Friday, July 9, 2010

KELAS TUSYEN PERCUMA

Berita baik untuk anak-anak murid tahun 4 dan 5 !

Biro Dakwah dan Tarbiyyah, Surau Al-Hidayah akan menganjurkan Kelas Tusyen Percuma bermula 10 Julai 2010 ( Sabtu ) ini. Keutamaan adalah untuk murid-murid yang tidak berkemampuan untuk mengikuti mana-mana kelas tusyen berbayar.

Masa kelas : 10.00 pagi hingga 12 tengah hari.

Maklumat lanjut, sila hubungi Ust. Hj. Kamal di 017-6150169.

Monday, July 5, 2010

HARAMKAN JUDI BOLA SEPAK ! YANG LAIN TU, BAGAIMANA ?

Tahniah dan terima kasih kepada YAB Dato' Seri Perdana Menteri Malaysia kerana akhirnya tunduk juga kepada tuntutan suara rakyat di dalam isu pengharaman judi bola sepak piala dunia. Walaupun alasan pembatalan lesen judi tersebut agak menyakitkan hati dan telinga rakyat, terutamanya mereka yang luas pengetahuannya di dalam bidang agama, sekurang-kurangnya rakyat tidak didedahkan dengan galakan berjudi.

Kita perlu akur, bahawa judi tetap akan ada meskipun kerajaan telah mengharamkannya (sebelumnya telah dihalalkan). Sebab itu, bila kita baca akhbar, ada sahaja berita tentang tangkapan dan serbuan ke premis-premis yang menawarkan judi (terutamanya judi bola sepak) ini. Bagi mereka yang dah menjadi tahi judi, datanglah apa jua bentuk arahan pengharaman, tetap dengan judinya juga.

Jom kita tanya YAB Dato' Seri PM, judi yang lain-lain tu macamana pula? Judi ekor yang bersepah di seluruh pelusuk negara tu, tak nak diharamkan ke? Takkan judi bola sepak piala dunia sahaja yang haram hukumnya? Kita amat berharap, agar pihak pemerintah dapat bertindak mengharamkan judi ini secara menyeluruh-bukannya secara terpilih atau apabila setiap kali menerima tentangan suara pakatan rakyat..

Friday, July 2, 2010

ISTIDRAJ UNTUK ULAMA'

Pernah dengar perkataan 'Istidraj'? Istidraj bermaksud kelebihan@keistimewaan yang ALlah SWT berikan kepada seseorang hambaNya tetapi bukan dengan tujuan untuk memuliakan hamba tersebut, bahkan sebaliknya adalah sebagai satu bentuk penghinaan yang halus lagi tersembunyi.

Contoh istidraj ialah seperti seseorang yang diberikan harta kemewahan, lengkap serba-serbi, ada kereta besar, pakaian cantik dan seumpamanya, tetapi semua itu tidak dapat digunakan untuk dijadikan penyalur kepada ibadah kita kepada ALlah.

Ada orang kata, inilah salah satu tanda kita dah mula kufur nikmat! Bagaimana ALlah SWT boleh tambahkan lagi nikmatNya kepada orang yang sering mengkufurinya? Bukankah ALlah telah berpesan bahawa : Sekiranya kamu kufur akan nikmatKu, ingatlah bahawasanya azabKu amatlah pedih!

Perhatikan sahaja orang-orang kaya (yang tak sedar diri) di sekeliling kita..mereka diberikan harta yang berlimpah-ruah, kekayaan mereka bertambah dari sehari ke sehari, sedangkan mereka ini tak pernah pun sembah ALlah, tak pernah pun datang berkunjung ke rumah ALlah, bagaimana ini boleh berlaku?

Baiklah..seperti yang saya nyatakan di awal perenggan pertama di atas, istidraj ialah pemberian ALLah untuk menghina hambaNya, bukan untuk memuliakan. Perbandingan ringkas saya ialah ayam daging yang dibela di reban. Saban hari diberi makan, suntikan ubat dan vaksin, penjagaan yang begitu rapi sehinggalah ayam-ayam daging ini memboyot dan sihat-sihat belaka. Cukup masanya, mereka pun dibawa naik lori..Naik lori tu, nak ke mana ? Lawatan sambil belajar ke ? Tidak..jawabnya ialah mereka naik lori sebab nak dibawa ke tempat penyembelihan.

