Monday, July 27, 2009

PENAMAAN SEMULA ANAK-ANAK YATIM

Merujuk surat dari Masjid Qaryah Sikamat yang dipanjangkan dari surat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bertarikh 25 Julai 2009, sukacita dimaklumkan kepada tuan/puan yang mempunyai tanggungan anak yatim agar dapat memberikan nama, no k/p atau sijil kelahiran serta alamat rumah lengkap kepada setiausaha surau, Cikgu Mohd. Hussain Yaacob selewat-lewatnya pada 29 Julai 2009.

Kriteria pemilihan sebagai anak yatim adalah seperti berikut :
1) Berumur 17 tahun ke bawah
2) Kematian bapa
3) Menetap dalam daerah Seremban

Sekian, semoga di dalam makluman tuan/puan jua.

Ustaz Haji Kamal bin Ismail

CERAMAH ISRAK MIKRAJ

Dimaklumkan bahawa Surau Al-Hidayah akan mengadakan ceramah Israk Mikraj seperti ketetapan berikut :

Tarikh : 02 Ogos 2009 ( Ahad )
Masa : Selepas solat Maghrib
Penceramah : Ustaz Abdul Rahman bin Ibrahim, Imam Masjid DiRaja Tuanku Munawir, Seri Menanti, Kuala Pilah.

Semua penduduk BWP yang beragama Islam dijemput. Makan malam disediakan selepas solat Isyak.

Sebelum itu, pada waktu pagi, bermula jam 9.00, sesiapa yang berkelapangan dijemput hadir ke surau bagi mengikuti aktiviti gotong-royong.

Kehadiran tuan-tuan amat kami hargai.

Friday, July 24, 2009

WAHAI WANITA..TUTUPLAH AURATMU !

Berikut adalah illustrasi penyalahgunaan pemakaian pakaian bagi wanita muslimah : Sila ambil perhatian sekiranya ia berlaku kepada anak-anak gadis atau isteri (isteri-isteri) kita.. [ Terima kasih, Ust. Zawawi ]


Ingatlah..kita (lelaki) sebagai suami atau bapa..kitalah yang bertanggungjawab di atas segala perlakuan dan cara berpakaian mereka..Firman Allah SWT : "Wahai orang yang beriman..peliharalah (jagalah) dirimu dan anak-anak serta isteri kamu daripada api Neraka".

JOM LAH KITA KE SURAU...

Telah lebih dua minggu saya tidak membuka dan meng'up-date'kan blog surau ini. Celcom boroadband saya ada sedikit masalah setelah dihentak dan dibaling oleh anak. Begitulah sikap anak saya yang berusia 3 tahun lebih tu..apabila melayari internet (biasanya untuk main computer game) dan pelayarannya ada sedikit terlambat, maka sikap memberontak dan marah tak tentu pasal pun mulalah meyelubungi perasaan. Sama macam bapak dia.. sikit-sikit, mengamuk..sikit-sikt nak marah tak tentu pasal..

Tapi itu cerita dahulu..Sekarang, bila dah mula nak mengjangkau usia 40 tahun ni, saya perasan bahawa sikap saya sedikit-sebanyak tidak lagi seperti dahulu..alhamdulillah..satu perubahan yang baik tu.. doa saya biarlah berkekalan sampai ke mati..

Baiklah..Hari ini, saya ke makmal komputer sekolah, terpaksa guna komputer di sini sekejap untuk membaca emel-emel dari rakan-rakan, melihat perbincangan shout-mix dalam blog surau dan menyiapkan serta menghantar tesis master yang dead-linenya sebelum Syaaban menjelang. Memang agak susah sedikit hidup tanpa internet ni..rasa macam kekurangan maklumat.. Akhbar online dari timur tengah juga dah lama tidak dilayari..

Sejak minggu lepas lagi, saya tidak dapat memberikan sepenuh tanggungjawab kepada tugasan di surau..banyak sesi kuliah saya yang terpaksa saya pass kan kepada ustaz zawawi..Tidak seperti biasa.. saban malam, sebaik selesai solat isyak, saya kini jarang dapat meluangkan masa bersembang bersama jemaah sambil pekena air teh dan roti babu. Biasanya, jam 9.40 malam baru saya pulang dari surau. Nampaknya masa sibuk sudah menghampiri diri..Balik sahaja ke rumah, terus saya ke bilik (saya jadikan sebagai pejabat), siapkan perancangan mengajar dan penulisan tesis yang akan dibentangkan tidak lama lagi..Biasanya jam 2 pagi barulah saya tutup lampu!

