Monday, November 9, 2009

BIARLAH KITA MENULIS UTK PAHALA

Assalamualaikum..

Nampaknya ramai pelawat blog surau masih menggunakan peluang chat-box untuk mengutuk, meluahkan rasa tak puas hati dan menghentam sesama sendiri. Saya nak larang pun, masing-masing dah besar panjang..

Tuan-tuan yg saya kasihi sekalian,
Saya akui saya ni bukan orang berpendidikan agama..jd, mungkin selepas pengambil-alihan kendalian blog ini dr ust Kamal, entry atau postingnya tidak banyak ditulis berkaitan tajuk keagamaan.

Saya mungkin akan masukkan maklumat-maklumat, berita atau isu-isu tertentu sahaja berkaitan dgn surau kita. Tambah pula, saya bukannya ada bakat penulisan yg baik pun. Namun begitu, saya akan cuba utk menjadi yg terbaik. Sehubungan itu, saya harap jika ada di kalangan ust-ust (atau sapa-sapa shj) yg nak masukkan tulisannya ke dlm blog surau kita ini, sila lah e-melkan kat saya.

Saya cadang nak copy and paste beberapa artikel dr laman web/blog lain, tp ust Kamal tak setuju..kalau boleh, biarlah asli, katanya. Selamat..takde orang nak saman. Nasihat ust kamal pada saya, “tulis aje apa nak tulis..asalkan ianya ada manfaat utk pembaca. Bila ada manfaat utk orang, maknanya adalah pahala utk awak”..

Sekarang tahulah saya bahawa niat kita dalam apa sahaja perbuatan, ialah nak dapatkan pahala..menulis pun utk nak dapatkan pahala. (tolong tegur kalau saya silap..)

Sebab itu, saya harap sangat jika tuan-tuan dapat tulis yg baik2 sahaja dlm chat-box blog kita ni..Tuan-tuan takkan taknak pahala kot? Saya masih teringat, point dlm satu kuliah ust Kamal..katanya : ‘Kita hari ni, dok buat amal soleh, kumpulkan pahala banyak2, utk apa sebenarnya? Suatu hari kelak, kata ust Kamal, pahala2 inilah yg akan kita gunakan utk tebus balik/ bayar pampasan kesalahan2 yg pernah kita buat kat orang lain..masa tu, duit2 ni tak main lagi dah..termasuklah dinar yang ada pampletnya kat surau tu..Semua org nakkan pahala walau sebesar telur kutu (pinjam kata ust Hishamuddin)

Cukup lah dulu setakat ni..kalau tak tulis apa2, nanti tuan2 kata saya tak bertugas pulak. Susah kan, kalau dah terima amanah ni..Minggu depan, nak mintak ust Hishamuddin cerita lagi pasal amanah dan tanggungjawab, boleh ustaz ye? Kuliah ust Hishamuddin tempoh hari, menggeletar tapak kaki saya..serupa mcm menggeletarnya saya ketika ust kamal ceritakan pasal keperitan hidup di neraka..

Wallahu a’lam ¡

Sunday, November 8, 2009

TANPA TAJUK

Salam buat semua jemaah dan pelawat blog surau Al-hidayah,

Saya ambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada ust Hj. Kamal yang telah menyerahkan amanah beliau kepada saya utk mengendalikan blog ini. Saya adalah salah seorang jemaah (separa tetap) yang bekerja di luar Negeri Sembilan.

Setelah meneliti keputusan ustaz, saya terfikir bahawa blog surau ini banyak manfaatnya terutama di dalam mengenali siapa manusia di luar sana yang benar-benar manusia, siapa yang jasadnya manusia tp hatinya binatang dan siapa manusia yang nampak mcm manusia tp rupa-rupanya setan yang menyerupai.

Saya dpti di kalangan pelawat blog (saya konfiden mereka ialah orang BWP), ramai yang perlukan terapi jiwa..buktinya, peluang yang diberi utk mencoret sedikit coretan di blog ini digunakan utk menunjukkan ego masing-masing, kutuk-mengutuk dan caci-mencaci. Kalau inilah minda dan pemikiran kita, hancur !

