Thursday, September 17, 2009

MANTAI : DAGING LEMBU SEGAR UNTUK DIJUAL

Daging lembu segar boleh didapati di Surau Al-Hidayah pada hari Jumaat,
17 September 2009, selepas Solat Asar.

Belian Sambil Menderma - RM1 akan dimasukkan ke Tabung Surau.

Sebarang pertanyaan, sila hubungi :
016-5554499 ( En. Arshad )
******************************************************************
Jemputan Ke Majlis Bersahur Beramai-ramai
pada hari Sabtu, 18 September 2009 ( Hari terakhir Puasa )
di Surau Al-Hidayah
jam
5.00 - 5.30 pagi
Hidangan
Nasi putih + Sup Tulang
( Harap dimaklumkan kehadiran anda terlebih dahulu !! )

SELAMAT MENYAMBUT HARI LEBARAN

Hilal Syawwal akan kelihatan bila-bila masa sahaja lagi. Seluruh ummat Islam akan merayakan hari kemenangan setelah menghadapi ujian getir di sepanjang Ramadhan. Gema takbir dan tahmid pastinya akan berkumandang ke udara memecah kesunyian dan keheningan pagi.

Ramai rakan taulan dan jiran yang telah mula meninggalkan rumah masing-masing untuk bertemu ibu bapa yang setia menanti kepulangan anak-anaknya di kampung. Persekitaran BWP akan bertukar sepi, paling tidaknya selama 5 hari atau seminggu.

Dalam kesempatan ini, saya bagi pihak Surau Al-Hidayah serta keluarga ingin mengucapkan Sslamat Hari Raya kepada semua ahli jemaah dengan doa semoga sentiasa mendapat keberkatan dariNya. Sambutlah Aidil Fitri pada tahun ini dengan penuh rasa tawadhuk dan keinsafan.

Akhir kata, semoga muka-muka yang biasa kelihatan di surau di sepanjang Ramadhan akan masih dapat dilihat lagi selepas Syawwal ini..

Tuesday, September 15, 2009

SIAPAKAH LELAKI DAYUS ?

Tulisan ringkas ini akan fokus kepada satu isu terlebih dahulu. Iaitu siapa itu lelaki dayus yang dimaksudkan oleh Nabi SAW yang tidak akan masuk syurga. Nabi SAW bersabda :- Ertinya : Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat (bermakna tiada bantuan dari dikenakan azab) mereka di hari kiamat : Si penderhaka kepada ibu bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki DAYUS" ( Riwayat Ahmad & An-Nasaie: Albani mengesahkannya Sohih : Ghayatul Maram, no 278 )

Dalam sebuah hadith lain pula : Ertinya : Tiga golongan yang telah Allah haramkan baginya Syurga : orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan Si Dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya" ( Riwayat Ahmad )

Malah banyak lagi hadith-hadith yang membawa makna yang hampir dengan dua hadith ini. Secara ringkasnya, apakah dan siapakah lelaki dayus?

ERTI DAYUS

Dayus telah disebutkan dalam beberapa riwayat athar dan hadith yang lain iaitu :-

1) Sabda Nabi : -Ertinya : Dari Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah SAW berkata : " Tiga yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu Si DAYUS, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak" lalu sahabat berkata : Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu DAYUS? , berkata nabi : "IAITU ORANG YANG TIDAK MEMPERDULIKAN SIAPA YANG MASUK BERTEMU DENGAN AHLINYA (ISTERI DAN ANAK-ANAKNYA) - ( Riwayat At-Tabrani ; Majma az-Zawaid, 4/327 dan rawinya adalah thiqat)

Dari hadith di atas, kita dapat memahami bahawa maksud lelaki DAYUS adalah si suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dan ambil endah dengan siapa isteri dan anaknya bersama, bertemu, malah sebahagiannya membiarkan sahaja isterinya dan anak perempuannya dipegang dan dipeluk oleh sebarangan lelaki lain.