Lebih kuranglah maksud perbandingan saya di atas tu dengan golongan kaya rayawan yang sampai hari ni, masih tak nampak-nampak mukanya di surau masjid. Harta kekayaan pemberian ALlah itu adalah sebagai makanan yang disogokkan supaya bila tubuh badan dah membesar, berbaloi amat sangatlah ianya dibakar di dalam api neraka kelak..

Itu contoh istidraj dari sudut harta kekayaan. Dari sudut ilmu pengetahuan pun tidak dapat lari dari ujian istidraj ini.

Ramai orang alim (ulama') yang terjatuh dalam perangkap istidraj. Mereka banyak ilmu, banyak pengetahuan tentang hukum-hakam tetapi malangnya mereka sendiri yang banyak melakukan kesalahan dan maksiat kepada ALLah SWT. Dengan kelebihan ilmu yang ada, ditambah pula dengan sedikit kebolehan berbicara, kita gunakan ilmu kita untuk memburukkan orang lain, menghukum dengan pelbagai gelaran dan menyebar-luaskan keaiban orang ramai dengan alasan ianya adalah untuk menegakkan kebenaran.

Mungkin pada sisi kita, perbuatan seumpama itu adalah satu kebajikan yang akan diberikan pahala, tetapi bagaimana sekiranya di sisi ALlah, perbuatan kita itu adalah sebesar-besar kejahatan yang bakal diberikan dosa serta laknat kutukan daripadaNya?

Saya teringat maksud pesanan Junjungan Besar kita : "Sesiapa yang mencari ilmu dengan tujuan untuk memperlekehkan orang lain, merendah-rendahkan orang lain, mengaibkan orang lain serta dengan tujuan konon-konon orang akan kita kita ni hebat, maka dia akan mendapat laknat serta kutukan daripada ALLah SWT."

Saya sentiasa memperingatkan diri ini, agar jangan apabila kita dah terkenal, dipanggil berceramah situ-sini, kita pun mulalah lupa diri. Tambah pula apabila setiap kali selesai berkuliah atau berceramah, ada yang memuji : "Waah..hebat betul la ceramah ustaz tadi tu..!"

Begitulah cara iblis menyesatkan para ulama'..justeru, sentiasalah mohon perlindungan ALlah daripada iblis yang terlaknat ini !

Thursday, July 1, 2010

PIALA AKHIRAT BILA PULA ?

Saya bukanlah seorang kaki bola. Sepanjang berlangsungnya bola sepak piala dunia, saya tak pernah pun menonton rancangan perlawanan ( live atau replay ) sehingga tamat perlawanan. Saya hanya lebih suka menonton aksi apabila bola menerjah gawang gol sahaja. Saya tak kuasa nak berjaga malam semata-mata kerana nak tengok bola. Syukurlah ALlah SWT tak jadikan saya salah seorang hantu bola.

Tidak lama lagi bola sepak piala dunia akan berakhir. Pasukan negara mana yang jadi juara nampaknya dah dapat diberikan bayangan sedikit demi sedikit. Di mana-mana sahaja, orang ramai akan bercakap pasal bola sepak piala dunia ni..hatta anak murid saya kat sekolah pun ada yang bertekak menyatakan sokongan kepada pasukan favourite masing-masing.

Itu kisah piala dunia.. Bagaimana dengan kisah Piala Akhirat pula ? Takkan kita tak sanggup bersekang mata untuk merebut piala akhirat ? Kalau boleh bangkit seawal jam 2.30 pagi untuk menonton bola sepak piala dunia, takkan bila tiba time piala akhirat, kita tak mampu kot? Sekadar bangkit dan solat 2 rakaat.. kira-kira 10 minit la katakan..mengapa kita tidak mampu? Jawapan saya ialah : Piala Dunia lebih baik daripada Piala Akhirat !!