Saya bukanlah orang yang mahir berkomputer, tp ada le sedikit pengalaman dlm mengendalikan blog ini. Saya memohon kpd ustaz agar blog ini terus diaktifkan krn masih ramai yg memerlukannya. Ust menyerahkan pengendalian blog ini kpd saya krn beliau kini sedang memberikan tumpuan kpd usaha penulisan dan penerbitan sebuah buku panduan ko-kurikulum unit unifom sekolah rendah. Utk makluman, ust Kamal adalah salah seorang tenaga penting di dalam pasukan unifom Kadet Remaja Sekolah Negeri Sembilan. Beliau kerap dipanggil menghadiri perkhemahan bagi memberi latihan dan bimbingan berkaitan aktiviti unit tersebut sama ada di sekolah-sekolah atau pun di institut perguruan.

Selain kesibukan sbg guru di sekolah, beliau juga dah mula sibuk dengan aktiviti kuliah maghrib di surau-surau dan masjid yang banyak kedapatan di daerah Seremban ini.

Atas rasa simpati terhadap beliau dan hasrat nak teruskan penyampaian maklumat surau melalui blog, saya menawarkan diri untuk mengambil-alih dan menyambung tugasan yg telah dimulakan oleh ustaz.

Sekiranya ada terdapat sebarang kelemahan pada blog ini slepas ini, saya mohon diberikan teguran membina.

Sekian. Wassalam..

MENGKARUNG PADANG PASIR
08 nOv 2009

Friday, November 6, 2009

MENDIDIK ANAK MENJADI ANAK AKHIRAT

Anak adalah anugerah ALlah yang tidak ternilai. Hidup sepasang suami isteri tanpa ditemani anak tentunya amat membosankan dan tentunya bertambah lagi kesengsaraan dan kepedihan apabila mati tanpa meninggalkan walau seorang zuriat pun!

Sebab itulah NAbi ALlah Zakaria AS sering berdoa siang dan malam agar dikurniakan ALlah seorang anak yang bakal menjadi penyambung keturunannya. Akhirnya, setelah berpuluh tahun merintih di dalam solat malamnya, ALlah utuskan seorang malaikat memaklumkan kepada baginda satu khabar gembira, iaitu kelahiran Yahya sebagai satu-satunya anak baginda di dunia ini. Bertuahnya Nabi Zakaria kerana anak yang belum lagi dilahirkan telah pun dinobatkan sebagai Rasul..tetapi malangnya bagi nabi dua beranak ni, kerana nyawa kedua-duanya akhirnya tamat di tangan kezaliman dan ke'bangang'an kaum mereka sendiri, bangsa Yahudi Laknatullah Alaihim Ajma'in yang sebelumnya memang dah terkenal sebagai kaum penyembelih Nabi.

Anak adalah termasuk amanah dan nikmat ALlah yang amat berharga. Justeru, syukurilah nikmat ini dan peliharalah amanah tersebut dengan cara yang betul lagi diredhai ALlah. Didiklah mereka dengan didikan agama sedari usianya baru beberapa saat sehinggalah dewasa. Terapkan ke dalam hati anak-anak fahaman yang mendalam tentang konsep 'hamba yang bertuhan'..fahamkan mereka bahawa mereka lahir ke dunia ini adalah sebagai manusia, bukannya sebagai lembu yang tidak bertuan..yang bebas memakan apa sahaja walau pun anak-anak pokok tanaman yang berada di ladang orang..dan kita, ibu bapa, adalah orang yang diamanahkan untuk menjaga mereka agar tidak sewenang-wenangnya melanggar titah dan perintah ALlah..tetapi jika kita sendiri yang mengkhianati amanah atau pertanggungjawaban ini, maka bersedialah untuk berhadapan dengan satu hari yang bakal menjadikan semua manusia menggeletar dari hujung kepala hingga ke hujung jemari kaki..