2 ) Pernah juga diriwayatkan dalam hadith lain, soalan yang sama dari seorang sahabat yang bertanya tentang siapakah dayus itu ? Jawab Nabi : Iaitu seseorang ( lelaki) yang membiarkan kejahatan ( zina, buka aurat, bergaul bebas ) dilakukan oleh ahlinya ( isteri dan keluarganya)

Penerangan Ulama Tentang Lelaki Dayus

Jika kita melihat tafsiran oleh para ulama berkenaan istilah Dayus, ia adalah seperti berikut :-

Ertinya : "seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya (isteri dan anak-anaknya) (An-Nihayah,2/147 ; Lisan al-Arab, 2/150)

Imam Al-?Aini pula berkata : "Cemburu lawannya dayus" ( Umdatul Qari, 18/228 )

Berkata pula An-Nuhas :Ertinya : cemburu ( iaitu lawan kepada dayus ) adalah seorang lelaki itu melindungi isterinya dan kaum kerabatnya dari ditemui dan dilihat (auratnya) oleh lelaki bukan mahram " (Tuhfatul Ahwazi, 9/357)

Disebut dalam kitab Faidhul Qadir :Ertinya : Seolah-olah takrif dayus itu membawa erti kehinaan (kepada si lelaki) sehingga apabila ia melihat kemungkaran (dilakukan) oleh isteri dan ahli keluarganya ia tidak mengubahnya" ( Faidhul Qadir, 3/327 )

Imam Az-Zahabi pula berkata Ertinya : Dayus adalah sesiapa yang menyangka ( atau mendapat tanda) bahawa isterinya melakukan perkara keji ( seperti zina) maka ia mengabaikannya kerana CINTAnya kepada isterinya , maka tiada kebaikan untuknya dan tanda tiada kecemburuan ( yang diperlukan oleh Islam) dalam dirinya" ( Al-Kabair, 1/62 )

Imam Ibn Qayyim pula berkata Ertinya : Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat (protective) atau kecemburuan ( terhadap ahli keluarga) , dan barangsiapa yang tiada perasaan ini maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya, kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga terjauh dari kejahatan dan perkara keji, tanpanya hati akan mati maka matilah juga sensitiviti anggota ( terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali.

Dayus adalah dosa besar

Ulama Islam juga bersetuju untuk mengkategorikan dayus ini dalam bab dosa besar, sehingga disebutkan dalam satu athar :Ertinya : Allah telah melaknat lelaki dayus ( laknat bermakna ia adalah dosa besar dan kerana itu wajiblah dipisahkan suami itu dari isterinya dan diharamkan bergaul dengannya) (Matalib uli nuha, 5/320 )

Walaupun ia bukanlah satu fatwa yang terpakai secara meluas, tetapi ia cukup untuk menunjukkan betapa tegasnya sebahagian ulama dalam hal kedayusan lelaki ini.

Petikan ini pula menunjukkan lebih dahsyatnya takrifan para ulama tentang erti dayus dan istilah yang hampir dengannya :

Ertinya : Al-Qawwad ( salah satu istilah yang disama ertikan dengan dayus) di sisi umum ulama adalah broker kepada zina" (Manar as-sabil, 2/340 , rawdhatul tolibin, 8/186 )

Imam Az-Zahabi menerangkan lagi berkenaan perihal dayus dengan katanya :-Ertinya : Dayus, iaitu lelaki yang mengetahui perkara keji dilakukan oleh ahlinya dan ia sekadar senyap dan tiada rasa cemburu ( atau ingin bertindak),

Dan termasuk juga ertinya adalah sesiapa yang meletakkan tangannya kepada seorang wanita yang tidak halal baginya dengan syahwat" (Al-kabair, 1/45 )

Cemburu Dituntut Islam & Jangan Marah

Ada isteri yang menyalahkan suami kerana terlalu cemburu, benar.. cemburu buta memang menyusahkan, memang dalam hal suami yang bertanya isteri itu dan ini menyiasat, saya nasihatkan agar isteri janganlah memarahi suami anda yang melakukan tindakan demikian dan jangan juga merasakan kecil hati sambil membuat kesimpulan bahawa suami tidak percaya kepada diri anda. Kerap berlaku, suami akan segera disalah erti sebagai tidak mempunyai kepercayaan' kepada isteri.

