Monday, June 8, 2009

ALANGKAH SUKARNYA MEMBUAT KEBAJIKAN..


Tiba sahaja di rumah pada jam 3.45 petang tadi (setelah pergi memunggah perabut sumbangan Encik Ismail - 383 Puteri Anggun kepada surau Al-Hidayah), saya menerima sepucuk surat atas nama Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan tertulis dengan mesin taip di penjuru atas sebelah kirinya 'URUSAN SERI PADUKA BAGINDA'. Tanggapan pertama sebelum membukanya, ini adalah surat tak baik isi kandungannya.. Tepat sekali.. satu salinan surat MAKLUMAN MEMULAKAN KAWALAN KESELAMATAN BERBAYAR bertarikh 02 Jun 2009 yang diedarkan kepada semua penduduk Puteri Emas, Cahaya dan Anggun telah dikembalikan semula kepada saya melalui pos. Satu salinan surat tersebut ditujukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Saya tidak tahu siapa yang mengirim surat tersebut, tetapi tuan-tuan terutamanya penghuni di 3 Puteri ini tentu ada yang dah tahu..sebab saya yakin pengirimnya bukan penduduk Puteri Ayu, Bestari, Dahlia mahu pun Delima.

Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada si pengirim surat ini. Amarah tuan terhadap saya rupanya masih belum berkesudahan..atas apa motif pun, saya dapat menerima pada sebarang masa segala nasihat, pandangan dan tunjuk ajar dari tuan. Saya bersedia bila-bila masa untuk kita adakan sebarang rundingan dan perbincangan. Saya tahu dan saya mengaku, saya masih mentah dalam soal memimpin masyarakat..saya pun tak ada hasrat langsung nak jadi pemimpin orang-orang di sini. Apa yang saya buat, adalah atas kerelaan dan sebagai nak membalas jasa baik rakan-rakan yang sekian lama mengadakan kawalan di sekitar Puteri Emas khasnya, ketika saya ditugaskan mengajar di Gua Musang kira-kira 2 tahun yang lalu. Selama tempoh saya mengajar di Gua Musang, saya maklum bahawa rakan-rakan di sini ada menjalankan kawalan Rukun Tetangga pada sepanjang malam. Saya rasa amat lega kerana (insya'Allah) anak isteri saya di rumah tidaklah berada dalam ketakutan. Dalam masa yang sama, saya rasa amat kesal kerana tidak dapat menyertai mereka menjalankan kawalan malam..Oleh sebab itulah, saya dan beberapa rakan di sini, setelah melalui beberapa perjumpaan dengan sebahagian besar penduduk, bersetuju untuk mengupah beberapa orang pengawal bagi menggantikan kawalan sukarela ini. Pada awalnya, saya secara sukarela menawarkan diri untuk menjalankan survey mendapatkan persetujuan daripada penghuni 3 Puteri di sini.

Dalam perjumpaan terakhir bertarikh 25 Mei 2009, diadakan pelantikan AJK Kebajikan dan Keselamatan. Saya sedaya upaya cuba menolak daripada dilantik sebagai pengerusi memandangkan saya juga sibuk dengan tugasan sebagai imam I di Surau Al-Hidayah. Namun demikian, majoriti ahli yang hadir pada malam tersebut meminta saya menjadi pengerusi dan diberi kepercayaan untuk menjayakan Program Kawalan Keselamatan Berbayar. Akhirnya, saya akur dengan permintaan mereka.

Kepada tuan si pengirim surat tersebut, tonjolkanlah diri tuan supaya kita dapat bersemuka, berbincang cara baik dan berhemah. Lupakanlah soal perselisihan politik (sekiranya ada) dan marilah kita sama-sama berusaha mencari jalan ke arah keselesaan hidup kita dan rakan-rakan yang lain di persekitaran ini. Cara tuan bertindak sebegini sebenarnya menambahkan kehuru-haraan di kalangan kita dan secara tidak langsung membangkitkan kebencian yang membuak-buak di hati majoriti penghuni di sini terhadap tuan. Mungkin tidak lama lagi, tuan akan dikutuk, dikeji bahkan mungkin akan disumpah-seranah oleh mereka. Tergamakkah tuan menerima semua itu ? Bolehkah tuan tidur setiap malam dalam keadaan selesa? Cuba bayangkan.. tuan mungkin dapat tidur dengan dengkuran yang cukup melenakan..tetapi dalam masa yang sama para malaikat sentiasa mengutuk dan melaknat tuan di sepanjang malam hatta ke pagi hari serta mengaminkan doa-doa kutukan manusia lain ke atas tuan.. Apa tuan nak pilih cara hidup sedemikiankah ?

Saya yakin tuan adalah di antara beberapa orang penduduk yang tidak bersetuju dengan program Kawalan Keselamatan Berbayar yang diperkenalkan oleh pakatan penghuni 3 Puteri ini. ( Untuk makluman, sehingga tarikh hari ini, hanya 2 orang sahaja yang berterus-terang memberitahu saya bahawa mereka tidak bersetuju dengan program ini dan tidak mahu bayar yuran bulanan). Saya cukup menghormati pengakuan jujur mereka ini. Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan 3 Puteri sendiri tidak pernah memaksa mereka dan tuan untuk membayar yuran bulanan tersebut. Cuma dalam hal ini, mereka lebih terhormat berbandingkan diri tuan. Bagi saya, tuan adalah seorang yang penakut alias bacul kerana sering berbunyi di belakang pokok..takut nak bersemuka dan suka melontar batu lalu sembunyikan tangan..

Ayuh tuan..kenapa perlu takut untuk berhadapan dengan orang macam saya? Dari segi fizikal, tuan jauh lebih besar daripada saya..apatah lagi dari segi pengaruh dan kekuatan sokongan..Datanglah sama ada ke rumah saya atau pun ke surau supaya kita boleh bertentang mata dan menjernihkan apa-apa yang keruh..Buanglah segala kekusutan di dalam hati tuan, serta egoism yang membaluti hati yang semakin mengotor tu..

Akhir kata, saya sentiasa mendoakan agar tuan dan mereka yang mungkin satu team dengan tuan sentiasa diberikan hidayah oleh ALlah SWT. Kembalilah semula kepada kesucian Islam dan bertaubatlah serta berazamlah untuk tidak lagi bersama dengan kejahatan dan kezaliman manusia sesama manusia...sesungguhnya ALah SWT amat gembira dengan taubat hambaNya yang telah terlalu jauh tersesat dari jalan kebenaran.

Jalan kebenaran telah lama terbentang di hadapan tuan..cuma hati tuan sahaja yang masih enggan menerimanya. Adakah kerana perut terlalu banyak bercampur benda-benda haram atau sengaja nak tunjuk kesamsengan tuan di hadapan ALlah SWT? Hanya Dia yang mengetahui segala-galanya.

Ustaz Haji Kamal bin Ismail.

1 comment:

  1. Teruskan Ustaz, nak buat baik memang banyak cabarannya,tapi yakinlah Allah tidak akan mensia-siakan ganjaran orang yang memperelokkan amalannya.
    Jika pengirim surat tu berniat baik, pasti Allah beri ganjaran. Tapi ingat, syaitan amat bijak menghiasi perbuatan anak Adam sehingga dia perasan kononnya perbuatannya itu baik..!!
    Sama-samalah kita berlindung dengan Allah dari kejahatan bisikan syaitan dari kalangan jin dan manusia... (Saya tak kata pengirim surat tu syaitan..)

    ReplyDelete