Nampak jelas sangat betapa bodohnya kita ni.. terutama kaki bola atau peminat bola sepak piala dunia yang sanggup bangkit awal-awal pagi tapi tak mampu nak sujud di hadapan Tuhan untuk sepuluh minit dalam setiap malam ?

Bila dikatakan bodoh, terus melenting..abih tu ? ada lagi ke istilah lain yang lebih sesuai dan serasi dengan golongan ini ? Orang kampung saya kata : Bengong !

Wednesday, June 30, 2010

RINTIHAN SURAU MASJID DI BULAN RAJAB

Alhamdulillah..kita kini sedang berada di dalam bulan Rajab, bulan yang turut dikenali dengan gelaran 'Bulan ALlah'. Bulan yang masyhur dengan peristiwa besar yang pernah berlaku di dalam hayat junjungan kita, Nabi Muhammad SAW - iaitu peristiwa Isra' Wal Mi;raj. Di dalam keajaiban peristiwa tersebut, terdapat banyak lagi keajaibannya. Ringkas kata, ajaib di dalam ajaib !!

Memanglah akal manusia tidak dapat sama sekali menerima keajaiban seumpama ini. Bayangkanlah, seorang manusia berangkat dari Makkah ke Palestin lalu naik ke langit ( Bukan langit pertama, bahkan ke Sidratul Muntaha ) cuma mengambil masa separuh malam sahaja. Siapa yang akan percaya? Pastinya semua akan kata : " Ini cerita gila, cerita khayalan atau cuma rekaan si pembawa berita sahaja !"

Tapi, bertambah ajaibnya lagi apabila tiba-tiba, di dalam ribuan manusia yang tidak percaya, ada seorang manusia yang membenarkan cerita tersebut. SubhaanaLlaah.. Itulah hasil daripada tahap keimanan yang tidak perlu dipertikaikan lagi. Iman seorang sahabat bergelar Abu Bakar, mendapat jolokan sebagai As-Siddiq, imannya tidak dapat ditandingi oleh himpunan iman lain-lain manusia yang sezaman dengannya.

Dalam bulan ini, setiap masjid dan surau akan berebut-rebut mendapatkan tenaga-tenaga pengajar untuk dijemput bagi menyampaikan kuliah khas sempena Isra' Wal Mi'raj. Maka, tersenyum lebarlah para ustaz kerana dapatlah sedikit belanja tambahan. Rezeki seorang ustaz la katakan..

Pada waktu itu, maka penuhlah surau masjid dengan kehadiran warga kampung, taman atau bandar. Yang tak pernah nampak batang hidung pun, tiba-tiba terjongol batang hidungnya. Alhamdulillah..ingatkan dah tak nak datang selama-lamanya dah.. Ketika itu, bergegak-gempitalah surau masjid dengan bunyi dentuman kuali, periuk belanga dan pinggan-mangkuk diiringi suara-suara gelak kegembiraan kerana dapat bertemu muka dengan rakan dan jiran - sama-sama bergotong-royong menyediakan makan malam. Kanak-kanak pula, tak usah ceritalah..riuh sama seperti malam tujuh likur nak menyambut raya..berkejar ke sana ke sini hinggakan tok siak surau masjid dah tak dapat nak buat apa-apa lagi. Akhirnya, terpaksalah si ustaz berceramah di dalam kebingitan suara sang kanak-kanak ini..

Selesai majlis ceramah, tarik nafas legalah sekalian AJK surau masjid. Masing-masing dok pakat ucap tahniah belaka, kerana berjaya mengadakan majlis ceramah yang cukup ramai bilangan yang hadir.

Malam besoknya pula ? Surau masjid tentu akan menangis kembali..di manakah manusia malam semalam yang begitu ramai, tetapi tiba-tiba malam ini hilang meninggalkan cuma 2 -3 orang yang masih setia? AJK surau masjid pun dah tak kelihatan lagi..