Di hari akhirat nanti, anak boleh jadi salah satu daripada dua : iaitu anak yang boleh menyelamatkan ibu bapanya daripada neraka Jahannam atau anak yang (dia sendiri) akan menjerumuskan ibu bapanya ke dalam sana..semuanya bergantung kepada bagaimana cara kita mendidik mereka pada hari ini..

Kalau hari ini, kita didik anak-anak dengan didikan agama, ajar mereka hingga mahir membaca Qur'an, sentiasa mendirikan solat walau macam mana penat sekali pun, tidak pandai nak berbohong walau sepatah kalimah, berpakaian sentiasa menutupi aurat, patuh dan taat kepada ALLah, Rasul dan ibu bapanya, memiliki akhlak yang amat terpuji dan seumpamanya lagi..insya'ALlah, tidak menyesal kita apabila berada di alam akhirat sana nanti..

Tetapi kalaulah anak diberikan pendidikan berbentuk keduaniaan semata-mata (dengan membelakang pendidikan agama), walau pun mereka berjaya menjadi manusia yang boleh dibanggakan oleh kedua ibu bapanya, apakah kebanggaan ibu bapa itu boleh diteruskan apabila salah seorang atau kedua-dua ibu bapanya telah terbaring jujur di atas usungan? Maka di alam sana kelak, kita akan pastinya dimusuhi oleh anak sendiri..mereka akan mendakwa kita di hadapan Tuhan Maha Perkasa, "Wahai Tuhanku, inilah bapak aku..punya harta melimpah-ruah tetapi tak mampu menjadikan aku sebagai hambaMu yang soleh..". Si anak turut mencaci dan memaki bapanya sendiri dengan kata-kata :"Kerana engkaulah, aku turut dicampakkan ke dalam neraka yang hina ini.."

Pengalaman saya sewaktu bertugas di pedalaman Terengganu dan Kelantan, saya temui banyak peristiwa yang sangat menyayatkan hati di mana anak-anak tidak tahu nak buat apa-apa ketika ibu bapa mereka sedang bergelut dengan sakaratul maut- wa imma nak ajar mengucap atau baca surah Yaasin pun tak dapat!

Begitu juga ketika menghadiri jemputan solat jenazah di sebuah masjid. Anak-anak berkumpul di pintu masuk masjid, menunggu ketibaan kami, para jemaah..apabila diajak untuk sama-sama mendirikan solat jenazah ke atas mayat bapa mereka, tiada seorang pun yang bergerak. Akhirnya semua mereka mengakui tak pernah dan tak pandai nak solat..bukan setakat solat jenazah sahaja, bahkan solat yang fardhu pun tak pernah..saya akhirnya mengimamkan solat jenazah tersebut sambil berlinangan air mata..tentu sedih dan menyesalnya si mati kerana kesemua 6 orang anak lelaki yang berada di luar sana tu, tiada seorang pun yang berdiri di hadapannya sekarang..kalau bukan sebagai imam pun, cukuplah sebagai salah seorang makmum pun dah dikira memadai..

Malang sungguh nasib kita jika memiliki anak dunia..namun, siapa yang nak kita persalahkan kalau bukan diri kita sendiri..kita sendiri yang membentuk anak kita menjadi anak dunia..

Bertindaklah segera sebelum tertimpanya kejadian seperti yang diceritakan di atas kepada diri kita. Didiklah anak agar menjadi anak akhirat..yang dapat membantu menyelamatkan ibu bapanya dari diazab di neraka Jahannam..Tunjukkanlah contoh yang baik kepada anak-anak kerana ia juga termasuk dalam kaedah pendidikan kepada mereka..

Thursday, November 5, 2009

PENDAFTARAN MENJADI AHLI SKUT

Banyak pertanyaan yang saya terima berkenaan Skim Kutu Umrah Tahunan (SKUT) yang diperkenalkan dua hari yang lalu. Nampaknya ada respon yang cukup memberangsangkan..

Untuk tidak menghampakan tuan-tuan yang dah tak sabar-sabar tu, pendaftaran SKUT dibuka mulai sekarang. Tuan-tuan boleh daftarkan nama melalui sms ke no hphone saya 017-6150169.