Bercakap tentang 'masa sibuk', saya teringat sebuah hadith dari Rasulullah SAW yang berpesan kepada kita supaya kita rebut lima peluang sebelum datangnya lima masyaqqah (penghalang) yang lain, antaranya rebutlah peluang untuk beribadat dengan sebanyaknya ketika waktu lapang SEBELUM datangnya waktu sibuk.. Memang benar, ketika kita lapang, banyak masa terluang, ketika itulah sayugianya kita gunakan untuk memperbanyakkan amal ibadah-mengunjungi masjid/surau, solat sunat, qiam, baca Qur'an, hafal hadith-hadith Nabi, mentelaah kitab-kitab agama dan seumpamanya..Nah, apabila kita mula disibukkan (atau buat-buat sibuk?), maka kita dah tiada masa untuk semua yang disebutkan tadi..Nak ke surau takde masa, nak bangun solat malam takde masa, nak baca Qur'an takde masa, nak dengar kuliah agama di masjid/surau pun takde masa..pendek kata, semuanya takde masa. ( Tapi herannya, bila nak makan, ada masa pulak?)

Cuba tanya diri sendiri..betul ke kita takde masa untuk semua kebajikan yang saya sebutkan tadi? Jangan berbohong dengan Allah..jangan nak permainkan Tuhan..pokok-pangkalnya bukan sebab kita takde masa..terus-terang sahajalah bahawa kita ni sebenarnya PEMALAS !! Bila ada orang ajak solat di surau, seribu satu alasan cuba dicari..respon paling bodoh dalam perkara ini yang pernah saya dengar : Imam surau sekarang ni SAMSENG..paksa orang datang berjemaah di surau/masjid..

Inilah yang saya rasa sedikit sedih..belajar tinggi-tinggi hingga ke merata universiti luar negara, tetapi ke'tidak-cerdik'an jelas terpancar..Bila ada orang ajak buat amal kebaikan, apa tandanya tu? Maknanya masih ada orang yang sayang pada kita..taknak tengok kita ni sesat di alam nyata..masih ada orang yang berusaha nak selamatkan kita dari kelalaian..masih ada orang yang berusaha nak ingatkan kita daripada kealpaan.. Sabda Nabi saw : "Tidak sempurna iman kamu selagi kamu tidak mengasihi saudara kamu (seagama) sepertimana kamu mengasihi diri kamu sendiri". Maka kerana saya kasihkan tuan-tuan lah, saya berusaha mengajak tuan-tuan ke rumah Allah. Sama-sama kita solat berjemaah, sama-sama kita duduk dalam halaqah ilmu (kebun syurga) dan sama-sama kita membawa pulang ke rumah masing-masing, rahmat Allah yang kita ambil di surau..

Saya tidak kisah dengan cacian orang ramai di atas segala tindakan saya selama ini. Saya ikhlaskan hati saya, infaqkan tenaga dan fikiran saya, bahkan kadang-kadang belanja guna duit sendiri, semuanya semata-mata kerana ingin melihat semua orang di sini mendapat rahmat dan hidayah daripada Tuhan..nak tengok rumah Allah (surau kita) diimarahkan dengan meriahnya..tidak seperti tahun-tahun kebelakangan dimana kadang-kadang imam dan bilal pun tiada apabila masuknya waktu solat..

Sekali lagi, saya menyeru tuan-tuan penghuni BWP, jangan berlagak sombong dengan Allah..marilah kita sama-sama memakmurkan rumahNya. Sahutlah panggilan azan setiap kali ia dilaungkan. Ringan-ringankanlah kaki untuk melangkah ke sana..tidak setiap hari pun, cukuplah seminggu sekali !!

Wednesday, July 1, 2009

TAWARAN MENYERTAI BAHAGIAN KORBAN

Sukacita dimaklumkan bahawa pihak Surau Al-Hidayah kini telah membuka peluang kepada semua penghuni Bandar Warisan Puteri untuk mengambil bahagian di dalam perkongsian korban bagi program korban tahun 1430H.