Kalaulah kita dapat mendengar rintihan hiba surau kita ini..

Tuesday, June 29, 2010

KULIAH UST NASARUDDIN ALI DI SURAU AL-HIDAYAH

Assalamualaikum w.m;

Saya tidak berhasrat untuk mengulas isu Al-Fadhil Ust Nasarudin Ali dan tulisan-tulisan di dalam blog Al-Fadhil Ustaz Hishamuddin Mansor. Meskipun ramai sahabat yang bertanyakan pandangan saya, jawapan saya ialah : Diam adalah lebih baik !

Zaman sekarang, seperti kata Nabi SAW adalah zaman yang penuh dengan fitnah dan ujian. Manusia semakin hari semakin bergerak menuju ke arah kejahatan. Tidak kira mereka ini ulama' mahupun juhala'. Kejahatan ulama' tidaklah sama sekali serupa seperti kejahatan juhala' kerana setiap ulama' yang melakukan seseuatu kejahatan mempunyai dalil dan nas yang tersendiri untuk menghalalkan kejahatannya. Maka, sewajarnya kita perlu amat berhati-hati dan berwaspada dengan kejahatan mereka ini.

Apabila berlaku sesuatu tuduh-menuduh atau fitnah-memfitnah, kita jangan cepat melatah lalu mengiyakan apa sahaja yang orang kata. Islam mengajar kita supaya hendaklah kita siasat perkara tersebut terlebih dahulu dan jangan menelannya secara bulat-bulat. Orang yang menyampaikan berita atau menolong memanjangkan berita itu pula, hendaklah dia bertanggungjawab dengan kebenaran berita tersebut serta sanggup bersedia untuk memikul dosa penipuannya sekiranya dia adalah pembohong. Pembohong yang bersumpah atas nama ALlah SWT semata-mata untuk menegakkan kebohongannya, maka bertambah lipat gandalah dosanya -dosa sesama manusia dan dosa kepada ALlah.

Malam semalam, saya ke Masjid Sendeng mengikuti kuliah mingguan Ust Nasaruddin. Tujuan saya ialah untuk mempelawa beliau sebagai salah seorang tenaga pengajar atau pengkuliah di Surau Al-Hidayah, lebih tepat lagi supaya beliau dapat mengisi malam kuliah saya yang akan saya kosongkan tidak lama lagi. Alhamdulillah, Ust Nasaruddin akan meneliti jadual kuliah beliau dan akan menghubungi saya tidak lama lagi.

Sunday, June 13, 2010

KEM TUNAS SURAU SIRI 2

Biro Dakwah dan Pendidikan, Surau Al-Hidayah, BWP akan menganjurkan Kem Tunas Surau Siri 2 sepertimana butiran berikut :

Tarikh : 18-19 Jun 2010 ( Jumaat - Sabtu )
Tempat : Hutan Lipur Ulu Bendul, Kuala Pilah.

Jumlah Penyertaan : 40 orang sahaja ( anak-anak lelaki berusia 8-12 tahun)
Bayaran : RM10 untuk Tunas Surau yang telah berdaftar dan RM30 bagi BUKAN Tunas Surau.

Maklumat lanjut, sila hubungi Ust Kamal atau datang je terus ke surau..dapat lah solat jemaah sama-sama.

Monday, April 19, 2010

RESPON SYOR PENAMBAH-BAIKAN SURAU

Baru-baru ini, saya ada menerima satu emel daripada salah seorang ahli jemaah surau. Beliau bertanyakan saya mengenai keadaan surau kita yang semakin hari semakin malap dan tidak seperti tahun 2009 yang lalu. Kata pengirim emel tersebut, pada 2009, surau kita banyak mengendalikan aktiviti sama ada dalaman mahupun luaran.

Disamping itu juga, beliau memberikan beberapa syor untuk menambah-baikkan lagi sistem pengurusan surau dan pemantapan program pengimarahannya (salinan emel tersebut telah saya tampal pada papan putih di surau tetapi telah dikoyakkan oleh tangan-tangan yang tidak dapat menerima teguran membina).