SKUT Kumpulan 1 dibuka penyertaannya seramai 20 orang bagi tempoh pembayaran selama 4 tahun. Bayaran pertama ialah pada atau sebelum 30 Disember 2009. First come, first serve..jika dah melebihi 20, SKUT Kumpulan 2 pula akan menyusul.

Jawatankuasa SKUT Kumpulan 1 akan dilantik dari kalangan ahli yang mendaftar.

Maklumat lanjut mengenai SKUT, sila ke surau kita dan dapatkan flyer yang ditinggalkan di sana atau jumpa saya pada bila-bila masa selepas solat jemaah.

Penyertaan DIUTAMAKAN kepada 'ahli jemaah tetap'..

Terima kasih.

Tuesday, November 3, 2009

PERTINGKATKAN MUTU SOLAT ANDA

Sebelum saya mulakan tulisan ini, saya mohon maaf kepada semua pembaca kerana tak dapat membalas atau memberi komen dalam chat box pada hari ini. Nampaknya komen dan pandangan tuan-tuan hari ini cukup menggalakkan. Cuma saya minta, janganlah diberikan pujian yang terlalu tinggi kepada saya. Bila dah naik tinggi, kalau terjatuh ke bawah, sakitnya sangatlah menyiksakan..

Tuan.puan yg saya kasihi sekalian,

Sejak kecil lagi, ibu bapa kita dah asuh dan didik kita untuk bersolat. Maka dengan berkat didikan tersebut, kita sampai hari ini berterusan mendirikan solat.

Persoalannya, solat kita yg kita tunaikan sejak umur 7 tahun hinggalah umur sekarang..apakah terdapat peningkatan padanya? Pernah tak kita selidiki mutu solat kita hari ini? Apakah sama solat kita sekarang dengan solat kita ketika berusia 7 tahun dahulu?

Inilah tajuk perbincangan yang ingin saya bawakan pada entry malam ini. Hidup kita perlu ada peningkatan..barulah nampak ada kemajuannya. Dahulu cikgu DG21 tp sekarang dah DG39 atau DG41..Dahulu pakai proton Iswara, sekarang dah Exora..

Itu pada pandangan zahir kita yang mudah kita nampak. Beralih kpd solat kita tadi..apakah solat kita ada berlaku peningkatan dari segi mutunya? sama ada bacaan, kekhusyukan dan kefahamannya..

Berikut adalah beberapa contoh berlakunya peningkatan dlm solat kita. Antaranya :

1) telah memahami makna bacaan dlm solat

2) berkekalan solat dalam jemaah di surau/masjid

3) datang awal - sebelum azan. Masuk ke surau/masjid paling awal dan keluar paling akhir.

4) menjadikan solat sunat rawatib sbg satu kemestian

5) solat tahajjud setiap malam dianggap sebagai solat fardhu ke-6

dan sebagainya lagi..

Sepatutnya, makin dah lama kita solat, maka makin mantaplah solat kita. Tapi apa yang berlaku..sampai sekarang, maksud doa iftitah pun masih tak tahu-tahu lagi !

Berusahalah semoga solat kita yang kita jadikan ia sebagai hadiah untuk Allah, adalah hadiah yang terbaik untukNya. Pelajarilah dan kunjungilah majlis-majlis ilmu..sebelum Izrael datang memberikan salam kepada kita..

APABILA WAKTU SEMAKIN MENCEMBURUI..

Assalamualaikum w.m;

Buat semua sahabat, rakan, teman, ahli jemaah surau yang telah mendaftar dan bakal mendaftar, jiran dan sesiapa yang pernah ditemui..

Nampaknya masa yang pernah memisahkan saya daripada tuan-tuan selama 2 tahun berkhidmat sebagai guru BI di pedalaman Gua Musang dahulu kini lagi sekali ingin mencemburui pertemuan kita..

