janganlah datang ke surau kemudiannya duduk sorang-sorang jauh nun di bahagian belakang. Selama ni saya perhatikan tiada apa-apa masalah pun dengan kehadiran ahli jemaah yang baru. Kita terima dengan gembira, suka hati dan dalam masa yang begitu singkat, mereka ni dah jadi macam orang yang dah lama/biasa dengan kita..

Mungkin cerita tuan-tuan tu, cerita 3 tahun yang lalu..Situasi tersebut kini sudah berubah, tidak lagi seperti dahulu. Jomlah.. datanglah semula ke surau kita, insya'Allah tuan akan dapat rasai kelainannya. Kalau tuan rasa surau kita perlukan lagi kepada perubahan, berbincanglah..kita sentiasa alu-alukannya demi kebaikan kita bersama juga.

Tidak kurang juga yang memberi alasan kerja lewat malam, atau malam baru tiba kat rumah..Saya faham, saya pun pernah bekerja sampai jadi sibuk macam tu. Bagaimana dgn hari-hari tak bekerja? Hari kita bersantai di rumah bersama keluarga? Pun tak dapat datang juga ke surau.. Jadi, apa alasan kita yang sebenarnya?

Ketika usia kita masih muda ni, janganlah nak tunggu pencen baru nak cari masjid surau. Jenguk-jenguklah sikit..Tak setiap waktu pun, satu waktu satu minggu pun OK lah tu..sesuai dengan tahap alasan kesibukan kita..(tp bagi Islam, amat belum OK lagi le..). Satu soalan dari saya, bagi orang-orang yang suka memberi alasan bertangguh ni, iaitu nanti kalau dah pencen, kami ke surau le.. yakinkah kita bahawa kita ni boleh hidup sehingga tarikh pencen tu?

Semua alasan tadi, bagi saya..ia kembali kepada pokok persoalan yang pernah saya bincangkan..Iaitu kita semua masih berlagak SOMBONG di hadapan ALlah SWT. MALAS ke rumah-rumah ALlah dengan mencipta beratus bahkan beribu alasan.. Begitulah sifat kebanyakan manusia, semakin diberikan kesenangan, semakin menyusahkan diri untuk menziarahi rumahNya. Apa guna kereta bersusun-susun di hadapan rumah kalau sebijik pun tak dapat nak digunakan untuk ulang-alik ke masjid/surau? Sesungguhnya itu adalah satu penyelewengan ni'mat yang pastinya akan dipersoalkan di Hari Akhirat nanti..

Akhir sekali saya nak tujukan kepada tuan-tuan yang mempunyai latar-belakang pendidikan agama atau bekerja di institusi yang berkaitan dengan agama (seperti Pusat Zakat, JHEAINS, MAINS) terutamanya mereka yang bergelar ustaz atau guru agama..

Saya pun kadang-kadang hairan bercampur sedih juga dengan sikap tuan-tuan ni. Sepatutnya orang macam tuan-tuanlah yang menjadi contoh menjadikan diri sebagai ahli jemaah tetap di surau kita, menjadi imam sekiranya ketiadaan imam bertugas, menggiat-aktifkan apa sahaja program agama anjuran surau dan seumpamanya. Tetapi malangnya..tuan-tuan sendiri pun termasuk dalam golongan orang yang perlu dinasihatkan. Kata seorang ahli sufi : "Bagaimana air telaga nak jadi tawar kalau mata airnya sendiri sentiasa masin?"

Terima kasih. Sebarang komen, sila direct ke diri saya di surau. Kita bincang sambil pekena Kopi Arab!

Ustaz Haji Kamal bin Ismail.


** Mungkin selepas membaca posting ini, ada di antara tuan-tuan yang melabelkan saya sebagai imam samseng. Title tersebut pernah diberikan kepada saya oleh juhala' Puteri Bestari selepas kata-kata pesanan saya pada malam tahlil arwah di rumah Encik Azmi Mayan. Biasalah tu..kadang-kadang percakapan kita ni, kita maksudkan lain tetapi orang lain faham lain..Dalam kes imam samseng ni, saya pernah berkata bahawa orang yang tidak ke masjid/surau ni (lebih suka dirikan solat fardhu sorang-sorang di rumah), mereka ni dicopkan oleh Allah sebagai orang yang cuba nak memutuskan hubungannya dengan Allah. Dan sesiapa yang memutuskan hubungan dengan Allah, kita pun sewajarnya turut berbuat demikian. Cintailah orang yang dicintai Allah nescaya kamu pun akan turut dicintai Allah..tetapi sekiranya kita cintakan orang yang dilaknati Allah, maka kita pun akan turut mendapat laknatNya.. Jadi, saya beri amaran : Sesiapa yang tetap berdegil tak nak datang ke surau (saya minta mereka datang at least sekali sahaja dalam seminggu), jangan terkejut sekiranya suatu hari nanti, pihak surau tak akan datang ke rumahnya apabila ada dibuatnya majlis-majlis tahlil arwah, kesyukuran atau seumpamanya di rumahnya.

