Sunday, May 31, 2009

HJ ANUWAR DIMASUKKAN KE HOSPITAL

Salah seorang imam Surau Al-Hidayah, Tuan Haji Anuwar bin Alabakas, telah dimasukkan ke wad 7A Hospital Tuanku Jaafar kerana diserang penyakit asma (lelah) pada pagi Sabtu, 30 Mei 2009.

Beliau yang tinggal berjiran dengan Ustaz Haji Kamal juga adalah imam yang telah lama berkhidmat di Surau Flat UDA, Ampangan. Menurut anak beliau, Tuan Haji Anuwar kelihatan seperti biasa ketika membukakan pintu pagar tetapi mula diserang ketika beliau masuk ke dalam rumah.

Tuan Haji Anuwar telah lama mempunyai penyakit asma dan amat alah dengan cuaca yang sejuk. Sama-samalah kita mendoakan kesihatan beliau dan sesiapa yang ada masa, jenguk-jenguk dan ziarahlah beliau di hospital. Mungkin kehadiran kita dapat memberi semangat untuk pulih kepada beliau.

Saturday, May 30, 2009

CERAMAH BULANAN


Alhamdulillah..rasa macam nak menitis air mata apabila sesuatu yang dirancang akhirnya mendapat keizinan daripada Allah SWT. Setelah sekian lama memikir dan merancang kaedah untuk menarik lebih ramai penduduk BWP mendatangi surau, akhirnya pada malam semalam, surau Al-Hidayah menerima seorang tetamu untuk memenuhi ruang antara solat Maghrib dan Isyak.

Ustaz Zamru bin Samsudin, Ketua Unit Dakwah dan Korporat dari Pusat Zakat Negeri Sembilan menerima jemputan surau untuk bercakap mengenai zakat serta yang berkait dengannya. Alhamdulillah, yang hadir dalam majlis tersebut adalah dianggar kurang lebih 55 orang.

Jumlah tersebut mungkin meningkat lagi sekiranya majlis seperti itu dijalankan pada malam minggu. Malam orang tak keje..tapi, mungkin akan ada alasan balik kampung pula.. Ala kulli hal, pihak surau telah memainkan peranan menyeru dan mengajak manusia di BWP ke jalan kebaikan..soal mereka nak ikut atau tidak laluan tersebut, itu masing-masing punya cerita..tugas kita hanya menyampaikan, tetapi memasukkan hidayah, kesedaran dan membuka pintu hati, itu adalah kerja Allah..

Pun begitu, bagi saya (secara peribadi), usaha pihak surau masih di peringkat yang rendah. Setakat ini, Al-Hidayah hanya menyebarkan risalah (flyer), memperkenalkan laman blog, mengadakan kuliah pengajian pada setiap malam, menggunakan kesempatan bertazkirah di majlis-majlis kenduri-kendara serta beberapa aktiviti bulanan seperti program Qiyamullail, gotong-royong dan Ceramah Bulanan. Usaha bersemuka secara personal, mengetuk pintu dari rumah ke rumah untuk mengajak mereka ke surau pula bagaimana ? Apakah sudah terlaksana ? Dan soalan mautnya, siapa yang bersedia untuk mewakili surau menjalankan tugas tersebut ? Imam I atau Imam II ?

Wahai Tuhanku..apakah usaha kami setakat ini masih ada ruang untuk Engkau pertikaikan di akhirat kelak ? Jawab Tuhan : Ya, kamu belum lagi mengetuk pintu-pintu rumah mereka...

Wednesday, May 27, 2009

ANAK POKOK ANGKAT : DI MANA TANGGUNGJAWAB ANDA SEBAGAI BAPA ?

Dalam gotong-royong dwi-mingguan pada 23 Mei yang lalu, Ustaz Haji Kamal melancarkan kempen 'Jariah : Satu Keluarga Satu Anak Pokok'. Alhamdulillah..ramai juga yang menyahut kempen tersebut. Mungkin kerana kesedaran mengenai kepentingan dan peranan sedekah jariah seperti yang diperkatakan di dalam banyak kuliah agama yang disampaikan oleh ustaz-ustaz di surau kita.