Saya dah mula dapat merasakan tentang tugas dan tanggungjawab di surau yang semakin tak dapat dilaksanakan dengan sempurna lagi..Minggu ini sahaja, dah 4 malam saya tak dapat berjemaah di surau..namun demikian, alhamdulillah..saya masih lagi berkesempatan bersembang dengan jemaah surau sebaik shj pulang ke BWP. Biarlah cuma 5-6 minit sahaja pun..

Masa sibuk saya dah kembali semula..Tahun 2010 akan datang, mungkin solat Subuh berjemaah shj yang dapat saya hadiri, selain Zohor dan Asar pada setiap hujung minggu. Mulai 2 minggu yang lalu, saya menerima pelawaan dari Ust Hj. Hishamuddin untuk menggantikan beberapa orang pengkuliah agama di surau-surau sekitar Bandar Sikamat yang tidak dpt lagi meneruskan khidmat mereka atas sbb-sbb yang tertentu...

Begitu juga dengan kontrak tahunan bersama beberapa buah surau asrama SBP. Kalau dahulu (tahun lepas), saya menolak semuanya kerana nak tumpukan kpd pengajian master saya, tp kini saya dah takde alasan lain..

Sekarang ini, sebelum menjelang cuti sekolah, saya sedang berusaha untuk mewujudkan Kelas Harian Al-Qur'an dan tusyen percuma utk anak-anak BWP serta Kem Tahfiz Al-Qur'an yang akan bermula 21 Nov ini..

Saya mohon maaf kepada semua jemaah kalau-kalau dah jarang kita dapat bertemu di surau lagi. Tugasan sebagai imam mungkin akan saya lepaskan sebelum Mesyuarat Agung Januari 2010 akan datang. Buat apa lagi jawatan sbg imam kalau dah tak dapat nak pikul tanggungjawabnya lagi..

Saya harap semua AJK terutamanya Ust A'lim dpt carikan pengganti saya secepat mungkin. Pelawalah ust-ust yang ada di sekeliling kita ini. Mana tahu, ilmu dan kesungguhan mereka lebih terserlah dari saya..Insya'ALlah saya akan sentiasa berikan sokongan kepada sesiapa shj yang dilantik nanti.

Salam kemaafan kerana banyak memudaratkan anda semua selama bertugas di surau ini.

Ust Kamal ( Ust Samseng !! )

SKIM KUTU UMRAH TAHUNAN

Tuan/Puan yang dihormati,

Baru-baru ini, pihak surau ada menerima satu cadangan yang saya fikir ianya cukup baik dan mampu memberi manfaat kepada para jemaah..

Cadangan tersebut yang diberi nama Skim Kutu Umrah Tahunan (SKUT) bertujuan untuk membantu merealisasikan hasrat dan azam para jemaah untuk menziarahi Tanah Haram disamping berpeluang menunaikan ibadat umrah ( Sabda Nabi : Sebaik-baik tempat utk kamu berziarah ialah ke Makkah dan ke Madinah"..tambahan saya : 'Bukannya ke Narathiwat, Bukit Tinggi atau Pulau Langkawi' )

Caranya (secara ringkas) lebih kurang macam ni :

Peserta yang minat nak join DIWAJIBKAN bayar RM100 setiap bulan dan tempoh bayarannya ialah sehingga semua peserta dapat menunaikan umrah (Tak boleh tarik diri di saat akhir-sebab tu kena fikir masak ranum dulu sebelum join). Dlm tempoh 1 tahun main kutu umrah ni, setiap peserta dah dapat kumpul RM1200.

Katakan ada 20 peserta..maka pada tahun pertama, wang collection kita dah terkumpul sebanyak RM24,000. Dan dengan jumlah wang RM24,000 tersebut, berapa orang kita dapat hantar ke Tanah Suci? Katakan kos umrah utk one complete package (biasanya 2 minggu) ialah RM5000, bererti kita dah mampu hantar hampir 5 orang peserta.

Begitu juga pada tahun hadapan dan tahun ke seterusnya, seramai hampir 5 orang akan mewakili BWP pergi menyahut panggilan Ka'abah untuk menyampaikan doa kita yang belum sampai masa ni..