Sebenarnya, kita perlu memahami bahawa ia adalah satu tuntutan dalam Islam dan menunjukkan anda sedang memiliki suami yang bertanggungjawab dan sedang subur imannya. Selain itu, bergembiralah sang suami yang memperolehi isteri solehah kerana suami tidak lagi sukar untuk mengelakkan dirinya dari terjerumus dalam lembah kedayusan. Ini kerana tanpa sebarang campur tangan dan nasihat dari sang suami, isteri sudah pandai menjaga aurat, maruah dan dirinya.

Nabi SAW bersabda :Ertinya : "Dari tanda kebahagian anak Adam adalah memperolehi wanita solehah ( isteri dan anak)" ( Riwayat Ahmad, no 1445, 1/168 )

Memang amat beruntung, malangnya tidak mudah memperolehi isteri solehah di zaman kehancuran ini, sebagaimana sukarnya mencari suami yang tidak dayus. Sejak dulu, agak banyak juga email dari pelbagai golongan muda kepada saya menyebut tentang keterlanjuran mereka secara 'ringan' dan 'berat', mereka ingin mengetahui cara bertaubat.

'Ringan-ringan' Sebelum Kahwin

Jika seorang bapa mengetahui 'ringan-ringan' anak dan membiarkannya, ia dayus. Ingin saya tegaskan, seorang wanita dan lelaki yang telah 'ringan-ringan' atau 'terlanjur' sebelum kahwin di ketika bercinta, tanpa taubat yang sangat serius, rumah tangga mereka pasti goyah. Kemungkinan besar apabila telah berumah tangga, si suami atau isteri ini akan terjebak juga dengan 'ringan-ringan' dengan orang lain pula. Hanya dengan taubat nasuha dapat menghalangkan aktiviti mungkar itu dari melepasi alam rumah tangga mereka. Seterusnya, ia akan merebak pula kepada anak-anak mereka, ini kerana benih 'ringan-ringan' dan 'terlanjur' ini akan terus merebak kepada zuriat mereka.

Awas..!!Dalam hal ini, semua suami dan ayah perlu bertindak bagi mengelakkan diri mereka jatuh dalam dayus. Jagalah zuriat anda. Suami juga patut sekali sekala menyemak hand phone isteri, beg isteri dan lain-lain untuk memastikan tiada yang diragui. Mungkin ada isteri yang curang ini dapat menyembunyikan dosanya, tetapi sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan tertangkap jua. Saya tahu, pasti akan ada wanita yang kata."habis, kami ini tak yah check suami kami ke ustaz?"Jawabnya, perlu juga, cuma topik saya sekarang ni sedang mencerita tanggung jawab suami. Maka perlulah saya fokus kepada tugas suami dulu ye.

Cemburu seorang suami dan ayah adalah wajib bagi mereka demi menjaga maruah dan kehormatan isteri dan anak-anaknya. Diriwayatkan bagaimana satu peristiwa di zaman Nabi Ertinya : Berkata Ubadah bin Somit r.a : "Jika aku nampak ada lelaki yang sibuk bersama isteriku, nescaya akan ku pukulnya dengan pedangku", maka disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa'ad tadi, lalu nabi memberi respon : "Adakah kamu kagum dengan sifat cemburu (untuk agama) yang dipunyai oleh Sa'ad ? , Demi Allah, aku lebih kuat cemburu (ambil endah dan benci demi agama) berbandingnya, malah Allah lebih cemburu dariku, kerana kecemburuan Allah itulah maka diharamkan setiap perkara keji yang ternyata dan tersembunyi.. " ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim )

Lihat betapa Allah dan RasulNya inginkan para suami dan ayah mempunyai sifat protective kepada ahli keluarga dari melakukan sebarang perkara keji dan mungkar, khasnya zina.

