Monday, December 28, 2009

SELAMAT DATANG JEMAAH TABLIGH INDIA

Surau Al-Hidayah, pada 27-29 Disember 2009 telah menerima kunjungan seramai 5 orang anggota jemaah tabligh dari India. Kehadiran mereka sedikit-sebanyak telah mengimarahkan surau dengan program ziarah, bayan dan sebagainya.

Pihak surau memohon maaf sekiranya tidak dapat menyediakan keselesaan yang sewajarnya kepada mereka.




Monday, December 14, 2009

CERAMAH KHAS SEMPENA AWAL MUHARRAM/ MA'AL HIJRAH

MAKLUMAN TERKINI

CERAMAH KHAS SEMPENA AWAL MUHARRAM


Oleh
Dr. Ann Wan Seng,

Penolong Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan
Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma),
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Cawangan Putra,
Ahli Jawatankuasa Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan
Penasihat Asrama Baitul Ummah, asrama kanak-kanak yatim, fakir miskin dan mualaf di Taman Setapak Indah, Kuala Lumpur.

Tarikh & Masa
18 Disember 2009 ( Jumaat ), selepas solat Maghrib

Tempat
Surau Al-Hidayah, Bandar Warisan Puteri,
Sikamat, Seremban

Semua Muslimin dijemput hadir !

posting disediakan oleh
Ust. Hj. Kamal bin Ismail

SAH..PELETAKAN JAWATAN UST HJ KAMAL BERMULA AWWAL MUHARRAM 1431H

Akhirnya terjawab juga desas-desus yang berbicara tentang peletakan jawatan Ust Hj. Kamal sebagai imam 1 Surau Al-Hidayah. Perkara ini disahkan sendiri oleh beliau ditambah pula dengan surat maklumann yang ditandatanganinya sendiri yang ditampal pada white-board kecil yang terletak di dalam surau.

Ketika mengulas perkara ini, Ust Kamal memaklumkan bahawa peletakan jawatan beliau tidak ada kaitan langsung dengan tekanan daripada sesiapa termasuklah rakan cyber beliau yang sangat dihormati, saudara Orang Minyak dan Anak Mengkarung.

"Ketika dilantik jadi imam 1 kat surau ini, saya menerimanya kerana saya fikir ianya adalah untuk tempoh setahun sahaja..tapi tak sangka pula rupa-rupanya ia adalah untuk 2 tahun.."jelas beliau ketika saya hubunginya melalui telefon.

Peletakan jawatan beliau adalah untuk memberi laluan kepada bakat-bakat baru yang layak memimpin..

"Apa guna dengan jumlah ustaz-ustaz yang ramai di BWP ini, takkan tak ada seorang pun yang boleh menggantikan Ust Kamal dan sanggup pula mewaqafkan diri atau menghambakan dirinya kepada rumah ALlah (surau kita ini..)"demikian petikan kata-kata Pakcik Roslan sebaik sahaja selesai solat Isyak malam tadi.

Untuk makluman semua, sepertimana yang tertulis di dalam surat makluman peletakan jawatan Ust Kamal, beliau tidak akan memegang jawatan tersebut lagi mulai 01 Muharram 1431H ini..oleh yang demikian, perjalanan serta pengurusan surau selepas ini akan dikembalikan semula kepada tuan pengerusi serta AJK yang lain-lain.

Ust Kamal juga memohon ribuan kemaafan sekiranya selama tempoh beliau diberi amanah menerajui surau kita ini, terdapat salah dan silap yang tidak menyenangkan hati semua para jemaah.

Kami (termasuk semua AJK surau) merakamkan penghargaan terima kasih kepada Ust Kamal di atas semua usaha beliau terhadap surau selama ini. Memang betullah apa yang beliau maklumkan kepada saya pada awal Disember baru-baru ini bahawa program Tahfiz untuk 15 orang anak-anak BWP yang berlangsung selama sebulan ini adalah merupakan program yang terakhir yang dikendalikan oleh beliau serta beberapa orang pembantunya..