Malam tadi, selesai sahaja solat Maghrib, Ustaz Kamal memaklumkan kepada jemaah berkenaan Ceramah Bulanan Surau pada 28 Mei ini dan menyentuh sedikit tentang Kempen anak Pokok Angkat. Menurut Ustaz, ada sebahagian bapa angkat pokok yang datang menggali lubang, menimbusnya semula lalu meninggalkan anak angkat tersebut berhempas-pulas meneruskan survival mereka untuk hidup, tanpa diberinya baja, siraman air dan penjagaan yang selainnya.

Anak-anak pokok yang menjadi anak angkat bapa-bapa ( ahli jemaah surau ) ini samalah seperti anak angkat manusia. Ia mesti diberikan nafkah hidup seperti makan pakai, keselamatan, kesihatan dan tempat tinggal yang selesa. Adalah berdosa sekiranya kita membiarkan mereka bersendirian berusaha mendapatkan nafkah tersebut.

Pesanan ustaz, jenguk-jenguklah anak-anak angkat anda dan berilah belaian serta curahkanlah kasih-sayang secukupnya kepada mereka. Semoga tumbesaran mereka sentiasa menyalurkan pahala kepada kita..

Monday, May 25, 2009

ISU FITNAH : SURAU AL-HIDAYAH PUSAT PEMBANGKANG ?

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani..

Amat mendukacitakan apabila setelah sekian lama tidak pernah nampak muka di surau, tiba-tiba datang seorang hamba Allah (layakkah digelar hamba Allah?Mungkin lebih baik kita gelar aje sebagai "hamba nafsu yang semakin menderita") dengan tujuan untuk mencari maklumat tertentu untuk diaibkan atau dijadikan bahan FITNAH !!

Lazimnya setiap orang yang datang ke surau atau mana-mana rumah Allah, dengan niat untuk beribadah, menyempurnakan rasa kehambaan kepada Tuhan dan dalam masa yang sama mengeratkan lagi hubungan di antara sesama jemaah demi perpaduan Islam, tetapi sungguh sedih (bahkan teramat sedih) apabila melihatkan "hamba nafsu yang semakin menderita" ini datang ke surau kita kemudian pulang dengan membawa berita sensasi untuk dikongsikan bersama ketua mereka yang tidak sabar menanti..lalu, hasilnya..FITNAH pun mula menular.

Syukurlah kebijaksanaan Tuan Penasihat Surau telah menyelamatkan keadaan..Siapakah si pembawa berita FITNAH ini ? Memandangkan Rasulullah SAW tidak pernah mendedahkan identiti Abdullah bin Ubai bin Salul Al-Bahlol (chief of Munafiqin) yang menjadi pemecah-belah perpaduan ummat, saya pun turut mengambil langkah sedemikian. Namun, walaupun Nabi SAW merahsiakan musuh Islam tersebut, majoriti sahabat dapat kenal dan tahu siapakah chief of Munafiqin ini, bahkan anaknya sendiri pernah menawarkan khidmat untuk memenggal leher bapanya sendiri..

Sabar dan teruskan istiqomah kita untuk memakmurkan surau yang tercinta ini. Andai kita melayani karenah orang gila, tidakkah nanti kita pun termasuk dalam golongan orang gila ?

Untuk makluman para pengunjung, Surau Al-Hidayah tidak pernah dijadikan pusat pembangkang sebagaimana yang didakwa. Kalau ada cakap-cakap politik, itu adalah perkara biasa. Di mana-mana pun orang bercakap pasal politik. Isu PAS, PKR dan UMNO/BN telah menjadi sebahagian daripada 'sembang santai' kami selepas solat Isyak atau sebelum pulang ke rumah masing-masing. Bagi saya, sesiapa sahaja berhak bercakap pasal politik. Bagi kami di sini, siapa pun anda, UMNO/BN totok, PAS totok atau DAP totok sekali pun, selesai sahaja sembang santai, ianya pasti akan berakhir di situ. Kami tidak pernah pulang dengan perasaan benci atau dendam nak marah kepada sesiapa. Saya sendiri secara peribadi, amat gembira sekiranya ahli jemaah surau kita ini terdiri daripada pelbagai penyokong parti politik. Kita boleh berbeza pandangan/pendapat, tetapi setiap kali bersolat, kita tetap menghadap qiblat yang sama..