Kepada yang berminat, tuan/puan bolehlah berbincang atau mendapatkan maklumat lanjut berkenaan program korban ini daripada Cikgu Hussin Yaakob (Setiausaha Surau) dan seterusnya mendaftarkan nama tuan/puan.

Pihak surau mensasarkan sebanyak 6 ekor lembu untuk ditumbangkan pada tahun ini.

Sunday, June 28, 2009

APABILA AZAN BERKUMANDANG LAGI...


Pagi tadi, jam 4.30, hujan mulai turun..dari perlahan bertukar menjadi sederhana lebat..Alhamdulillah, syukur..hujan nikmat dan rahmat makin mencurah-curah. Dalam hati, saya terfikirkan apakah hujan yang turun ini berperanan mengejutkan manusia agar bangkit untuk mengabdikan dirinya kepada Allah SWT atau makin mengulit tidur-tidur mereka sambil dibaluti badan masing-masing dengan selimut yang tebal? Hanya yang istiqomah dengan amalan qiam sahaja yang mampu mengusir segala bisikan yang menghampiri cuping-cuping telinga. "Wahai Tuhan..masukkanlah aku dan keluargaku ke dalam golongan hambaMu yang sentiasa merindui untuk bermunajat denganMu di dua pertiga malam."

Azan Subuh laungan Bilal Jalani berkumandang lagi. Laungannya yang kuat dan kasar amat sesuai sekali dengan panggilan solat Subuh. Semoga suara beliau didengari oleh malaikat di lapisan langit nun di atas sana..

Suara azan di muka bumi ini adalah suara Allah yang diwakilkan kepada mereka yang bergelar muazzin. Setiap muazzin hanya menjalankan tugas memanggil, menyeru, mempelawa dan mengajak manusia supaya hadir ke rumah-rumah Allah. Satu tugasan yang sangat mulia, sepertimana firman Allah : "Dan siapakah yang lebih baik perkataannya dibandingkan dengan orang-orang menyeru manusia kepada Allah serta dia beramal soleh..". Azan laungan muazzin yang ikhlas hati sanubarinya pasti akan terangkat ke langit lalu didengari oleh malaikat yang menghuni alam di atas sana. Lalu mereka (para malaikat) pun turun untuk menyampaikan rahmat dan barakah daripada Allah kepada sesiapa yang menyahut panggilan tersebut. Sudah tentu amat beruntunglah orang-orang yang menyahut panggilan Tuhannya lalu mendatangi rumahNya semata-mata kerana menjalankan kewajipannya sebagai seorang hamba.

Tugas mengajak manusia ke jalan Allah adalah tugasan semua ummat Islam, tidak hanya terletak di atas bahu atau pundak imam-imam, pendakwah bertauliah dan mereka yang setaraf dengannya. Biar pun sedikit sumbangan kita terhadap perjuangan mengajak manusia kepada kebaikan, ianya adalah jauh lebih baik daripada kita bertindak mendiamkan diri..atau jauh lebih baik bila dibandingkan dengan orang yang menyokong atau menggalakkan perkara maksiat berlaku di hadapan mata mereka. Renungkan kembali kisah burung kecil yang berusaha menyelamatkan Nabi Ibrahim seperti yang pernah saya ceritakan suatu masa dahulu..Semua kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah. Kita akan ditanya oleh Allah :"Apakah yang telah kamu lakukan untuk menegakkan agama Aku di bumi ini?". Bayangkan apakah pula bentakan Allah kepada mereka yang berusaha untuk menggagalkan kerja-kerja agama dan usaha baik yang dilakukan oleh orang lain?

Penutup bicara pagi ini, saya ingin ucapkan terima kasih, syabas dan tahniah kepada ahli serta jemaah surau yang telah mendaftarkan diri mereka sebagai "Tetamu Allah". Jangan lupa banyakkan berdoa semoga kebaikan yang kita sedang lakukan hari ini akan berterusan bahkan semakin bertambah baik untuk masa-masa akan datang.