Insya' ALLah, sama-samalah kita menantikan ustaz yang bakal menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Ust Kamal. Ust Orang Minyak dan Ustaz Anak Mengkarung taknak ambil peluang ini ke?

Saturday, December 5, 2009

TAHNIAH - PERKAHWINAN ANAK PEREMPUAN PAK CHAD TOK BILAL

Pak Chad tersenyum gembira bersama anak perempuan sulongnya yang dinikahkan di Masjid Bandar Senawang pada 05 Disember 2009 (Sabtu), tepat jam 9.45 pagi tadi.

Pengantin perempuan bergambar bersama ibu yang tercinta, Puan Faridah.

Tahniah..Pak Chad sendiri yang mengakad-nikahkan menantunya sambil diperhatikan oleh Imam Masjid Bandar Senawang, merangkap kadi bertugas.
Insya'ALLah tahun depan nanti, bakal bergelar Datuk Chad.

KEKEBALAN VILLA SURIA DIUJI LAGI

Pagi tadi (05 Dis 2009 - Sabtu), sebaik saya selesai kuliah Subuh, Ust Hj Azzhar mengambil kesempatan memaklumkan kepada semua jemaah berkenaan kes pecah masuk yang terbaru, yang berlaku lebih kurang jam 4.45-5.30 pagi hari ini, dimana rumah no. 684 telah dipecah masuk, diikat semua penghuninya dan dilarikan beberapa barang berharga yang tidak diketahui jumlahnya.

Memeranjatkan, kerana rumah Ust Hj. Azzhar sendiri juga didapati ada usaha untuk pecah masuk namun tidak berjaya kerana disedari terlebih awal.

Kita ucapkan takziah kepada penghuni rumah berkenaan di atas musibah yang menimpa. Kepada rakan-rakan yang lain, lebih berhati-hatilah di lain masa demi untuk elakkan daripada kejadian seumpama ini berlaku kepada diri kita dan keluarga.

Friday, November 27, 2009

SELAMAT BERKORBAN


Pagi tadi, sebaik selesai sahaja solat Eid Adha yang diimamkan oleh Ust Hj. Shafie, pengerusi Surau, lebih tepatnya pada jam 8.45 pagi, telah berlangsung acara menumbangkan 7 ekor lembu yang dijadikan korban pada tahun ini.

Semua lembu berjaya dikorbankan oleh 3 pakar penyembelih, iaitu Ust Manas, Ust Hj. Hishamuddin dan Ust Hj. Zawawi. Majlis korban pada hari ini berakhir tepat jam 12.30 tengah hari, tidak melibatkan sesi sebelah petang seperti mana yang dirancangkan sebelum ini. Amat menakjubkan kerana semuanya dapat diselesaikan sebelum solat Jumaat. Inilah berkat kerjasama dan semangat bantu-membantu yang sedia terpupuk di dalam hati setiap peserta dan pekerja.

Dalam pada itu, ada sesuatu yang melucukan apabila lembu yang terakhir (lembu ke-7) menunjukkan sikap agresifnya dengan melompat dan menerjah pagar kawat surau menyebabkan riwayatnya terpaksa ditamatkan di tepi jalan, tidak di dalam kawasan surau..

Apa-apa pun, syabas dan tahniah kepada semua yang hadir dan memberikan kerjasama, termasuk kaum ibu dan anak-anak kecil yang turut sama memeriahkan lagi suasana hari raya pada hari ini.

Penutup kata, jangan lupa, bahawa masa untuk kita terus bertakbir belum lagi berhenti sebaik selepas acara korban pagi tadi. Penuhkan masa kita dengan memperbanyakkan bertakbir sehingga ke petang hari ke-13 Zulhijjah (Ahad- 30 Nov 2009).

Selamat menyambut Hari Raya Adha..

Sunday, November 22, 2009

BERITA BERGAMBAR AKTIVITI TERKINI SURAU

Salam ukhuwwah kepada semua jemaah surau yang dikasihi sekalian.. berikut ini adalah beberapa aktiviti surau yang baru sahaja selesai kita laksanakan.