Apa yang saya dapati selama berusaha mengimarahkan surau ini, para jemaah di sini pun, mereka bukannya pembangkang totok. Mereka sebenarnya adalah insan-insan kecewa yang cuba nak luahkan rasa kecewa dan kesal mereka. Dah nak luah kat pemimpin, pemimpin tak nak dengar, maka diluahkanlah kepada sesama mereka. Saya turut perhatikan, mereka ini akan pulang ke rumah dalam perasaan lega, tenang dan damai kerana telah dapat meluahkan apa yang selama ini terbuku di dalam dada.

Saturday, May 16, 2009

GOTONG-ROYONG DWI-MINGGUAN


Pihak Surau Al-Hidayah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli jemaah yang dapat meluangkan masa bersama-sama menjayakan program gotong-royong membersih dan menceriakan surau pada pagi tadi, bermula jam 8.00 pagi.

Semangat bekerjasama dan perasaan kekitaan yang ada pada setiap diri ahli jemaah patut dikekalkan sehingga ke akhir hayat.

Hanya Allah SWT yang dapat memberikan balasan setimpal di atas kesungguhan dan keikhlasan tuan-tuan.

Friday, May 15, 2009

SELAMAT HARI GURU

Esok, 16 Mei 2009, adalah sambutan Hari Guru di seluruh negara. Tema tahun ini ialah : "Guru Pembina Negara Bangsa".

Sebagaimana kita semua sedia maklum, tiada seorang pun di antara kita yang menafikan peri pentingnya peranan guru. Apa pun kita pada hari ini - apa jawatan sekali pun, jangan kita lupa kepada mereka yang pernah mendidik kita.

Bila sebut guru sahaja, kita tentu akan terbayang wajah guru-guru yang pernah mengajar dan mendidik kita bermula seawal dari sekolah rendah lagi. Kerana merekalah, kita diperkenalkan dengan ABC, diajarnya tulis, baca dan mengira. Tetapi, apabila diundurkan perjalanan hidup ini sedikit lagi ke belakang, iaitu sebelum kaki melangkah ke pintu bilik darjah, kita sebenarnya terlupa kepada satu lagi guru serta jasa-jasa mereka. Ya..ibu dan bapa kita.

Mereka berdualah guru pertama dalam hidup kita. Si ayah mengajar dan membacakan kalimah toyyibah di telinga kita sebaik kita dilahirkan ke dunia ini. Manakala si ibu pula mendodoikan kita dengan zikrullah..

Setelah itu, diajarnya pula adab atau akhlak. Adab bagaimana nak makan, adab apabila berkata-kata dengan orang yang lebih dewasa, adab berjalan, adab masuk tandas, adab berpakaian dan bermacam-macam adab lagi sehinggalah kita menjadi salah seorang anak yang dididik dengan penuh nilai peradaban.

Lebih penting lagi, ibu bapalah yang telah memperkenalkan kita kepada solat dan Qur'an. Dibelinya si bapa pakaian solat yang lengkap untuk anak kesayangan lalu dibawanya ke atas motosikal untuk dibawa ke surau atau masjid..semata-mata bertujuan supaya si anak lebih mengenali siapakah Tuhannya yang wajib dia perhambakan dirinya.. Apakah ada lagi guru lain yang lebih baik daripada ibu dan bapa ?

Sempena Hari Guru esok, berikanlah ucapan selamat kepada ibu bapa yang merupakan guru pertama dalam hidup kita dengan tidak melupakan guru-guru lain di sekolah-sekolah.

Selamat Hari Guru, redhakanlah segala ilmu yang telah dicurahkan ke hati ini...

GOTONG-ROYONG DWI-MINGGUAN

Tarikh : 16 Mei 2009 ( Sabtu )
Masa : 8.00 - 10.30 pagi

Aktiviti :

1. Mengecat pagar utama
2. Mengelap tingkap
3. Membersihkan karpet
4. Mencuci longkang
5. Mencabut rumput/ anak pokok liar


Kerjasama para jemaah amat diharapkan dan didahulukan dengan ucapan terima kasih.