BILA LELAKI MENJADI DAYUS?

Secara mudahnya cuba kita lihat betapa ramainya lelaki akan menjadi DAYUS apabila :-

1) Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar rumah.

2) Membiarkan isterinya balik lewat dari kerja yang tidak diketahui bersama dengan lelaki apa dan siapa, serta apa yang dibuatnya di pejabat dan siapa yang menghantar.

3) Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuannya dewasanya terlihat (terselak kain) semasa menaiki motor atau apa jua kenderaan sepanjang yang menyebabkan aurat terlihat.

4) Membiarkan anak perempuannya ber'dating' dengan tunangnya atau teman lelaki bukan mahramnya.

5) Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa 'spoting' yang memahami.

6) Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang seksi di luar rumah.

7) Membiarkan anak perempuannya memasuki akademi fantasia, mentor, gang starz dan lain-lain yang sepertinya sehingga mempamerkan kecantikan kepada jutaan manusia bukan mahram.

8) Membiarkan isterinya atau anaknya menjadi pelakon dan berpelukan dengan lelaki lain, kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon nafsu seorang lelaki di hilangkan?. Tidak sekali-sekali.

9) Membiarkan isteri kerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.

10) Membiarkan isteri disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab yang diiktiraf oleh Islam seperti menyelamatkannya dari lemas dan yang sepertinya.

11) Membiarkan isterinya bersalin dengan dibidani oleh doktor lelaki tanpa terdesak dan keperluan yang tiada pilihan.

12) Membawa isteri dan anak perempuan untuk dirawati oleh doktor lelaki sedangkan wujudnya klinik dan hospital yang mempunyai doktor wanita.

13) Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman lelaki sepejabat tanpa sebarang cemburu.

14) Membiarkan isteri kerap berdua-duan dengan pemandu kereta lelaki tanpa sebarang pemerhatian.

Terlalu banyak lagi jika ingin saya coretkan di sini. Kedayusan ini hanya akan sabit kepada lelaki jika semua maksiat yang dilakukan oleh isteri atau anaknya secara terbuka dan diketahui olehnya. Adapun jika berlaku secara sulit, suami tidaklah bertanggungjawab dan tidak sabit 'dayus' kepada dirinya. Mungkin kita akan berkata dalam hati :-" Jika demikian, ramainya lelaki dayus di kelilingku".. Lebih penting adalah kita melihat, adakah kita sendiri tergolong dalam salah satu yang disebut tadi.

Awas wahai lelaki beriman..jangan kita termasuk dalam golongan yang berdosa besar ini. Wahai para isteri dan anak-anak perempuan, jika anda sayangkan suami dan bapa anda, janganlah anda memasukkan mereka dalam kategori DAYUS yang tiada ruang untuk ke syurga Allah SWT. Sayangilah dirimu dan keluargamu. Jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka. Akhirnya, wahai para suami dan ayah, pertahankan agama isteri dan keluargamu walau terpaksa bermatian kerananya. Nabi SAW bersabda : Ertinya : "Barangsiapa yang mati dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid" ( Riwayat Ahmad , Sohih menurut Syeikh Syuaib Arnout)

Thursday, September 10, 2009

MAJLIS KHATAM QUR'AN DAN BERBUKA PUASA

Surau Al-Hidayah akan mengadakan Majlis Khatam Al-Qur'an dan Berbuka Puasa pada Ahad, 13 September 2009 akan datang.

Semua penduduk BWP dan taman-taman sekitar dijemput hadir. Program bermula selepas solat Asar.