Saya berharap semoga makin banyak lagi aktiviti seumpama ini diadakan agar perpaduan dan persepakatan di antara kita akan terus bertambah erat.

1) Majlis akad nikah anak perempuan En. Jamaluddin bin Samsir pada 31 Oktober 2009 ( Sabtu). Diwakilkan kepada Ust. Salleh, Imam Masjid Sikamat, merangkap Pendaftar Nikah Kawasan Sikamat.

Ust Salleh : Macam mana ni wahai sekalian saksi..sah ke tak sah ?
Saksi 1 : Boleh la tu..

2) Pengurusan jenazah - memandi dan mengkafankan mayat.

Tarikh : 15 Nov 2009 ( Ahad ), jam 9.00 pagi - 12 tengah hari.

Encik Rahman diberikan penghormatan untuk dimandikan oleh rakan-rakan jemaah.

Jenazah En. Yus sedang dikafankan sebelum disemadikan buat selama-lamanya. Inilah perpisahan yang tak mungkin akan bertemu lagi di dunia ini..

3) Aqiqah anak bongsu En. Jauhari

Tarikh : 21 Nov 2009 ( Sabtu )

Bekerjasama menamatkan riwayat hidup seekor kambing jantan. Penyembelih : Ust Manas, kadi Jabatan Agama Islam Daerah Seremban.

Tuesday, November 17, 2009

KERANAMU, LEMBU..

Tidak lama lagi, ummat Islam akan menyambut Raya Haji atau Raya Korban. Ketika ini, orang-orang kaya atau yang berduit serta faham tentang kelebihan berkorban pasti tidak akan melepaskan peluang untuk berkorban. Yang jadi mangsa dan patut dikasihani ialah golongan yang sederhana atau tidak berduit. Memanglah..siapa tak nak join ibadah korban ni..tapi apa nak buat, dah duitnya tak ada..sama seperti ibadah haji. Sebab itulah ibadah korban dan haji tidak diwajibkan kepada mereka yang tidak berkemampuan.

Dengar cerita, surau kita menerima 7 ekor lembu untuk dikorbankan. Alhamdulillah..nampaknya makin ramai yang mengerti dan memahami fadhilat korban ni..Setakat RM350 tu, insya' ALlah boleh dicari..lagi memudahkan jika dibuat kutipan ansuran bulanan spt yg dilakukan oleh Puteri Dahlia dan Puteri Emas. Tak adalah terkejut dan menggigil tangan apabila hulur sekali gus !

Cerita pasal lembu korban ni..baru-baru ini, dikhabarkan ada silap faham sedikit antara JK Surau dan individu yang berniat membantu mereka yang nak menyertai korban. Harap-harap tidaklah ia diperbesarkan dan dilanjutkan..Cuma silap teknik sahaja..Tiada sesiapa yang perlu dipersalahkan. Kalau ada yang nak dipersalahkan, salahkan kedua-dua pihak !

Takkan lah kerana lembu pun kita nak bermasam muka dan tidak bertegur sapa. Di mana pengorbanan kita untuk menyelamatkan keadaan? Apa salah dan hinanya jika kita mengalah atau berlembut semata-mata kerana nak elakkan drp berlakunya perpecahan sesama sendiri?

Janganlah kedua-dua pihak cuba nak bertegang leher. Saya bimbang jika dibiarkan perselisihan faham ini berlaku, ianya membawa kesan yang lebih buruk kepada jemaah yang ada..

Kalau lah masing-masing cuba nak tunjuk keras, tak nak mengalah..ertinya tak ada beza lah kita ni dengan binatang yang bakal nak dikorbankan tak lama lagi tu..

Ambillah pedoman ALlah dan bimbingan RasuluLlah dalam menyelesaikan kesilap-fahaman seperti ini..!

Mengkarung Padang Pasir

SELAMAT HARI RAYA HAJI !