جزاكم الله خيرا كثيرا

Thursday, May 14, 2009

WAJARKAH ANAK-ANAK KECIL DIBAWA KE SURAU ?

Antara jawapan yang diterima setiap kali persoalan di atas diajukan kepada para bapa yang berkunjung ke surau, mereka akan menjawab : "Untuk membiasakan mereka (anak-anak) dengan ibadat solat dan rumah-rumah Allah".

Saya setuju dengan jawapan seperti yang biasa kita dengar daripada para bapa yang membawa anak-anak mereka ke surau ini. Namun begitu, masih tetap ada 'tapi'nya. Bukan terus setuju begitu sahaja.

Anak-anak memang patut kita biasakan dengan rumah-rumah ibadat (surau dan masjid), supaya bila mereka besar kelak, mereka tidak fobia dengannya. Tetapi, seandainya kehadiran mereka dengan tujuan untuk bermain, berkejar-kejaran, membuat bising sehingga mengganggu solat dan kuliah-kuliah agama yang sedang disampaikan, bab itulah yang saya rasa ada 'tapi'nya tadi.

Dalam masalah ini, saya berpandangan bahawa bapa-bapa yang membawa anak-anak mereka mesti bertanggungjawab memastikan anak-anak mereka tidak mengganggu ahli jemaah dan aktiviti yang sedang berjalan. Sifat anak-anak memang seperti itu..nakal, suka berkejaran, kadang-kadang berkelahi lalu menangis dan bermacam-macam lagi, jadi..tugas bapa-bapa, pastikan semua ini tidak berlaku.

Kita mesti ingat, tujuan kita ke surau antaranya ialah untuk mencari ketenangan diri, beribadah dengan khusyuk, mendengar dan mengikuti kuliah, membaca Qur'an, berzikir dan sebagainya..tetapi kalau diganggu oleh anak-anak kecil ini, adakah tujuan tersebut dapat dicapai ?

Pandangan Ustaz Haji Azhar dalam kuliah beliau minggu lalu, pastikan anak-anak sudah boleh diajar/didik atau boleh mengawal diri, barulah mereka ini dibawa ke surau.

Ustaz Hj. Kamal bin Ismail.

BILAKAH SUNAT MENGEJUTKAN ORANG YANG SEDANG TIDUR ?

Mengejutkan orang yang tidur disunatkan sekiranya orang itu tidur dalam keadaan berikut:

Pertama: Seorang yang tidur di masjid dan waktu solat sudah tiba.

Ini berdasarkan hadis Abu Bakrah ra, beliau berkata:

خرجت مع النبي صلى الله عليه وسلم لصلاة الصبح فكان لا يمر برجل إلا ناداه بالصلاة أو حركه برجله

“ Aku keluar bersama Nabi saw untuk menunaikan solat subuh. Beliau tidak lalu pada mana-mana lelaki melainkan akan menyerunya untuk solat atau menggeraknya untuk solat dengan kakinya.”(Hr Abu Daud 1246 – semua perawinya thiqah)

Kedua: Orang yang tidur di hadapan orang yang solat kerana menggangu orang yang solat.

Ketiga: Tidur di atas permukaan bangunan tanpa penghadang.

Rasulullah saw bersabda:

من بات على ظهر بيت ليس له حجار فقد برئت منه الذمة

“Sesiapa yang tidur diatas permukaan bangunan tanpa ada penghadang (dari jatuh bangunan), sesungguhnya telah terlepas dari tanggungjawab mana-mana pihak (sekiranya jatuh).(Hr Abu Daud – semua perawinya adalah thiqah)

Keempat: Tidur dalam keadaan separuh badan terkena cahaya matahari dan setengah lagi tidak kena.

Nabi saw bersabda:

إذا كان أحدكم في الشمس فلقص عنه الظل وصار بعضه في الشمس وبعضه في الظل فليقم

“Apabila salah seorang kamu berada di bawah pancaran matahari, kemudian matahari menaik dan sebahagian tubuhmu terkena pancaran matahari dan sebahgian yang lain tidak kena , hendaklah dia beredar.”(Hr Abu Daud – semua perawinya thiqah)

Kelima: Tidur waktu subuh.