Selaku Imam 1 di surau ini, saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pengirim emel tersebut. Pihak surau sentiasa terbuka untuk menerima apa sahaja cadangan, komen dan nasihat daripada semua jemaah. Inilah konsep "Addin An-Nasihah" dan "At-Ta'awun 'Alal Birr Wa Taqwa"..

Saya serahkan semua cadangan yang diterima kepada Setiausaha Surau, Cikgu Hussin Yaakop, yang bertindak sebagai jurucakap dan 'orang penting' surau. Saya tidak dapat bertindak sendirian, kerana apa sahaja keputusan yang hendak dilakukan, ia mestilah dilakukan di dalam mesyuarat JK Surau. Cuma malangnya, mesyuarat JK Surau yang dicadangkan akan diadakan sebulan sekali, sampai hari ini masih tidak ada lagi.

Saya teringat satu kata-kata : Mati hidupnya sesebuah surau itu banyak kebergantungannya kepada keaktifan setiausahanya. Saya tak tahu nak ulas, cuma saya berharap setiausaha kita akan dapat memainkan peranan yang lebih aktif lagi. Kita tahu dengan kesibukan tugasan masing-masing, tapi janganlah menjadikan alasan sibuk untuk tidak mahu bekerja atau menjalankan kewajipan.

Wallaahu A'lam!

KURSUS IMAM DAN BILAL

Dimaklumkan bahawa Biro Dakwah dan Tarbiyyah Surau Al-Hidayah dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan akan menganjurkan Kursus Imam dan Bilal pada (insya'ALlah) akhir bulan April ini.

Sehubungan itu, semua yang berminat untuk mendalami ilmu "keimaman dan kebilalan" ini, dijemput hadir. Bayaran penyertaan : Percuma, tetapi sumbangan ikhlas amat dialu-alukan.

Ust. Haji Kamal,
Imam 1,
Surau Al-Hidayah Bandar Warisan Puteri.

Wednesday, March 3, 2010

PERKHEMAHAN IBADAT SIRI 2/ 2010

Assalamualaikum w.m;

Untuk makluman semua pengunjung, terutamanya yang menetap di BWP atau kawasan persekitaran, Biro Tarbiyyah Surau Al-Hidayah akan menganjurkan satu lagi perkhemahan ibadat khas untuk anak-anak yang berusia antara 8-12 tahun, pada 13-15 Mac 2010 (Sabtu-Isnin) bertempat di perkarangan Surau Al-Hidayah, BWP.

Perkhemahan ini adalah kesinambungan daripada perkhemahan siri 1 yang pernah diadakan pada pertengahan Jun 2009 yang lalu.

Menurut pengerusi Biro Tarbiyyah, Ustaz Hj. Kamal bin Ismail, penempatan peserta program perkhemahan kali ini terbahagi kepada 2 pilihan, iaitu penginapan di dalam khemah (khemah milik peserta sendiri) dan penginapan yang disediakan oleh penganjur, iaitu sebuah rumah 2 tingkat yang DISEWA KHAS berhampiran (kira-kira 100 meter ) dari surau.

Bayaran :
Bagi peserta yang memilih untuk berkhemah, bayaran yang dikenakan ialah sebanyak RM 40 sahaja, manakala RM50 bagi penginapan di rumah sewa.

Tarikh tutup pendaftaran ialah pada 10 Mac 2010. Sebarang pendaftaran selepas tarikh tutup tidak akan dilayan.

Selama tempoh perkhemahan tersebut, peserta akan didedahkan dengan pelbagai bentuk pengisian antaranya ceramah motivasi, bengkel pembentukan peribadi diri muslim, amali solat, qiamullail, tasmik Al-Qur'an, aktiviti kemasyarakatan dan lain-lain lagi.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, sila hubungi Ustaz Hj. Kamal di talian 017-6150169. Sumbangan daripada orang ramai untuk menjayakan program ini turut dialu-alukan.