Skim ini tak sesuai untuk orang berada..Orang yang sering tak cukup duit belanja makan macam saya, memang kita alu-alukan. Inilah konsep 'ta'aawun' (tolong-menolong) dlm berbuat ibadah yang pernah saya perjelaskan ketika mula memegang jawatan Imam 1 Surau Al-Hidayah kita ni..

Kesempatan ini juga saya nak gunakan untuk menasihati orang-orang berada (kaya) yang saban tahun pergi menunaikan umrah atau fardhu haji..apa salahnya kalau pada tahun depan ni, kita batalkan hasrat nak buat umrah kali ke (ntah kali ke berapa..hinggakan dah tak boleh bilang dah..) dan kita belanjakan wang tersebut untuk menaja orang lain yang tak pernah ke Tanah Suci serta tidak mempunyai perbelanjaan utk menunaikan umrah..

Saya percaya, ramai yang kata saya ni dah makin tak betul..Terserahlah..saya cuma nak kongsi pandangan sahaja. Kalau baik, ambillah..kalau tak baik, tinggalkan kepada saya..

Cadangan SKUT di atas akan dipanjangkan sekiranya mendapat sambutan dari para jemaah sekalian. Kalau tak ada yang setuju, maknanya kita sama-sama pakat kumpullah duit kita masing-masing dan dalam masa 5 tahun, insya'Allah dapatlah ke Tanah Suci..Itu pun kalau duit simpanan tu tak diusik..

Respon pembaca dialu-alukan. Terima kasih.

TAULIAH OH TAULIAH..

Malam semalam gempar dengan berita penahanan mantan Mufti Perlis, saudara Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin bersama 10 orang lagi oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Alasan yang diberi simple aje..iaitu beliau menyampaikan ceramah agamanya tanpa tauliah. Tak kiralah ceramah tu disampaikan di dalam masjid kerajaan negeri, surau mahu pun di rumah orang perseorangan.

Dalam cerita penahanan Dr. Mohd Asri ini, beliau ditangkap ketika berceramah di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan yang juga merupakan kenalan baik beliau.

Saya pun tak tahu nak komen apa-apa pasal kes ini. Kenapalah orang-orang Islam kita dah jadi macam ni? Tauliah punya pasal, didakwa ke mahkamah dan jika sabit kesalahan bakal merengkoklah dalam penjara.

Cuba anda bayangkan..bila duduk dalam penjara kelak, bersama teman banduan lain..mereka akan bertanya : Awak ni, perwatakan macam ustaz / orang alim aje..kenapa masuk penjara? Jawab ustaz : "Sebab aku ngajar ilmu agama takde tauliah.."

Lihat sekeliling kita..ustaz-ustaz yang mengajar mak abah dan anak-anak kita sejak dahulu, kini dan selama-lamanya ( pinjam motto kejap ), mereka ini ada tauliah ke? Kalau ada pun, berapa kerat lah sangat..Kalau JHEANS bertindak macam JAIS, alamaknya tinggal 3, 4 orang je lah ustaz kat Seremban ni.. Manakala penjara pula dah tentu penuh dengan ahli agama berbanding penjenayah yang betul..ALlaahu Akbar ! Saya rasa, mesti ramai banduan yang keluar penjara sahaja, dah bertukar jadi ustaz..pasal apa? pasal tiap-tiap hari dok kena dakwah oleh rakan satu sel mereka - iaitu ustaz ! ( teringat cerita dakwah Yusof AS ketika dalam penjara - tapi Nabi Yusof dipenjarakan bukan kerana takde tauliah agama !)

Macam mana ustaz-ustaz kita di surau ? Dah apply tauliah nak ngajar agama ke? Nanti kang ada yang kena tangkap ketika baru nak mula ucap salam..

Nampaknya dunia dah betul-betul nak kiamat..Orang bukan kaki surau mesti tersenyum baca cerita ni..padan muka kau, ustaz!