Nabi saw bersabda:

الصبحة تمنع الرزق

“Tidur subuh menegah rezki.”(Hr Ahmad – sanad lemah)

Umar bin Abdul Aziz apabila melihat anaknya sedang tidur waktu subuh, beliau mengejutkannya dan berkata:

الأرزاق تقسم وأنت نائم

“Rezeki dibahagi-bahagikan sedangkan engkau tidur.”

Keenam: Tidur sebelum isya kerana makruh tidur waktu itu.

Ini disebut dalam hadis yang panjang, riwayat dari Abi Bakrah ra dimana beliau berkata:

كان يكره النوم قبلها والحديث بعدها

“Baginda tidak suka tidur sebelum solat isya dan sembang-sembang selepasnya.”(Hr Bukhari - sahih)

Ketujuh: Tidur lepas solat Asar.

Nabi saw bersabda:

من نام بعد العصر فاختلس عقله فلا يلومن إلا نفسه

" Sesiapa yang tidur selapas solat asar dan hilang akalnya , janganlah dia mencela melainkan dirinya.”(Hr Abu Ya’la – Sanad lemah)

Kelapan: Tidur berseorangan di rumah.

Hukum ini disebut oleh al-Hulaimi dalam kitabnya al-Minhaj Fi Syu’abil Iman.

Kesembilan: Perempuan yang tidur menelentang.

Ini kerana ianya makruh seperti yang disebut dalam kitab yang sama. Umar bin Abdul Aziz telah menegah anaknya yang tidur sedemikian.

Kesepuluh: Seorang lelaki yang tidur meniarap.

Baginda melihat seorang lelaki meniarap. Lalu baginda bersabda:

إن هذه ضجعة يبغضها الله ورسوله

Maksudnya: “Sesungguhnya ini adalah cara baring yang dimurkai oleh Allah dan Rasulnya.”(Hr Tirimizi dan Ahmad-hasan lighairihi)

Abu Umamah r.a berkata: Nabi s.a.w lalu dekat seorang lelaki yang tidur meniarap di Masjid. Lalu baginda memukulnya dengan kakinya dan berkata:

قم واقعد فإنها نومة جهنمية

Maksudnya: “Bangunlah kamu dari tidur dan duduklah sesungguhnya ini adalah cara tidur ahli neraka jahannam.”(Hr Ibnu Majah)

Kesebelas: Mengejutkan orang tidur untuk bangun qiamullail.

Nabi saw bersabda:

رحم الله رجلا قام من الليل فصلى وأيقظ امرأته فإن أبت نضح في وجهها الماء رحمالله امرأة قامت من الليل فصلت وأيقظت زوجها فإن أبى نضحت في وجهه الماء

“Allah merahmati lelaki yang bangun malam, menunaikan solat dan mengejutkan isterinya. Sekiranya isterinya enggan, dia akan merenjiskan air pada muka isterinya. Allah merahmati wanita yang bangun malam, menunaikan solat dan menegejutkan suaminya. Sekiranya suaminya enggan, dia akan merenjis air ke muka suaminya.(Hr Abu Daud 1308 – perawi-perawinya thiqah)

Kedua belas: Mengejutkan orang yang tidur untuk bangun sahur.

Nabi saw bersabda:

إن بلالا ينادي بليل فكلوا واشربواحتى ينادي ابن مكتوم

“Sesungguhnya bilal akan mengumandangkan azan pada waktu malam (sebelum subuh), maka makanlan dan minumlah sehingga Ibnu Maktum mengumandangkan azan subuh.”(Hr Muslim)

Rujukan:

1) Tashilul Maqasid li Zuwwarul Masjid oleh Ibnul Ammad
2) Aunul Ma’budoleh al-Abadi
3) An-Nihayah oleh Ibnul athir.