Semenjak itulah saya dilabelkan sebagai imam samseng. Baiklah, saya nak tanya tuan-tuan satu soalan lagi..Nabi pernah mengugut untuk membakar rumah orang-orang yang tak solat berjemaah di masjidnya, apakah nabi pun nak dilabelkan sebagai samseng? Memang agak susah berhadapan dengan juhala' berpendidikan tinggi ni..cakap mereka hanya di belakang..bila kita ajak berunding, berbincang face to face, tak nak pula..Apa sahaja keraguan atau ketidakpuasan yang timbul dalam hati tuan-tuan, any time jumpa saya di surau pada waktu mahgrib, isyak dan subuh.

Friday, August 7, 2009

HIDAYAH YANG TERHALANG

Saya masih teringat kepada arwah seorang jiran semasa di kampung dahulu, di Kuala Terengganu. Rumahnya memang terlalu hampir dengan dinding masjid. Tidak keterlaluan jika saya katakan mungkin tak sampai pun 10 langkah. Namun demikian, amat malang sekali..walaupun rumahnya yang amat begitu hampir dengan masjid, beliau jarang solat berjemaah di sana. Nak tengok muka beliau satu kali dalam seminggu tu, hanya pada solat Jumaat sahaja..

Setiap kali imam masjid (bapa saudara saya) bertanyakan berkenaan perbuatan beliau, bermacam alasan yang diberikannya. Setiap malam, corong pembesar suara masjid yang menghala ke rumah jiran saya ini sentiasa kedengaran kuliah-kuliah agama yang disampaikan oleh imam-imam tenaga pengajar yang bertauliah.

Sehinggalah pada suatu hari, beliau jatuh sakit, sakit yang akhirnya membawa kepada kematian. Setiap kali masuk waktu solat, beliau ingin bersolat. Soalan yang sering ditanyakan kepada ahli keluarganya ialah "Orang dah azan ke belum?" padahal suara muazzin cukup kuat melaungkan azannya..Beliau tidak dapat mendengar suara azan (sehingga ke saat kematian) sebaliknya tiada masalah pendengaran pun apabila mendengar cakap-cakap dari orang lain. Di saat hampir sakratul maut, anak-anak mentalqinkan beliau dengan kalimah tauhid. Beliau bertanya kepada mereka "Apakah ucapan yang senyap sunyi tersebut?" kerana beliau tidak dapat mendengari dari mulut anak-anaknya..

Cerita di atas hanyalah sekadar renungan untuk saya nak berkongsi dengan tuan-tuan. Dewasa ini, ramai dari kalangan kita yang masih tidak endahkan panggilan azan. Tanyakanlah diri anda, semasa azan (terutamanya azan Maghrib) sedang dilaungkan, di manakah sepatutnya diri kita berada? Di rumah, di padang takraw, di tepi-tepi jalan atau di shopping complex? Atau ada tempat yang lebih baik lagi dari yang saya sebutkan itu?

Maaflah kalau tulisan saya ini menyinggung sesiapa yang berkenaan. Fikir positif..saya tak sebut pun nama individu-individu yang tertentu. Ianya adalah umum, mungkin termasuk saya sendiri juga. Saya nak sentuh pasal istilah 'Qudwah' atau contoh ikutan yang baik. Saya mengaku, saya tidaklah sebaik tuan-tuan.

Sejak sukan sepak takraw di Puteri Emas mula diperkenalkan, saya dapati hubungan sesama penduduk yang suatu ketika dahulu pernah ter'renggang' sedikit, kini dapat dirapatkan semula. Saya setuju dengan suara hati saudara Iskandar (izinkan saya mention nama tuan-sebab ini perkara baik) semasa berbual di surau beberapa minggu yang lalu, kita di BWP tidak sepatutnya hidup berkelahi, bermasam muka dan seumpamanya. Anggaplah perselisihan faham selama ini sebagai gurauan yang tidak perlu dipanjangkan. Saya cukup gembira mendengarnya. Istilah orang kampung saya, kita just forget and forgive je lah..

Takde faedah pun kalau kita hidup bermasam muka. Dahulu, sebelum mengenali Encik Sahak (izinkan saya mention nama tuan-sebab ini pun perkara baik), saya disogokkan dengan cerita-cerita buruk mengenai beliau. Ada juga timbul rasa benci kat beliau..padahal orangnya pun saya tak kenal lagi (Astaghfirullah Al-Azim..!!) Setelah saya rapat dan kenal (walaupun tak banyak) beliau, saya rasa beliau juga seorang yang patut kita hormati. Mungkin akan ada yang tak bersetuju dengan kata-kata saya ini. Tak apa..itu hak tuan-tuan.