Assalamualaikum dan salam Aidil Adha..,

Insya'ALlah, kalau panjang umur..minggu depan kita akan sama-sama menyambut satu lagi hari raya bagi ummat Islam, iaitu Hari Raya Adha. Selain dikenali dengan nama Eid Adha, ia juga kadang-kadang dipanggil Hari Nahar atau Raya Korban. Tetapi paling kerap disebut ialah Raya Haji.

Ketika Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Yathrib (kemudiannya di tukar nama kepada Madinah Al-Munawwarah), Nabi SAW melihat orang-orang Yahudi dan penduduk asal Madinah yang bukan Islam sedang menyambut hari kebesaran. Salah seorang sahabat bertanyakan Nabi : "Wahai Rasulullah, kita tak ada sambut hari kebesaran apa-apa ke?". Maka jawab Nabi SAW : "Sesungguhnya ALlah SWT telah menggantikan bagi kamu dua hari raya yang sangat mulia-iaitu Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Korban"

Ini bermakna ummat Islam hanya ada dua hari kebesaran sahaja yang diiktiraf oleh ALlah dan RasulNya. Tetapi bagaimana pula dengan sambutan hari kebesaran lain seperti Maulidur Rasul, Awwal Muharram, Nisfu Sya'ban, Isra' Mi'raj, Awal Ramadhan dan seumpamanya? Mengenai hari-hari tersebut, saya tak bercadang nak ulas di dalam posting kali ini. Saya serahkan kepada ustaz-ustaz lain untuk menjelaskannya. ( Mungkin ustaz Orang Minyak boleh tolong jelaskan )

Antara dua hari raya ini, mana satu yang paling hebat, paling wajar kita raikan secara besar-besaran? Raya Puasakah atau Raya Haji?

Bagi kebanyakan kita di Malaysia, Raya Puasa lah disambut dengan meriah. Kadang-kadang tu, puasa baru tiga hari, TV dah galak siarkan iklan dan lagu-lagu raya. Begitu juga dengan pusat beli dan blah..ada macam-macam promosi..pra-raya lah, jualan mega Syawwal dan sebagainya lagi. Tapi, berapa hari kita menyambut Raya Puasa sebenarnya? Satu bulan kah? Atau cuma satu hari sahaja?

Hari Raya Puasa atau Eid Fitri ini cuma satu hari sahaja tempoh sambutannya. Yang kata Raya Enam itu, sebenarnya bukanlah Raya Enam, tapi Puasa Enam Hari Dlm Syawwal( tolong dibetulkan salah faham ni)..

Begitu juga dengan tempoh masa bertakbir. Ummat Islam disunatkan bertakbir raya bermula Maghrib 1 Syawwal (selepas berbuka puasa pada hari terakhir Ramadhan) hinggalah keesokan harinya, iaitu sebelum dimulakan solat Hari Raya Fitrah. Selepas solat raya, tidak ada lagi takbir tersebut.

Manakala Raya Haji pula, sambutannya adalah selama 4 hari bermula 10 hingga 13 Zulhijjah dan kita disunatkan bertakbir selama tempoh tersebut..

Malangnya, kita yang tak berapa faham ni lebih mengutamakan Raya Puasa drpd Raya Haji. Sebab itu, ada di kalangan kita yang tak begitu seronok menyambut Raya Haji ni. Ada yang beri alasan bahawa Raya Haji ni hanya untuk saudara kita yang buat haji kat Makkah sahaja.

Cuba perhatikan..ada tak iklan di TV yang memeriahkan suasana Raya Haji ni? Lagu Raya Haji pun susah nak didengari..Setahu saya, hanya lagu "Panggilan Haji" itu sahaja yang kerap kita dengar. Pusat beli dan blah ada tak buat promosi jualan murah sempena Raya Haji ? Atau..ada tak di antara kita yang menempah baju melayu/ baju raya atau bersengkang mata buat kuih semata-mata kerana nak sambut Raya Haji?

