Monday, July 26, 2010

PERTUBUHAN KHAIRAT KEMATIAN BWP

Alhamdulillah..segala puji hanya layak bagi ALlah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam ke atas baginda Rasul serta ahli keluarga dan para sahabatnya.

Mungkin ramai yang belum tahu bahawa Bandar Warisan Puteri kini telah mempunyai pertubuhan khairat kematian.. Alhamdulillah, satu lagi usaha memenuhi panggilan Fardhu Kifayah telah dapat dijalankan. Sehingga ke hari ini, Pertubuhan Khairat Kematian Bandar Warisan Puteri ( PKKBWP ) telah dianggotai oleh seramai kira-kira 88 orang ahli yang terdiri daripada penghuni BWP dan taman yang berjiran dengannya, iaitu Taman Perwira.

Sebelum didaftarkan secara rasmi lagi, PKKBWP telah berjaya memberikan khidmat baktinya berupa sumbangan wang pengurusan jenazah kepada 3 orang ahli atau waris( 2 kematian bapa dan 1 kematian ahli itu sendiri ) sebanyak RM850 seorang.

Menurut setiausaha PKKBWP, En. Jamaluddin Samsir, mesyuarat agung kali pertama yang diadakan baru-baru ini telah memutuskan bahawa setiap ahli PKKBWP ( atau ketua keluarga seisi rumah ) yang berdaftar diwajibkan membayar yuran tahunan sebanyak RM10 dan jariah bulanan sebanyak RM10 sebulan atau RM120 setahun sebagai sedekah jariah mereka kepada mana-mana ahli atau warisnya yang meninggal dunia. Bayaran tersebut akan bermula pada Julai 2010.

Memandangkan jumlah tabungan sekarang berbaki lebih kurang RM400 sahaja, semua ahli diseru supaya menyegerakan bayaran jariah bulanan bagi bulan pertama (Julai) atau sebaik-baiknya keseluruhan sumbangan bagi tahun 2010 berjumlah sebanyak RM60. Bayaran jariah bulanan tersebut bolehlah disalurkan kepada :

Pengerusi : Ust Haji Kamal bin Ismail
Setiausaha : En. Jamaluddin bin Samsir
Bendahari : En. Jauhari bin Abd Karim

atau dimasukkan ke dalam tabung surau dengan dikepilkan nota bertulis bayaran "Jariah Bulanan PKKBWP" berserta nama dan no. ahli masing-masing.

Maklumat lebih lanjut mengenai PKKBWP akan ditampal di papan kenyataan INFO PKKBWP di ruang legar Surau Al-Hidayah.

NISFU SYAABAN : SYARI'AT ATAU ...?

Hari ini, masuklah 14 Syaaban 1430H. Maknanya kita hanya ada 15 hari sahaja lagi untuk bertemu dengan Ramadhan. Berdoalah moga-moga kita semua dipanjang umur agar dapat sekali lagi kita menunaikan ibadah puasa.

Sebelum itu, pastinya malam ini ( malam Nisfu Syaaban ) akan penuh masjid dan surau dengan jemaah yang datang untuk membaca 3 kali Yasin berserta dengan doa khususnya - iaitu doa mohon panjang umur, murah rezeki dan selamat atau aman dari bala'.

Banyak juga yang saya dengar atau terbaca tentang amalan sambutan Nisfu Syaaban ni.. Majoriti ulama' termasuklah Dr. Sheikh Qardhawi sendiri berpandangan bahawa amalan Nisfu Syaaban seperti yang sering disambut oleh masyarakat kita saban tahun adalah bid'ah ( rekaan ) dan tidak termasuk di dalam syari'at Nabi kita, Muhammad SAW.

Saya tak berhasrat nak memanjangkan isu atau persoalan amalan sambutan Nisfu Syaaban kerana saya masih kekurangan ilmu mengenainya - tambahan pula, pada malam tersebut, mereka yang datang mengepalai majlis sambutan Nisfu Syaaban bukannya calang-calang orang. Ada yang bergelar Sahibus Samaahah, Sheikh Kabir, ulama' dan sebagainya.

Sehingga ke hari ini, saya masih lagi tertanya-tanya bercampur bimbang sekiranya amalan yang saya nampak macam baik pada pandangan mata rupa-rupanya tiada nilai sedikit pun di sisi ALlah SWT.

"Ya ALlah, tunjukkanlah kami yang benar itu benar dan yang batil (salah) itu batil".

Friday, July 23, 2010

TIBANYA MUSIM SURAU DIPENUHKAN MANUSIA

Selamat datang bulan yang mulia, bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat. Dalam masa yang sama, kita juga ingin mengucapkan selamat datang kepada ahli-ahli lama yang bakal me'renew'kan keahliannya di surau ini dan juga untuk mereka yang baru nak isi borang menjadi ahli surau meski pun dah bertahun menetap di sini.