Kini saya merasakan cukup puas hati dengan suasana kehidupan di surau. Encik Sahak serta beberapa ahli jemaah lain yang telah lama berjauh hati dengan surau, kini telah kembali. Orang surau yang dahulunya pernah terlibat dalam isu tuduhan liar terhadap Encik Sahak, semuanya telah menyesal dan menerima beliau sebagai ahli surau.

Bagaimana pula dengan sebahagian yang masih nak bermusuhan dengan beliau pula? Nasihat saya, sudah-sudahlah tu.. Elok sangat ke kita tunjukkan pe'el perangai macam kanak-kanak tu? Tambah pula, Ramadhan dah hampir benar ni.. Buang-buanglah perangai kesyaitanan tu dan isikanlah dengan sifat kemalaikatan pula.. Boleh ke? Insya'Allah ye..

Selamat Menyambut Ramadhan !!



LAGI KES PECAH RUMAH DI BWP

Satu lagi kes pecah rumah yang terbaru di Puteri Emas, kali ini mangsanya ialah Encik Abdul Halim Abas yang beralamat di No. 188. Kejadian yang berlaku pada hari Khamis, 06 Ogos 2009 dipercayai berlaku antara jam 9-11 pagi ketika hampir semua penghuni ke tempat kerja masing-masing. Anggaran kerugian (wang tunai dan barangan kemas ) mencecah RM3000.

Secara peribadi saya merasakan cukup sedih dengan kejadian ini. Kita telah berikhtiar dengan menubuhkan kawalan keselamatan, namun kehendak Allah tetap jua berlaku. Nampaknya langkah lebih berjaga-jaga perlu diambil terutama dengan memohon sokongan bantuan daripada para suri rumah dan mereka yang tidak bekerja pada waktu pagi.

Sama-samalah kita berbakti dengan memberikan sedikit sumbangan kepada En. Abdul Halim sebagai bantuan kita untuk meringankan beban beliau dan sekali gus membuktikan semangat kekitaan yang masih utuh di kalangan kita.

Program Kawalan Keselamatan Desa 3 Puteri akan diperketatkan lagi dengan memohon kepada semua penduduk Desa 3 Puteri agar menyokong sepenuhnya antaranya dengan menyegerakan bayaran bulanan serta menambahkan lagi jumlah penyertaan.
إنا لله وإنا اليه راجعون

Thursday, August 6, 2009

MANFAATKAN KEMUDAHAN YANG ADA..

Apabila meneliti mesej-mesej yang disampaikan di dalam shout-mix blog ini, saya dapati para pengunjung blog hampir semuanya adalah mereka yang bersifat matang dan intelek. Banyak pertanyaan melibatkan kemusykilan diajukan untuk dijawab oleh mereka yang berkelayakan. Disamping itu, suasana perbincangan yang kondisif juga telah mula terserlah. Sekali lagi ucapan tahniah dan syabas kepada semua pengunjung blog yang memanfaatkan kemudahan ini.

Adat dan lumrah kehidupan ini, dalam seratus manusia yang baik, akan ada sekurang-kurangnya satu manusia yang kurang baik. Saya sentiasa mengingatkan para penghantar mesej shout-mix, gunakan bahasa yang baik, mesej yang berguna dan elakkan daripada mengutuk, memfitnah, mengecam, menjatuhkan maruah serta membuka aib orang dan seumpamanya. Kita mesti faham bahawa blog ini bukan hanya diakses oleh penghuni BWP semata-mata, bahkan surau-surau lain serta rakan-rakan saya yang berada di Mesir, Scotland dan Australia pun pernah melayari blog ini.

Saya juga pernah mendapat nasihat dari Lobai Kampung supaya dihapuskan shout-mix ini kerana terdapat beberapa pengunjung yang memasukkan tulisan yang kurang sesuai dan boleh mendatangkan fitnah.

Nasihat saya kepada semua pengunjung, gunalah sebaiknya..jangan kerana anda seorang, seratus yang lain ditimpa kesusahan.

Banyak juga pertanyaan di dalam blog ini yang saya tak dapat berikan respon. Saya amat berharap andainya ada ustaz-ustaz lain seperti Ust Zawawi, Ust Hj. Azzhar dan lain-lainnya dapat memberikan jawapan dan respon terhadap semua pertanyaan yang diajukan. Buat masa ini, saya tidak dapat bersama tuan-tuan kerana saya sedang sibuk dalam menyiapkan diri untuk pembentangan tesis dan ujian hafazan qur'an selain usaha saya untuk menyambung semula penulisan sebuah buku.