Kaifiat Solat Raya Haji tidak ada bezanya dengan solat Raya Puasa, cuma yang berbeza ialah pada kandungan khutbah..dan beberapa adab sebelum dan selepas solat..Bagi solat Raya Puasa, kita disunatkan melewatkannya manakala solat Raya Haji sunat disegerakan.

Dalam menghadiri solat Raya ini, ianya tidak terhad kepada golongan yang tertentu sahaja. Bahkan wanita yang uzur pun digalakkan hadir sama. Solat Hari Raya lebih disukai sekiranya dilakukan di kawasan tanah lapang seperti di padang dan seumpamanya.

Selamat menyambut Hari Raya Korban !

UK,
17 Nov 2009

IKTIBAR DARI KISAH IBU LEMBU

Pak Cad dan Hj. Zambrose sedang asyik menikmati teh dan sedikit kuih di kedai Pak Man (askar pencen) berhadapan dengan Surau Hadi. Sedang mereka rancak berbual bercerita mengenai kemajuan surau dan cabaran-cabaran getir yang sedang dialami, tiba-tiba kelihatan seekor ibu lembu berlari-lari sambil mengeboh. Tidak henti-henti bunyi suara si ibu lembu..

"Apasal pulak lembu ni? Riuh-rendah tak tentu pasal..Takut kena jadikan korban ke?"tanya Pak Cad kepada Hj. Zambrose sambil menarik sebatang rokok Surya.

Hj. Zambrose tidak menjawab pertanyaan Pak Cad, sebaliknya dia terus menikmati hisapan rokok Nusantara Hijaunya..

Suasana kembali sepi. Tiada orang lain ketika itu di kedai Pak Man. Tetapi, selang beberapa saat, datang lagi lembu tadi. Kali ini suara mengebohnya semakin kuat dengan nada seperti dalam kesedihan. Si lembu tadi berlari-lari masuk ke simpang Kedai Kalam lalu menghilangkan diri.

Pak Cad hanya sekadar memandang..tidak mahu bertanya lagi kerana tahu yang Hj. Zambrose tidak berminat bercakap pasal lembu. Lain lah kalau pasal olimpik..

Masa minum sudah sampai penghujungnya. Pak Cad harus segera pulang kerana terpaksa ke pasar pula untuk membeli bahan mentah untuk masakan dan lauk-pauk di gerai jualannya pada malam nanti.

Ketika selesai membayar harga minuman, dan hendak beredar menuju ke motosikal buruknya, Pak Cad sekali lagi terpandang si lembu tadi..Peliknya, si lembu itu tidak lagi riuh-rendah mengeboh seperti sebelumnya. Dan tidak lagi berlari-lari..

Pak Cad malas nak fikir pasal lembu itu kerana banyak lagi perkara lain yang perlu difikirkan. Pasal kambing untuk aqiqah anak si Jauhari, pasal pembelian alatan korban dan lain-lain lagi..

Pak Cad menghidupkan motosikalnya. Ketika bergerak perlahan meninggalkan Kedai Pak Man dan Hj. Zambrose yang masih belum mahu berganjak, Pak Cad berselisih dengan si ibu lembu tadi yang sedang berjalan perlahan. Ketika itu juga, Pak Cad menoleh ke sebelah kanannya dan terlihat seekor anak lembu berwarna coklat di belakang ibu lembu tadi..

Tiba-tiba sahaja hati Pak Cad sebak. Air mata mula bergenang di kelopak. Tanpa disedari, air matanya tidak dapat diseka lagi lalu terus mengalir membasahi kedua-dua pipinya..

"Ya ALlah..terima kasih kerana mengajar aku erti sebuah kasih sayang !"

Betapa kasihnya engkau wahai si ibu lembu terhadap anakmu..tetapi mengapa manusia yang berakal tidak dapat berbuat seperti engkau?

Ya..walaupun dari seekor lembu, kita dapat mempelajari sesuatu untuk dijadikan iktibar atau peringatan.

Murid Ustaz Zawawi
Nilai, Negeri Sembilan Darul Khusus.