Bagi mereka yang masih malu-malu nak mendekatkan diri kepada rumah Allah, soalan dari saya : sampai bila kita nak tunggu hati ini tiada lagi rasa malu? Paksa-paksakanlah diri dan belajarlah menghilangkan rasa ego yang tersemat di dalam hati. Dengan alasan duniawi yang tidak diterima pakai oleh Allah, apakah lagi agaknya alasan kita apabila di akhirat kelak kita ditanya oleh Allah : "Kenapa kamu tidak dapat datang ke rumahKu setiap kali Aku memanggil kamu?"

Datanglah..jenguklah surau kita. Kalau tidak setiap hari pun, sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu..Tidak malukah kita dengan Allah..Dia memberikan kita sebegitu banyak nikmat untuk kita gunakan, tetapi untuk 20 minit berjemaah di rumahNya, kita sanggup beri alasan 'Tiada Masa"..

Saturday, June 27, 2009

PERMOHONAN MAAF SECARA TERBUKA

Asslamualaikum w.m;

Sudah agak lama saya tidak menulis dan mengaktifkan blog surau ini, maklumlah 4 hari berturut-turut terpaksa bertungkus-lumus dan berkejaran ke sana-sini setelah di lantik sebagai LO (Guru Pengiring) bagi kontinjen dari luar Negeri Sembilan ke Ihtifal SMKA Peringkat Kebangsaan yang diadakan di SMKA Sheikh Mohd Said.

Berita mengenai kejayaan menganjurkan Perkhemahan Ibadat Anak-anak Cemerlang BWP pun belum dapat dimuatkan. Entry kali ini, saya ingin fokuskan kepada perkara yang lebih penting daripada berita perkhemahan tempoh hari.

Pagi semalam (Jumaat, 26 Jun 2009 ), Allah SWT telah mempertemukan saya dengan En. Sahak [sesiapa yang berkenaan di BWP tentu telah lama mengenali beliau]. Alhamdulillah..saya amat gembira dengan pertemuan tersebut kerana saya sendiri pun telah terlalu lama berharap untuk menemui beliau. Tetapi memandangkan masing-masing sibuk dgn komitmen masing-masing, pertemuan tersebut sering sahaja tertangguh. Berkali-kali saya ke rumah beliau tetapi hampa. Dalam pertemuan singkat (lebih kurang 45 minit) sebelum solat Jumaat semalam, akhirnya apa yang terbuku di dalam hati saya selama ini berjaya dileraikan. Begitu juga dari pihak Encik Sahak.

Secara jujur saya katakan, selama ini, beliaulah orang yang menjadi mangsa tohmahan saya terutamanya di dalam isu fitnah ke atas Surau Al-Hidayah. Perasaan geram, marah dan benci silih berganti menyelubungi perasaan saya. Mengapa ada manusia yang sanggup menaburkan fitnah ke atas rumah Allah? Ekoran perasaan amarah dan kurang berfikir panjang, ditambah pula dengan maklumat yang didengari daripada beberapa rakan (serta musuh yang tersembunyi), saya begitu pantas menuding jari melemparkan satu fitnah yang maha besar kepada manusia bernama Sahak ini. Saya telah salah-gunakan blog ini untuk menghentam beliau (saya tak tulis pun nama beliau dalam blog-tetapi sebahagian pembaca ada yang dapat mengagak siapa orang yang saya maksudkan).

Alhamdulillah..beberapa minggu kemudiannya, Allah memberikan petunjuk kepada saya dengan berlakunya beberapa pendedahan dan pengakuan beberapa orang yang tidak mahu melihat orang-orang BWP berterusan hidup dalam perpecahan. Akhirnya, kita dah dapat tahu :

siapa penyampai berita palsu kepada pihak SB yang menyatakan Surau Al-Hidayah telah dijadikan pusat pembangkang,

siapa pelapor kepada Akhbar Sinar yang menggunakan nama samaran AJK Bandar Warisan Puteri yang menjadi punca tersungkurnya kedai makan milik En. Arshad.

siapa yang menghantar sms mengarahkan boikot program Kawalan Keselamatan Puteri Emas, Cahaya dan Anggun pada petang sebelum diadakan perjumpaan ke-2 pada sebelah malamnya,

siapa yang menjadi dalang pos kawalan Puteri Emas dipotong sambungan elektriknya,

siapa yang menghantar surat layang kepada saya dikaitkan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menjalankan kutipan wang cara haram daripada orang ramai,

siapa yang pernah berkata akan memastikan saya hanya akan dilantik sebagai imam surau pada tahun ini sahaja kerana kuliah yang disampaikan terlalu panas,

serta beberapa lagi perbuatan yang ada kaitan dengan kes-kes seperti disebutkan.