Wednesday, May 13, 2009

MUFLIS AKHIRAT

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud: “Tahukah kamu, siapakah gerangan orang yang muflis itu ?” Lalu jawab sahabat: “Pada pandangan kami, orang yang muflis itu ialah mereka yang tidak mempunyai wang dan harta”. Lantas baginda SAW menjelaskan bahawa : “Sesungguhnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah mereka yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat. Dia juga (dalam masa yang sama) datang dengan membawa dosa menghina, menyakiti orang, memakan harta orang lain, menumpahkan darah (membunuh) dan memukul orang. Lalu diberi segala pahala kebajikannya itu kepada orang-orang tersebut. Maka jika telah habis pahala kebajikannya sebelum dapat dibayar kepada orang yang menuntutnya (orang yang dihina, disakiti dan dizaliminya ketika di dunia dulu), maka dosa-dosa orang-orang tersebut pula akan dilemparkan kepadanya, lalu dia kemudiannya dicampakkan ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis itu, dapatlah kita fahami bahawa golongan yang menjadi muflis pada akhirat adalah berasal daripada orang yang apada awalnya memiliki pahala yang banyak. Bagaimanapun, semua pahala ibadat mereka itu habis kerana digunakan sebagai bayaran ganti rugi kepada insan yang pernah disakiti, dikhianati, dihina, dibunuh atau dizaliminya sewaktu di dunia dahulu.

Alangkah ruginya golongan muflis ini. Ganjaran pahala yang mereka kumpul dengan mengerjakan bermacam ibadat, akhirnya menjadi barang tukaran kerana denda yang perlu mereka bayar disebabkan kesalahan mereka terhadap orang lain. Meskipun kita malu jika isytiharkan muflis di dunia ini, namun kita masih lagi beruntung kalau dibandingkan dengan situasi muflis di akhirat. Jika muflis di dunia, masih ada lagi orang yang bersimpati dan dapat membantu kita.

Tetapi bagaimana pula hal keadaan kita apabila muflis di akhirat? Siapakah yang akan bersimpati? Siapakah yang bakal menolong kita dan siapakah pula yang akan menyelamatkan kita dari azab seksaan neraka Allah? Kuat beribadah dan memiliki pahala yang banyak tidak menjamin terpeliharanya seseorang itu daripada azab Allah jika pada masa sama dia masih melakukan penganiayaan, penindasan dan kezaliman kepada insan lain.

Firman Allah bermaksud: “Pada hari itu Kami akan tutup mulut mereka dan tangan mereka memberitahu Kami (mengenai kesalahan masing-masing), kaki mereka pula menjadi saksi terhadap apa yang sudah mereka perbuatkan (ketika hidup di dunia)?” (Surah Yaasin, ayat 65).

Selain itu, kita juga diingatkan agar bertanggungjawab terhadap amanah keluarga iaitu isteri dan anak-anak. Dibimbangi di akhirat kelak, mereka akan menuntut segala pertanggungjawaban yang tidak kita tunaikan kepada mereka. Tanggungjawab memberi mereka ilmu, pendidikan, perlindungan, makanan, kesihatan dan sebagainya akan dipersoalkan kepada kita sama ada terlaksana atau terabai.

Jika kita perhatikan realiti hari ini, berapa ramai ibu bapa yang selalu solat berjemaah di masjid, mendengar ceramah, menghadiri kelas pengajian agama dan melakukan pelbagai amal kebajikan, sedangkan anak mereka terbiar tanpa mendapat pendidikan agama sempurna, terbabit dengan jenayah, gejala sosial, maksiat dan kegiatan kemungkaran? Golongan ibu bapa seperti ini mengerjakan amal ibadat dengan penuh kesungguhan, tetapi mereka beribadah dalam situasi yang kurang bijak. Mereka lupa bahawa tanggungjawab memberikan pendidikan agama terhadap anak-anak juga ibadat besar dan mulia. Jika amanah dan tanggungjawab ini sengaja dibiarkan terabai, dikhuatiri ia akan menjadi penghalang untuk seseorang hamba itu memasuki syurga Allah, walaupun memiliki banyak pahala hasil daripada amal ibadatnya.