Sesiapa yang ingin menyumbang lauk-pauk untuk Majlis Berbuka Puasa, sila hubungi saya atau mana-mana AJK Surau yang berhampiran anda.

Ust Hj. Kamal bin Ismail

JANGAN BIARKAN FADHILAT RAMADHAN BERLALU SIA-SIA


Bulan Ramadhan, di permulaannya adalah Rahmat (Kasih sayang daripada Allah), pertengahannya adalah Maghfirah ( penghapusan dosa), penghujungnya 'itqun Minan Nar (pelepasan/ perlindungan daripada api neraka). Dengan keagungan, kebijaksanaan dan keesaan Allah, bulan yang mulia ini telah dibahagikan kepada 3 fasa. Padanya tertanam beribu hikmah yang tidak mampu digali oleh manusia yang sering "terlena" di bulan Ramadahan.

"Man Jadda Wajada" : "Siapa yang usaha, dialah yang akan dapat". Satu suntikan semangat dan juga boleh jadi sindiran buat ciptaan Allah yang bergelar Manusia. Namun tegas Allah S.W.T dalam kitab suciNya : "..Dan bahwasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya, dan bahwasanya usaha itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya), kemudian akan diberi balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna( An-Najmi : 39-41 ).

Jelas di situ bahawa penilaian Allah S.W.T terhadap amalan hambaNya adalah berdasarkan usahanya bukan hasilnya semata-mata. Kini Fasa Pertama ( RAHMAT ) dan Fasa Kedua ( MAGHFIRAH ) telah pun meninggalkan umat Islam buat sekian kalinya. Bagi umat Islam yang begitu menghargai kehadiran Ramadhan dalam usianya itu, maka saat-saat sebegini amatlah bernilai. Kedatangan Ramadhan bersama buah tangan yang begitu banyak dan berharga ini amatlah dihargai dan mereka akan menggunakan kesempatan yang masih ada lagi itu sebaik mungkin agar tidak menyesal kemudian hari terutama kedatangan Ramadhan akan datang yang belum tentu dapat berjumpa lagi.

Bagi mereka yang kurang berminat atau tidak merasai betapa berharganya Ramadhan maka mereka hanya akan melalui saat-saat perpisahan nanti tanpa merasai sebarang kehilangan sebaliknya lebih banyak memikirkan tentang persiapan hari raya yang bakal menjelang selepas berlalunya Ramadhan. Oleh itu tepuklah dada dan tanyalah diri kita tentang di manakah kedudukan kita dalam melayan kedatangan Ramadhan ini. Allah yang menganugerahkan Ramadhan tidak pernah menanggung kerugian jika umat Islam gagal melayan dengan baik Ramadhan yang dikirimkan itu. Ramadhan sendiri tidak ditimpa kekurangan jika umat Islam tidak mengendahkan kedatangannya. Sebaliknya umat Islam yang terpaksa menanggung kerugian yang begitu besar akibat gagal merebut peluang dan tawaran keemasan yang dianugerahkan oleh Allah itu.

Jangan biarkan diri kita termasuk golongan yang mensia-siakan kedatangan Ramadhan sebaliknya jadikanlah diri kita sebagai umat yang tidak pernah rasa penat dan jemu dalam melayan Ramadhan dari awal hingga ia berlalu pergi. Jadikanlah Ramadhan seumpama tetamu istimewa yang dilayan dengan begitu baik dari permulaan dia datang sehinggalah dia meninggalkan tempat kita serta dia merasa begitu puashati dengan layanan yang diberi.