Namun demikian, apa yang saya rasa cukup terkilan dan sedih, dalang tersebut bukannya orang lain..orang yang agak rapat juga dengan saya. Berbual bersama-sama ..Entahlah..cuma boleh saya katakan di sini, ianya umpama duri dalam daging, gunting dalam lipatan dan babi dalam virus H1N1..Memang tak dijangka langsung!!

Pun begitu, apa guna kita membalas kejahatan orang dengan kejahatan kita..bukankah itu menggambarkan bahawa kita pun turut sama jadi orang jahat atau bodoh? Apa salahnya kalau kita memaafkan sahaja orang seperti dia ni..cerita pun takkan jadi panjang dan martabat kita sudah tentu akan diangkat oleh Allah kerana kita bersedia memaafkan kesalahan orang..

Kepada si dalang saya saya maksudkan, kalau tuan terasa dengan tulisan saya ini, serta mengakui kesalahan tuan, segeralah bertaubat dan hentikanlah serta-merta perbuatan jahat tuan tersebut. Kita kembali kepada masyarakat perpaduan kita seperti sebelum ini. Let bygones be bygones..

Kembali kepada Encik Sahak..dengan rasa yang amat bersalah, malu, sedih dan ikhlas hati, saya serta para jemaah surau memohon maaf secara terbuka dari tuan di atas segala kesilapan dan kesalahan kami terhadap tuan. Walaupun kiranya tuan telah memaafkan kami, perasaan bersalah tetap menyelubungi kami kerana kami telah gagal mempamerkan satu role model yang baik untuk ditonjolkan kepada masyarakat kita. Semoga insiden yang berlaku selama ini akan menjadi pengajaran yang amat berguna kepada kita semua.

Dalam kuliah Subuh tadi, ada saya sentuh mengenai perasaan bersalah kami terhadap tuan serta nasihat saya kepada para jemaah agar jangan terlalu pantas menuduh orang lain sebelum dilakukan penyiasatan atau pertanyaan kepada orang itu sendiri..

Dalam kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih serta penghargaan kepada En. Sahak di atas sokongan mantap yang beliau berikan terhadap Program Kawalan Keselamatan Berbayar Puteri Emas, Anggun dan Cahya. Tidak ketinggalan juga kepada 130 orang penduduk di 3 Puteri ini yang memberikan komitmen padu serta kepercayaan kepada jawatankuasa program ini. Sama-samalah kita berdoa semoga persekitaran kita sentiasa dilindungi oleh Allah SWT daripada sebarang kejadian yang tidak diingini.

Akhir kata, selaku imam di surau ini, saya buat kali yang seterusnya, menjemput semua warga BWP untuk menunaikan solat secara berjemaah di surau kita dengan harapan rahmat Allah akan terus berlimpahan dan memasuki setiap rumah di BWP ini.

Muat turun kuliah Subuh saya DI SINI.

Sunday, June 14, 2009

LAWATAN MUHIBBAH

Malang tidak berbau. Ketika program gotong-royong pada hari Sabtu, 13 Jun baru-baru ini, salah seorang ahli jemaah surau, saudara Azmi bin Mohd. Adnan ( No. 192 - Puteri Emas ) telah ditimpa satu kemalangan. Beliau bersama beberapa rakan yang lain ditugaskan untuk memotong dan menebang beberapa batang pokok di Puteri Anggun yang didapati rimbunan dedaunnya menghalang cahaya lampu jalan menyebabkan kawasan di situ gelap pada waktu malam.

Ketika berjaya memotong sebatang dahan (menggunakan chain-saw), dahan pokok tersebut jatuh ke tanah tetapi terpelanting lalu terkena tangga yang beliau gunakan sebagai tempat berdiri. Akibatnya beliau hilang keseimbangan badan lalu terjatuh ke atas jalan bertar menyebabkan tangan kiri beliau patah di pergelangan tangan. Rakan-rakan yang memerhati tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian tersebut berlaku terlalu pantas.