Monday, May 11, 2009

KAWALAN KESELAMATAN BERBAYAR PUTERI EMAS


Bagi mengekang kejadian pecah rumah yang semakin berleluasa, Biro Kebajikan dan Keselamatan Puteri Emas telah bersetuju untuk mengadakan Kawalan Keselamatan Berbayar bermuala awal Jun 2009.

Sebanyak 3 orang anggota RELA akan diupah untuk menjalankan tugas rondaan tersebut yang meliputi rondaan siang dan juga malam dan melibatkan kos tidak kurang dari RM1500 sebulan.

Sehubungan itu, bagi menjayakan cadangan tersebut, semua penghuni Puteri Emas DIWAJIBKAN menyumbang sebanyak RM30 sebulan.

Di dalam satu kaji selidik yang dijalankan oleh Ustaz Kamal semalam, sebanyak 39 rumah telah menyatakan persetujuan dengan cadangan ini. Baki rumah yang lain tidak diperolehi persetujuan mereka kerana tuan rumah didapati tiada di rumah. Kaji selidik tersebut akan disambung semula pada petang dan malam ini sebelum dibentangkan di dalam perjumpaan ke-2 Biro Kebajikan dan Keselamatan Puteri Emas pada Sabtu, 16 Mei akan datang.

MENUTUP AURAT BUKAN SEKADAR BERTUDUNG

SATU ketika dulu, ramai mengatakan memakai tudung itu hanyalah sunat muakad atau tidak wajib. Kalau tidak memakai tudung, hanya berdosa kecil. Kononnya sebaik saja mengambil wuduk untuk bersolat lima waktu, secara automatik dosa kita dibasuh dan terhapus.

Apabila bergaul dengan pelbagai bangsa dan agama, kita banyak mendengar dan membaca bagaimana media barat memomokkan kod pakaian wanita Islam yang dikaitkan dengan maruah dan harga diri.

Di satu sudut lain, ada wanita Islam yang bertudung dan menyangkakan mereka sudah menutup aurat, tetapi masih mengenakan seluar jeans yang ketat, kemeja T menampakkan pakaian dalam atau yang hanya layak dipakai oleh adiknya berumur 10 tahun.Ada juga yang mengenakan tudung, tetapi memakai kain terbelah sehingga menampakkan peha, pakaian terbelah di dada, kemeja T berlengan pendek dan ada kalanya memakai skirt separas betis. Persoalannya apakah ciri pakaian menutup aurat bagi wanita Islam?

Aurat berasal daripada bahasa Arab, 'Aurah' yang bererti kurang. Di dalam fiqh, aurat diertikan sebagai bahagian tubuh seseorang yang wajib ditutupi daripada pandangan orang lain. (Wahbah al-Zuhayli (1989), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Damsyik: Dar al-Fikr, halaman 579).

Walaupun ulama berkompromi mengenai had aurat yang perlu ditutup oleh wanita, namun mereka bersepakat mengatakan hukum menutup aurat bagi setiap wanita Muslim yang baligh adalah wajib. Untuk memenuhi syarat menutup aurat, pakaian seseorang wanita mestilah memenuhi syarat berikut:

1) Menutupi had aurat yang sudah ditetapkan.

Jumhur ulama bersepakat mengatakan aurat bagi wanita baligh ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, mereka wajib menutup aurat daripada dilihat oleh lelaki ajnabi (bukan mahram).

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka." (Surah al-Nur, ayat 31)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Ahzab, ayat 59).

Ayat itu Allah memerintahkan supaya Nabi Muhammad SAW menyuruh isteri Baginda mengenakan pakaian yang menutup aurat. Suruhan itu juga ditujukan kepada semua wanita beriman.

2) Pakaian yang longgar.

Tujuan utama wanita diwajibkan menutup aurat ialah untuk mengelakkan daripada lelaki ajnabi melihat tubuh badannya dan mengelakkan daripada berlakunya fitnah. Oleh itu, pakaian yang ketat walaupun tebal sudah pasti akan menampakkan bentuk tubuh badan. Wanita yang memakai pakaian ketat walaupun menutupi seluruh tubuh masih belum memenuhi tuntutan menutup aurat seperti dikehendaki syarak.