Itulah istimewanya Ramadhan. Ramadhan menyatukan ummah. Jika selama ini ada di antara kita yang dah lupa jalan ke surau, kini tibalah masanya untuk mencari semula jalan tersebut. Perhatikanlah malam menjelang 1 Ramadhan nanti.. pasti akan melimpah-limpah rombongan manusia yang ingin bersama-sama solat isya' dan terawih..wow.. macam pesta ibadat nampaknya !

Mengapa perlu kita tunggu malam puasa baru nak datang ke surau ? Mengapa perlu ada musim untuk kita beribadat kepada ALlah ? Kalau tak tunggu Ramadhan tak boleh ke? Ke mana perginya kita pada bulan-bulan lain? Mengapa bila masuk Ramadhan barulah terjongol kepala kita di surau?

Tak perlulah kita tunggu jawapannya kerana kita sebenarnya dah tahu dah pun apa yang bakal kita dengari kalau soalan itu diutarakan..
Apa-apa pun, selamat menyambut bulan puasa. Puasa yang miss tahun lepas, dah ganti ke belum?

Friday, July 9, 2010

KELAS TUSYEN PERCUMA

Berita baik untuk anak-anak murid tahun 4 dan 5 !

Biro Dakwah dan Tarbiyyah, Surau Al-Hidayah akan menganjurkan Kelas Tusyen Percuma bermula 10 Julai 2010 ( Sabtu ) ini. Keutamaan adalah untuk murid-murid yang tidak berkemampuan untuk mengikuti mana-mana kelas tusyen berbayar.

Masa kelas : 10.00 pagi hingga 12 tengah hari.

Maklumat lanjut, sila hubungi Ust. Hj. Kamal di 017-6150169.

Monday, July 5, 2010

HARAMKAN JUDI BOLA SEPAK ! YANG LAIN TU, BAGAIMANA ?

Tahniah dan terima kasih kepada YAB Dato' Seri Perdana Menteri Malaysia kerana akhirnya tunduk juga kepada tuntutan suara rakyat di dalam isu pengharaman judi bola sepak piala dunia. Walaupun alasan pembatalan lesen judi tersebut agak menyakitkan hati dan telinga rakyat, terutamanya mereka yang luas pengetahuannya di dalam bidang agama, sekurang-kurangnya rakyat tidak didedahkan dengan galakan berjudi.

Kita perlu akur, bahawa judi tetap akan ada meskipun kerajaan telah mengharamkannya (sebelumnya telah dihalalkan). Sebab itu, bila kita baca akhbar, ada sahaja berita tentang tangkapan dan serbuan ke premis-premis yang menawarkan judi (terutamanya judi bola sepak) ini. Bagi mereka yang dah menjadi tahi judi, datanglah apa jua bentuk arahan pengharaman, tetap dengan judinya juga.

Jom kita tanya YAB Dato' Seri PM, judi yang lain-lain tu macamana pula? Judi ekor yang bersepah di seluruh pelusuk negara tu, tak nak diharamkan ke? Takkan judi bola sepak piala dunia sahaja yang haram hukumnya? Kita amat berharap, agar pihak pemerintah dapat bertindak mengharamkan judi ini secara menyeluruh-bukannya secara terpilih atau apabila setiap kali menerima tentangan suara pakatan rakyat..

Friday, July 2, 2010

ISTIDRAJ UNTUK ULAMA'

Pernah dengar perkataan 'Istidraj'? Istidraj bermaksud kelebihan@keistimewaan yang ALlah SWT berikan kepada seseorang hambaNya tetapi bukan dengan tujuan untuk memuliakan hamba tersebut, bahkan sebaliknya adalah sebagai satu bentuk penghinaan yang halus lagi tersembunyi.

Contoh istidraj ialah seperti seseorang yang diberikan harta kemewahan, lengkap serba-serbi, ada kereta besar, pakaian cantik dan seumpamanya, tetapi semua itu tidak dapat digunakan untuk dijadikan penyalur kepada ibadah kita kepada ALlah.

Ada orang kata, inilah salah satu tanda kita dah mula kufur nikmat! Bagaimana ALlah SWT boleh tambahkan lagi nikmatNya kepada orang yang sering mengkufurinya? Bukankah ALlah telah berpesan bahawa : Sekiranya kamu kufur akan nikmatKu, ingatlah bahawasanya azabKu amatlah pedih!

Perhatikan sahaja orang-orang kaya (yang tak sedar diri) di sekeliling kita..mereka diberikan harta yang berlimpah-ruah, kekayaan mereka bertambah dari sehari ke sehari, sedangkan mereka ini tak pernah pun sembah ALlah, tak pernah pun datang berkunjung ke rumah ALlah, bagaimana ini boleh berlaku?