Manusia sering berasa runsing dan bimbang jika tidak mempunyai bekalan yang mencukupi berbentuk kewangan atau barangan terutama dalam menempuh perjalanan yang agak jauh. Sebaliknya umat manusia sering lupa malah tidak merasai sebarang kebimbangan jika dia tidak mempunyai bekalan yang mencukupi untuk pergi ke alam yang lebih jauh iaitu negeri akhirat bagi bertemu Allah Tuhan Penciptanya. Manusia merasa lega dan sentiasa merebut peluang yang ada apabila ada pihak yang menawarkan sebarang bentuk bantuan atau tunjuk ajar bagi melengkapkan bekalan untuk sesuatu perjalanan. Sedangkan manusia sering mengenepikan anugerah berharga daripada Allah yang mendatangkan Ramadhan yang bermatlamat melahirkan umat bertaqwa di mana kita semua tahu bahawa sebaik-baik bekalan untuk bertemu Allah di akhirat nanti ialah taqwa.

Jika manusia yang melepaskan sebarang bentuk bantuan dan tunjuk ajar untuk kemudahan dan kesenangannya sering digelar sebagai manusia yang tidak matang dalam berfikir dan kurang bijak dalam bertindak maka manusia yang tidak mahu menggunakan peluang yang dianugerahkan oleh Allah untuk kebaikannya sendiri adalah manusia yang tidak berakal dan berada dalam kerugian yang nyata.

Ramai umat manusia yang hanya nampak keuntungan yang dekat menyebabkan mereka hidup dalam kesesatan yang ditempah oleh mereka sendiri. Tidak ramai manusia yang lembut hatinya sehingga lebih mementingkan kehidupan yang abadi di akhirat tanpa disesatkan oleh godaan dunia di mana mereka lebih suka pada keuntungan yang jauh dan berkekalan iaitu nikmat akhirat daripada hanyut dengan nikmat yang cepat tetapi berbentuk sementara dan bakal ditinggalkan apabila nyawa bercerai daripada jasad.

Tanyalah diri kita yang sedang melalui hari-hari terakhir daripada tarbiah Ramadhan sama ada ia mampu mengubah kita untuk lahir sebagai umat bertaqwa atau terus berada diparas iman yang lama.

Tanda kasih dan hormat kita pada seseorang bukan hanya terletak pada percakapan sebaliknya mesti disertakan dengan tindakan melalui layanan dan juga rasa tanggungjawab kita di dalam menunaikan haknya. Begitulah juga dengan rasa sayang dan hormatnya kita pada Ramadhan tidak cukup sekadar sebutan di mulut sedangkan kita tidak menunaikan hak kita terhadap Ramadhan dalam menghidupkannya dengan amal ibadat serta menggunakan merebut kelebihannya dari awal hingga akhir.

Apakah perasaan seseorang yang bertandang ke rumah kita dengan membawa buah tangan yang banyak sedangkan kita hanya melayannya secara acuh tidak acuh atau hanya melayannya dengan penuh mesra pada awal kedatangannya sahaja sedangkan kita membiarkannya pergi tanpa sebarang layanan yang sepatutnya. Begitulah juga dengan layanan terhadap Ramadhan sama ada disambut secara sambil lewa atau hanya meriah pada awal kedatangannya sahaja sedangkan setelah masuk hari-hari terakhir maka ia dibiarkan berlalu pergi tanpa sebarang usaha untuk meraikannya sebagaimana hari datangnya.

Antara hikmat di mana Allah meletakkan Lailatul Qadar yang kelebihannya melebihi seribu bulan yang lain ialah bagi memastikan umat Islam terus menghidupkan Ramadhan dari awal hingga akhir malah malam-malam terakhir lebih dihidupkan lagi. Apa yang dilakukan oleh kebanyakan umat Islam ialah sebaliknya di mana malam-malam terakhir kurang dihiraukan kerana masing-masing sibuk dengan persiapan hari raya. Bijakkah kita jika mensia-siakan kelebihan Lailatul Qadar kerana agak sibuk menyiapkan persiapan hari raya yang kelebihannya tidaklah sebesar Lailatul Qadar. Jangan jadikan diri kita seperti manusia yang sanggup menjual akhirat dengan dunia, melebihkan nafsu daripada wahyu, membesarkan dosa daripada pahala. Gunakanlah saat-saat penting yang penuh dengan kelebihan ini untuk mendekatkan diri kita dengan Allah sehingga kita menjadi manusia yang bertaqwa yang diredhai oleh Allah di dunia dan akhirat.