Syarat ini berdasarkan kepada kata Dahiyyah bin Khalifah al-Kalbi yang bermaksud: "Rasulullah SAW didatangi dengan beberapa helai kain 'qubtiyyah' (sejenis kain yang nipis buatan Mesir), lalu Baginda berkata: "Bahagikan kain ini kepada dua, satu daripadanya dibuat baju dan bakinya berikan kepada isterimu." Apabila aku berpaling untuk beredar Baginda berkata: "Dan suruhlah isterimu meletakkan kain lain di bawahnya (supaya tidak nampak bentuk tubuhnya).

"Menurut Ibn Rusyd, 'qubtiyyah' ialah pakaian yang tebal tetapi melekat pada badan kerana ianya ketat dan menampakkan bentuk tubuh pemakainya. Oleh itu, Rasulullah SAW menyuruh Dahiyyah menyuruh isterinya melapik pakaian itu dengan kain lain supaya tidak menampakkan bentuk tubuhnya.

3) Pakaian yang tidak jarang.

Syarak menetapkan pakaian wanita mestilah tidak jarang sehingga menampakkan bentuk tubuh atau warna kulitnya. Aisyah meriwayatkan bahawa saudaranya, Asma, pernah masuk ke rumah Rasulullah SAW dengan berpakaian tipis sehingga nampak kulitnya. Rasulullah SAW berpaling dan mengatakan: "Hai Asma, sesungguhnya seorang perempuan bila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini sambil ia menunjuk muka dan kedua telapak tangannya.

"Teguran Rasulullah SAW terhadap Asma jelas menunjukkan bahawa pakaian yang jarang tidak memenuhi syarat menutup aurat bagi wanita baligh.

4) Bukan pakaian yang menarik perhatian (pakaian syuhrah).

Apa yang dimaksudkan pakaian untuk bermegah ialah pakaian yang berlainan daripada pakaian orang lain sama ada dari segi warna, fesyen atau potongan sehinggakan menarik perhatian orang lain serta menimbulkan rasa bongkak pada pemakainya. Ibn Umar meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang memakai pakaian bermegah-megah maka Allah Taala akan memakaikannya dengan pakaian yang serupa pada hari kiamat kelak kemudian ia akan dijilat api neraka."

5) Tidak menyerupai pakaian lelaki atau pakaian orang kafir.

Pakaian yang menutup tubuh badan tidak dikira sebagai memenuhi ciri pakaian Islam jika menyerupai pakaian orang kafir. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW seperti diriwayatkan Ibn Abbas : "Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki."

Larangan menyerupai pakaian orang bukan Islam ini atas alasan ia boleh menjatuhkan martabat Islam dan penganutnya.

6) Tidak bertabarruj.

Tabarruj dalam bahasa mudah boleh diertikan sebagai bersolek. Ada juga yang mengatakan tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat/mengetatkannya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Kesimpulannya tabarruj ialah memperlihatkan keelokan, kecantikannya yang sepatutnya wajib ditutup.

Larangan ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku (tabarruj) seperti orang jahiliah dulu (pertama)." (Surah al-Ahzab, ayat 33)

Ayat itu petunjuk kepada isteri Nabi SAW supaya tetap di rumah dan tidak bertabarruj seperti orang jahiliah dulu. Konsep tabarruj jika dilihat dalam kerangka lebih luas meliputi perbuatan wanita mendedahkan aurat, memakai wangian apabila keluar rumah, cara berjalan atau tingkah laku yang menarik perhatian lelaki ajnabi.

Pakaian wanita menutup aurat mestilah memenuhi ciri disebutkan walau di mana mereka berada. Berdasarkan syarat itu juga dapat kita ukur sejauh mana wanita Muslimah sudah menutup aurat atau hanya bertudung saja seperti fenomena di Malaysia apabila ramai bertudung tetapi memakai pakaian tidak menepati syariat. Ia adalah fenomena pemakaian tudung kerana fesyen, ikut-ikutan, paksaan ataupun berdasarkan kejahilan dan bukannya ilmu Islam sebenar.

Oleh : Ustaz Haji Kamal bin Ismail