Salam Ramadhan, semoga kita semua dapat bertemu dengan bulan mulia ini. Selamat berpuasa dan jangan lupa, segerakan pengeluaran zakat fitrah anda !!

Monday, August 3, 2009

WAHAI MANUSIA..JANGANLAH BERLAGAK SOMBONG !

Salam 1 Malaysia kepada semua pengikut setia blog Surau Al-Hidayah.. Nampaknya saya masih tidak dapat bersama anda pada setiap hari, memandangkan masa sibuk saya semakin bertimpa-timpa dan tidak putus-putus dengan program sekolah mahu pun luar sekolah. Ditambah pula Celcom Broadband saya masih dalam proses menuntut ganti baru (masih dalam warranty).

Usaha dakwah atau mengajak manusia ke arah kebaikan adalah satu usaha yang mulia dan merupakan satu kebanggaan bagi Allah di hadapan para malaikatNya. Usaha ini tidak wajar sama sekali dihentikan meskipun terpaksa berhadapan dengan tentangan, rintangan, ugutan dan seumpamanya. Mencontohi sifat mulia Rasulullah SAW, sepatutnya kita menjadi orang yang semakin kuat semangatnya setiap kali kita diuji oleh Allah Ta'ala. Jika dibandingkan dengan generasi da'ie (pendakwah) terdahulu, siapalah diri kita ini..orang-orang dahulu, mereka sanggup tinggalkan anak isteri, menginfaqkan keseluruhan harta bahkan menggadai nyawa mereka sendiri demi meneruskan usaha mereka menegakkan kemuliaan agama di persada dunia ini. Kesabaran serta ketabahan mereka amat jauh jika dibandingkan dengan kita.

Sehingga kini, usaha dakwah kita dalam mengajak rakan-rakan serta jiran tetangga beramai-ramai mendatangi dan memenuhi surau masih lagi dalan tahap gear 2. Apakah kita tidak ada kekuatan untuk menolak gear tersebut ke gear 3 ? Kalau dahulu kita sering menggunakan konsep Tabsyir Fi Al-Dakwah, apa kata kalau sekarang kita guna pula Konsep Tanzir atau Takhwif ?

Bandar Warisan Puteri mempunyai lebih kurang 400 buah rumah yang berpenghuni ( termasuk Villa Suria, di Tebing Gaza ). Ini bererti Surau Al-Hidayah mempunyai 400 orang ahli jemaahnya. Itu tidak dikira anak-anak lelaki yang telah baligh. Persoalannya, purata jumlah jemaah di surau kita pada setiap malam (siang disibukkan dengan kerja) termasuklah malam minggu sekali pun, cuma di antara 20-25 orang. [ Kadang-kala malam minggu makin kekurangan jemaah ]. Ke mana perginya baki 380 orang lagi ? Ke masjid Sikamat berapa orang ? Ke masjid Ampangan berapa orang dan ke Masjid Negeri berapa orang ? Dan kekal berada di rumah, di hadapan TV berapa pula jumlahnya ?

Bilangan 20-25 orang itu ialah jemaah yang solat Maghrib dan Isyak. Bagaimana pula dengan jumlah bilangan yang masih setia di surau bagi mengikuti program kuliah dan pengajian agama yang disampaikan ? Saya nak ucapkan tahniah dan terima kasih kepada sejumlah kira-kira 8 orang ahli jemaah yang tetap setia menunggu sehingga selesainya solat Isyak, mengikuti kuliah dan sama-sama bersoal-jawab menambahkan ilmu pengetahuan untuk dijadikan peneguh amalan sebagai bekalan di akhirat esok..

Dalam kesempatan masa yang sedikit terluang ini, saya (ntah kali yang ke berapa ni..) menyeru, mengajak dan mempelawa tuan-tuan terutamanya penghuni BWP yang tidak ke masjid-masjid atau surau-surau lain, marilah kita sama-sama imarahkan surau kita. Marilah kita menambahkan lagi keseronokan solat berjemaah dengan bilangan yang lebih ramai..dan dalam masa yang sama, kita boleh saling kenal-mengenali antara satu sama lain. Secara terus-terang, saya mengenali sebahagian kecil penghuni BWP kerana pertama, mereka adalah jiran terhampir dengan rumah saya dan kedua, kerana mereka adalah pengunjung surau taman kita. Masih ramai lagi rakan penghuni BWP yang ingin saya kenali dan sebaik-baiknya biarlah pertemuan atau perkenalan kita berlaku serta disaksikan oleh rumah Allah..Kita sama-sama hidupkan konsep bertemu dan berpisah kerana Allah..

Ustaz Haji Kamal