Wednesday, September 9, 2009

PENGISIAN DI 10 MALAM TERAKHIR

Malam ini bermulalah malam 10 terakhir dalam bulan Ramadhan. Kegembiraan 'menghantar pulang' bulan Ramadhan dan 'membuka tirai' bulan Syawwal telah mulai terasa. Kanak-kanak terutamanya telah rancak dengan permainan mercun dan bunga api hinggakan kadang-kadang turut mengganggu solat terawih para jemaah di surau. Mujurlah tiada yang berpenyakit lemah jantung.

Bazar-bazar Ramadhan semakin ramai dikunjungi, tidak kira siang mahu pun malam ( tetapi lebih tersa meriahnya pada waktu malam ). Para peniaga saling bersahut-sahutan menawarkan harga yang rendah dan yang lainnya riuh-rendah mempromosikan barangan jualan masing-masing.

Kedai-kedai kain/pakaian pula terpaksa dilewatkan waktu akhir perniagaannya. Tukang-tukang jahit telah mula menutup pintu rumah/kedai kerana tidak mahu lagi menerima tempahan. Begitulah juga pakar-pakar kuih raya..siang malam bertungkus-lumus di dapur dengan anak-anak untuk menyiapkan tempahan kuih-muih.

Lagu-lagu raya sama ada dari corong-corong radio mahu pun televisyen juga turut dimainkan. Tidak cukup dengan lagu-lagu raya dari radio dan tv, ada pula dijual VCD Karoake Lagu-lagu Raya untuk hiburan seisi keluarga.

Demikianlah gambaran awal keseronokan kita nak menyambut hari raya..

Apabila dialihkan pandangan ke arah surau masjid, pasti kita akan dapati suatu perbezaan yang cukup jelas. Masjid surau tidak lagi semeriah awal dan pertengahan Ramadhan dahulu. Jumlah yang semakin menyusut menyebabkan pak imam dan tok bilal pun tak ada semangat lagi nak berterawih..silap-silap haribulan, pak imam dan tok bilal pun dah tak nak datang surau lagi..

Saya tak berniat nak kondemkan orang-orang yang dah mula nampak nak menjauhkan diri dari surau ni..Kita berbaik sangka bahawa mereka ini dah tak datang surau kerana beriktikaf di masjid ( walhal di surau pun apa salahnya ?) atau dah balik kampung..Namun, apa yang ingin saya fokuskan ialah kefahaman kita mengenai kelebihan 10 malam terakhir dalam Ramadhan..sepatutnya pada malam-malam 10 terakhir sebeginilah kita menggandakan lagi amal ibadah kita, memohon istighfar dengan seikhlas-ikhlasnya serta berharap semoga diketemukan Allah dengan malam Al-Qadar. Kurangkanlah tidur serta perbanyakkanlah solat malam, zikrullah, membaca Qur'an dan seumpamanya lagi..Korbankan masa tidur kita selama 10 malam daripada 365 malam yang diberikan Allah kepada kita..

Insya'Allah, pihak surau akan berusaha memastikan surau kita sentiasa dibuka di sepanjang 10 malam terakhir ini bagi memberi peluang kepada semua jemaah yang ingin datang untuk beriktikaf dan beramal ibadah ..

Sekian, Selamat Beriktikaf !!

Tuesday, September 8, 2009

SELAMAT MENDUDUKI UPSR 2009

Bagi pihak surau, saya ingin mengucapkan Selamat Menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) kepada semua anak BWP tidak kira di mana sahaja anda bersekolah. Pihak surau sentiasa mendoakan kejayaan anda dan buktinya, malam tadi, sebelum solat terawih, telah diadakan solat hajat khas untuk anak-anak yang akan menduduki UPSR yang bermula pada hari ini ( 8 September 2009 ).