Petang tadi, selepas solat Asar, saya bersama Abang Roslan menziarahi saudara Azmi di Wad 4B Hospital Tuanku Jaafar. Kami hanya dapat meluangkan masa selama kira-kira 30 minit kerana terpaksa pulang segera untuk membuat persiapan ke surau pula. Dalam ziarah tersebut, saya menyampaikan salam dan doa daripada ahli jemaah surau serta sedikit sumbangan (wang tunai berjumlah RM200) daripada Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan 3 Puteri ditambah dengan derma yang diperolehi daripada beberapa orang penghuni di Puteri Anggun.

Kami mendoakan agar saudara Azmi cepat sembuh dan bersabar di atas musibah yang menimpanya.

Friday, June 12, 2009

TAWARAN MENYERTAI PASUKAN PENGURUSAN JENAZAH

Pengurusan jenazah adalah salah satu daripada tuntutan kifayah ke atas ummat Islam. Dalam erti kata lain, di dalam setiap kawasan atau komuniti masyarakat, mesti ada satu orang atau satu golongan kecil yang dapat melaksanakan pengurusan jenazah ini. Kita tidak boleh saling harap-mengharap kepada orang lain kerana suatu ketika nanti, kita pasti akan bertemu dengan situasi dimana orang lain akan bergantung harap kepada kita, contohnya seperti ketiadaan imam yang dilantik sedangkan waktu untuk mendirikan solat berjemaah sudah lama berlalu.

Sehubungan dengan itulah, saya rasa terpanggil untuk duduk semeja bersama tuan-tuan para jemaah surau memikirkan konsep Fardhu Kifayah ini. Apakah wajar apabila berlaku satu kematian, kita terpaksa bersusah payah memanggil orang-orang luar untuk menguruskan jenazah dari kalangan kita sendiri? Apakah tidak jatuh maruah kita apabila tidak ada seorang pun di kalangan kita yang dapat menguruskannya? Apakah kita tidak akan dipersoalkan oleh Allah SWT kelak? Cuba bayangkan sekiranya si jenazah itu adalah sahabat baik kita yang selama ini sering membancuh teh untuk kita pada saban malam? Apakah kita tidak mahu memberikan penghormatan terakhir kepada beliau? Penghormatan dalam bentuk menguruskan jenazahnya sehingga selesai dikebumikan atau ditalqinkan? Cuba bayangkan pula kalau si mati itu ibu, bapa, anak atau isteri kita pula? Takkan kita nak tengok dari luar bilik mandi jenazah semata-mata? Sebaik-baiknya kitalah sebagai anak, suami atau bapa yang memandikan, mengkafankan, mengimamkan solat ke atas mereka dan menguruskan beberapa perkara lain yang berkaitan dengannya..Semua itu adalah sebagai penghormatan kita yang terakhir kepada mereka sebelum mereka berpindah ke alam barzakh sana..

Tuan/tuan yang berminat serta sanggup memikul beban amanah ini, sila daftarkan nama tuan/tuan sebagai Team Pengurusan Jenazah Surau Al-Hidayah. Insya’Allah beberapa siri kursus khas berkaitan pengurusan jenazah akan kita usahakan supaya kita semua dapat menguasai semua perkara berkait pengurusan kematian ini. Mudah-mudahan usaha kecil kita ini mendapat sanjungan, pujian dan kebanggaan daripada Allah SWT.

Ustaz Haji Kamal bin Ismail
11 Jun 2009

Thursday, June 11, 2009

GOTONG-ROYONG BULAN JUN

Dimaklumkan bahawa Surau Al-Hidayah akan mengadakan Gotong-Royong Bulanan sebagaimana berikut :

Tarikh : 13 Jun 2009 [ Sabtu ]
Masa : 8.30 - 11 pagi

Aktiviti :

Lap cermin tingkap/ Vacuum karpet

Kemaskan setor
Balut Buku
Siram anak pokok

Mengecat benteng pagar
Menebang pokok di belakang blok A Puteri Emas dan di Anggun yang menghalang pandangan serta cahaya lampu jalan raya.

Makanan disediakan : Nasi Ayam.