Friday, May 15, 2009

SELAMAT HARI GURU

Esok, 16 Mei 2009, adalah sambutan Hari Guru di seluruh negara. Tema tahun ini ialah : "Guru Pembina Negara Bangsa".

Sebagaimana kita semua sedia maklum, tiada seorang pun di antara kita yang menafikan peri pentingnya peranan guru. Apa pun kita pada hari ini - apa jawatan sekali pun, jangan kita lupa kepada mereka yang pernah mendidik kita.

Bila sebut guru sahaja, kita tentu akan terbayang wajah guru-guru yang pernah mengajar dan mendidik kita bermula seawal dari sekolah rendah lagi. Kerana merekalah, kita diperkenalkan dengan ABC, diajarnya tulis, baca dan mengira. Tetapi, apabila diundurkan perjalanan hidup ini sedikit lagi ke belakang, iaitu sebelum kaki melangkah ke pintu bilik darjah, kita sebenarnya terlupa kepada satu lagi guru serta jasa-jasa mereka. Ya..ibu dan bapa kita.

Mereka berdualah guru pertama dalam hidup kita. Si ayah mengajar dan membacakan kalimah toyyibah di telinga kita sebaik kita dilahirkan ke dunia ini. Manakala si ibu pula mendodoikan kita dengan zikrullah..

Setelah itu, diajarnya pula adab atau akhlak. Adab bagaimana nak makan, adab apabila berkata-kata dengan orang yang lebih dewasa, adab berjalan, adab masuk tandas, adab berpakaian dan bermacam-macam adab lagi sehinggalah kita menjadi salah seorang anak yang dididik dengan penuh nilai peradaban.

Lebih penting lagi, ibu bapalah yang telah memperkenalkan kita kepada solat dan Qur'an. Dibelinya si bapa pakaian solat yang lengkap untuk anak kesayangan lalu dibawanya ke atas motosikal untuk dibawa ke surau atau masjid..semata-mata bertujuan supaya si anak lebih mengenali siapakah Tuhannya yang wajib dia perhambakan dirinya.. Apakah ada lagi guru lain yang lebih baik daripada ibu dan bapa ?

Sempena Hari Guru esok, berikanlah ucapan selamat kepada ibu bapa yang merupakan guru pertama dalam hidup kita dengan tidak melupakan guru-guru lain di sekolah-sekolah.

Selamat Hari Guru, redhakanlah segala ilmu yang telah dicurahkan ke hati ini...

No comments:

Post a Comment