Ustaz Kamal dah rasa bagaimana disoal-siasat oleh SB Penguatkuasa Jabatan Agama..tapi, akhir-akhir, yang menyoal-siasat pula kena soal-siasat. Siapa yang soal-siasat mereka ni? Siapa lagi..Hanya imam samseng sahaja yang berani buat camtu.. At last, mereka minta maaf dan mengakui ada 'tangan ghaib' dari pejabat orang politik.. 'Celaka betul !', kata saya dalam hati sebelum memaafkan mereka yang bodoh ni..

Monday, November 2, 2009

APABILA AYAM MATI DI KEPUK

Pernah dengar peribahasa seperti tajuk di atas? Saya terkilas pandang sewaktu menyergah salah seorang anak didik saya yang begitu khusyuk membaca buku 'Himpunan Peribahasa Melayu' selepas selesai menjawab soalan peperiksaannya.

Saya disoal (dgn tujuan diuji) oleh anak didik saya tu..Ustaz, you know the meaning of this proverb or not? (saya galakkan anak murid saya biasakan diri bertanya dalam BI). Saya baca dan cuba berpura-pura tak tahu (supaya anak murid saya bangga mereka lebih tahu dari gurunya)

Ayam Mati Di Kepuk sama ertinya dengan 'Orang jahil yang mati hatinya dalam lingkungan majlis-majlis ilmu'..

Beberapa hari lepas saya sempat berseloroh dengan saudara Zainul Ekhwan dan rakan jemaah yang lain (majoriti mereka adalah murid Kelas Qur'an Ustaz Zawawi yang dah mula menghilangkan diri).. Kata saya, BWP ni amat bertuah..majlis agama diadakan siang dan malam, tak cukup hari bekerja ditambah lagi pada hari minggu.. Orang di tempat lain, sanggup keluar berpuluh KM dan habiskan RM semata-mata nakkan ilmu agama ni.. Tapi kita kat sini? Masih lagi tak mahu rebut peluang menambah ilmu..Masih dengan kebodoh-sombongan yang semakin menebal kat dalam hati tu..Masih tertipu dengan ajakan dunia dan hasutan syaitan.

Di surau kita sekarang, dah macam-macam ada. Buka channel Ahad malam Isnin, ada Tafsir Qur'an dan Tajwid, tekan channel Isnin malam Selasa ada rancangan Sirah Nabawiyyah, channel Fiqh, channel Hadith dan sebagainya. Sebelah siang pula ada channel Kelas Fardhu Ain Muslimah dan channel ART (Kelas bahasa Arab)..pokoknya sekarang, channel Sport, HBO, Star Movie jugak yang jadi pilihan di hati..

Habis? Bila masanya giliran nak tambah bekalan untuk akhirat pula? Kalau tiap-tiap hari dok sibuk dengan menambah bekalan dunia ni..? Takkan nak bagi orang lain je pahala datang berjemaah dan menuntut ilmu tu? Bukankah kita disuruh berlumba-lumba atau berebut-rebut untuk dapatkan pahala ALlah ?

Alangkah ruginya kita.. dah duduk dalam persekitaran majlis agama, tetapi masih kekal dalam kejahilan. Ingat besok Allah takkan tanya ke? Engkau umpama ayam, mati kelaparan di dalam kepuk yang penuh dengan makanan !!

Fikir-fikirkanlah sendiri..malas dah nak cakap apa lagi..

Sunday, November 1, 2009

MAKLUMAN PENDAFTARAN PASTI BANDAR WARISAN PUTERI

Premis PASTI BWP

Sukacita dimaklumkan bahawa Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Bandar Warisan Puteri sedang membuka pendaftaran kemasukan bagi kemasukan sesi 2010 akan datang mulai sekarang. Tuan/Puan yang berminat untuk menghantar anak-anak ke PASTI BWP , dipelawa ke PASTI BWP di premis beralamat no. 228. Pendaftaran dibuka pada setiap hari Sabtu, mulai jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Permohonan untuk jawatan sebagai Guru PASTI juga dibuka mulai sekarang. Sesiapa yang berminat dijemput hadir ke sesi temuduga terbuka pada Sabtu, 14 November 2009, jam 9 pagi - 12 tengah hari.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, sila hubungi : 012-6902567, 012-3575374