Berjaya atau gagal adalah takdir daripada ALlah SWT selain usaha kita yang tidak pernah mengenal jemu. Tidak semua yang berusaha itu berjaya tapi hukum akalnya mengatakan "Sesiapa yang berusaha dia pasti akan berjaya".

Selamat Menduduki UPSR !!

Monday, September 7, 2009

MENJELANGNYA AKHIR RAMADHAN

Ramadhan kini telah menghampiri penghujung fasa ke-2, iaitu fasa 10 hari pertengahan. Beberapa hari lagi akan bermulalah fasa ke-3 yang merupakan fasa terakhir dimana terdapat padanya satu malam yang amat istimewa iaitu Malam Al-Qadar. Beribadah pada malam tersebut pahalanya sama seperti beribadah selama lebih 83 tahun.

Tiada seorang pun yang dapat meneka dengan tepat bilakah malam Al-Qadar tersebut. Ianya adalah satu rahsia daripada rahsia-rahsia ALlah SWT. Yang pasti, seperti yang dijelaskan oleh baginda Rasulullah SAW, malam Al-Qadar itu terdapat di dalam 10 malam yang terakhir di dalam Ramadhan.

Mengapa ALlah sengaja merahsiakan malam tersebut? Antara hikmahnya ialah supaya kita sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan malam istimewa itu dengan membanyakkan amalan dan ibadah seperti bersolat sunat, membaca Qur'an, berzikir dan seumpamanya. Nabi SAW sendiri sentiasa bermujahadah pada 10 malam terakhir dalam Ramadhan dengan beriktikaf dan meninggalkan seketiduran dengan isteri-isteri baginda.

Menurut satu riwayat, Nabi SAW amat sedih apabila berakhirnya Ramadhan. Perpisahan baginda dengan Ramadhan seumpama perpisahan sepasang kekasih yang saling merindui antara satu sama lain.

Amat jauh sekali jika dibandingkan dengan ummatnya hari ini. Kita hari ini, sering menghitung hari, berapa lama lagikah nak berakhirnya Ramadhan..berakhirnya Ramadhan kita sambut dengan begitu gembira sekali. Memang kita disuruh bergembira kerana esok kita akan menyambut Hari Kemenangan..Tetapi dalam kita bergembira menyambut 1 Syawwal, adakah kita juga bersedih dengan perginya 30 Ramadhan? Apakah kita yakin bahawa Ramadhan akan datang masih ada peluang untuk kita merasainya? Apakah tidak mungkin Ramadhan tahun ini adalah Ramadhan yang terakhir buat diri kita?

Biasanya 10 hari terakhir, bilangan jemaah terawih akan mulai susut. Seorang demi seorang tiada lagi kelihatan di surau atau di masjid. Golongan ibu bapa tidak lagi endahkan Lailatul Qadar kerana tarikan yang lebih menarik dari Lailatul Bazar. Ibu-ibu pula mula sibuk di dapur memasak kuih untuk hidangan di pagi raya nanti..selain memaksa atau memujuk si ayah untuk menukarkan langsir, permaidani dan kusyen-kusyen baru..akhirnya, berterawihlah di Nilai 3 atau di mana-mana shopping complex pilihan hati..

Saya bukannya nak mengata kepada sesiapa. Dahulu, saya pun macam tu juga..kita lebih utamakan keseronokan dunia daripada ganjaran akhirat yang dijanjikan Tuhan. Bukannya tidak boleh kita berseronok dengan nikmat dunia, tapi utamakanlah akhirat kerana di sanalah tempat abadinya kehidupan kita nanti...

Selamat Beriktikaf..dan Selamat Mencari Keredhaan ALLah !