Baiklah..seperti yang saya nyatakan di awal perenggan pertama di atas, istidraj ialah pemberian ALLah untuk menghina hambaNya, bukan untuk memuliakan. Perbandingan ringkas saya ialah ayam daging yang dibela di reban. Saban hari diberi makan, suntikan ubat dan vaksin, penjagaan yang begitu rapi sehinggalah ayam-ayam daging ini memboyot dan sihat-sihat belaka. Cukup masanya, mereka pun dibawa naik lori..Naik lori tu, nak ke mana ? Lawatan sambil belajar ke ? Tidak..jawabnya ialah mereka naik lori sebab nak dibawa ke tempat penyembelihan.

Lebih kuranglah maksud perbandingan saya di atas tu dengan golongan kaya rayawan yang sampai hari ni, masih tak nampak-nampak mukanya di surau masjid. Harta kekayaan pemberian ALlah itu adalah sebagai makanan yang disogokkan supaya bila tubuh badan dah membesar, berbaloi amat sangatlah ianya dibakar di dalam api neraka kelak..

Itu contoh istidraj dari sudut harta kekayaan. Dari sudut ilmu pengetahuan pun tidak dapat lari dari ujian istidraj ini.

Ramai orang alim (ulama') yang terjatuh dalam perangkap istidraj. Mereka banyak ilmu, banyak pengetahuan tentang hukum-hakam tetapi malangnya mereka sendiri yang banyak melakukan kesalahan dan maksiat kepada ALLah SWT. Dengan kelebihan ilmu yang ada, ditambah pula dengan sedikit kebolehan berbicara, kita gunakan ilmu kita untuk memburukkan orang lain, menghukum dengan pelbagai gelaran dan menyebar-luaskan keaiban orang ramai dengan alasan ianya adalah untuk menegakkan kebenaran.

Mungkin pada sisi kita, perbuatan seumpama itu adalah satu kebajikan yang akan diberikan pahala, tetapi bagaimana sekiranya di sisi ALlah, perbuatan kita itu adalah sebesar-besar kejahatan yang bakal diberikan dosa serta laknat kutukan daripadaNya?

Saya teringat maksud pesanan Junjungan Besar kita : "Sesiapa yang mencari ilmu dengan tujuan untuk memperlekehkan orang lain, merendah-rendahkan orang lain, mengaibkan orang lain serta dengan tujuan konon-konon orang akan kita kita ni hebat, maka dia akan mendapat laknat serta kutukan daripada ALLah SWT."

Saya sentiasa memperingatkan diri ini, agar jangan apabila kita dah terkenal, dipanggil berceramah situ-sini, kita pun mulalah lupa diri. Tambah pula apabila setiap kali selesai berkuliah atau berceramah, ada yang memuji : "Waah..hebat betul la ceramah ustaz tadi tu..!"

Begitulah cara iblis menyesatkan para ulama'..justeru, sentiasalah mohon perlindungan ALlah daripada iblis yang terlaknat ini !

Thursday, July 1, 2010

PIALA AKHIRAT BILA PULA ?

Saya bukanlah seorang kaki bola. Sepanjang berlangsungnya bola sepak piala dunia, saya tak pernah pun menonton rancangan perlawanan ( live atau replay ) sehingga tamat perlawanan. Saya hanya lebih suka menonton aksi apabila bola menerjah gawang gol sahaja. Saya tak kuasa nak berjaga malam semata-mata kerana nak tengok bola. Syukurlah ALlah SWT tak jadikan saya salah seorang hantu bola.

Tidak lama lagi bola sepak piala dunia akan berakhir. Pasukan negara mana yang jadi juara nampaknya dah dapat diberikan bayangan sedikit demi sedikit. Di mana-mana sahaja, orang ramai akan bercakap pasal bola sepak piala dunia ni..hatta anak murid saya kat sekolah pun ada yang bertekak menyatakan sokongan kepada pasukan favourite masing-masing.

Itu kisah piala dunia.. Bagaimana dengan kisah Piala Akhirat pula ? Takkan kita tak sanggup bersekang mata untuk merebut piala akhirat ? Kalau boleh bangkit seawal jam 2.30 pagi untuk menonton bola sepak piala dunia, takkan bila tiba time piala akhirat, kita tak mampu kot? Sekadar bangkit dan solat 2 rakaat.. kira-kira 10 minit la katakan..mengapa kita tidak mampu? Jawapan saya ialah : Piala Dunia lebih baik daripada Piala Akhirat !!

Nampak jelas sangat betapa bodohnya kita ni.. terutama kaki bola atau peminat bola sepak piala dunia yang sanggup bangkit awal-awal pagi tapi tak mampu nak sujud di hadapan Tuhan untuk sepuluh minit dalam setiap malam ?

Bila dikatakan bodoh, terus melenting..abih tu ? ada lagi ke istilah lain yang lebih sesuai dan serasi dengan golongan ini ? Orang kampung saya kata : Bengong !