Wednesday, February 9, 2011

MAKLUMAN KELAS BAHASA ARAB UNTUK DEWASA

Sukacita dimaklumkan bahawa Pertubuhan Khairat Bandar Warisan Puteri akan menganjurkan Kelas Bahasa Arab Untuk Dewasa Kelas Mode Hujung Minggu bagi tempoh pembelajaran selama 4 bulan, bermula 05 Mac 2011 akan datang.

Kepada individu yang berminat untuk mengikuti kelas tersebut, sila daftarkan nama anda melalui SMS ke no 017-6150169 ( Ust Hj. Kamal ).

Kelas akan diadakan pada setiap Sabtu dan Ahad, jam 3.00 - 4.15 petang. Bayaran yuran pengajian ialah sebanyak RM150 sahaja.

Saturday, December 4, 2010

SELAMAT MENYAMBUT AWWAL MUHARRAM 1432

Menjelang maghrib hari Isnin, 06 Dis 2010, berdetiklah masa pemisah yang akan menamatkan tahun 1431 dan memulakan 1432. Sedar tak sedar, dah nak masuk tahun baru rupanya..tapi, biasalah..mana mungkin sambutan awwal Muharram dapat menandingi kemeriahan sambutan awal Januari?

Tarikh 30 Zulhijjah adalah merupakan hari terakhir saya di surau ini memegang jawatan sebagai Imam 1. Kontrak 2 tahun seperti yang diamanahkan.. Entahlah, setakat mana agaknya amanah yang saya pegang tu dapat dilaksanakan.. tapi, saya dah mencuba melakukan yang terbaik. Kalau ada juga rasa tak puas hati di kalangan jemaah, itulah kelemahan yang saya terpaksa akui..ye lah..saya pun manusia yang ada kelemahan.

Sebagai renungan bersama, selama 2 tahun di surau ini, saya sangat bersyukur kerana banyak masa saya dihabiskan untuk sama-sama berkongsi ilmu dengan ahli jemaah. Antara kuliah pengajian yang telah saya jalankan ialah :

Fiqh Solat
Kuliah Pengurusan Jenazah
Fiqh Jinayat
Riadhus Solihin
Al-Jauharul Mauhub Wa Munabbihaatul Qulub
Munyatul Musolli
Tafsir Surah Al-Baqarah ( sempat hingga ayat 110 sahaja )

Insya'ALlah..selepas ini, saya akan kembali seperti dahulu..bebas ke mana sahaja saya suka untuk mengembara mencari ilmu.

Kepada rakan jemaah, mohon dimaafkan andainya ada salah silap saya sewaktu menyampaikan kuliah.

Ust Hj. Kamal bin Ismail
04 Dis 2010

Monday, November 8, 2010

PERKHEMAHAN ANAK-ANAK WARISAN

Sekiranya tiada apa-apa halangan, satu perkhemahan khas untuk anak-anak Warisan Puteri akan diadakan di padang Taman Permainan Desa Puteri Emas pada 13 November 2010 ( Sabtu ) akan datang.

Penyertaan terbuka kepada semua anak ( umur 4 tahun hingga 13 tahun- lelaki dan perempuan ) dan ibu bapa (termasuk bibit sekali) yang mendiami Bandar Warisan Puteri, tetapi keutamaan adalah kepada anak-anak Desa Puteri Emas, Anggun dan Cahaya.

Bayaran sebanyak RM10 dikenakan untuk makan malam dan sarapan pagi.

Khemah untuk anak-anak disediakan oleh penganjur. Khemah untuk ibu bapa atau bibit hendaklah dibawa oleh ibu bapa sendiri.

Antara pengisian dan tentatif program :

6.00 petang
Pendaftaran peserta

7.00 malam
Solat maghrib berjemaah di padang
Kuliah Maghrib

7.30 malam
Makan malam

8.15 malam
Solat Isya'

8.45 malam
Tayang Video@Wayang Pacak

10.00 malam
Barbeque

11.30 malam
Tidur

4.00 pagi esok
Qiyamullail

5.45 pagi
Solat Subuh

6.30 pagi
Senaman 1 Malaysia

7.30 pagi
Sarapan

8.30 pagi
Bersurai dan balik sambung tidur.

Apa-apa masalah, sila hubungi Ust Hj. Kamal. Penyertaan anak-anak mungkin dihadkan seramai 40 orang sahaja.

Thursday, October 28, 2010

TAHNIAH KEPADA DATO' SERI PERDANA MENTERI @ 'AMIRUL MUKMININ MALAYSIA'

Ketika masyarakat pening kepala memikirkan cara bagaimana nak selesaikan masalah sosial yang semakin menggila di negara, khalifah negara Islam kita, 'Amirul Mukminin' Dato' Seri Najib Razak melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) telah mengeluarkan cadangan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan malam, dengan alasan untuk memacu industri pelancongan negara. Antara langkah untuk mencapai hasrat tersebut ialah dengan menubuhkan kelab-kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama dan melonggarkan garis panduan untuk penghibur luar negara.

Apa ni wahai tuan 'Amirul Mukminin'? Apakah cadangan ini telah dibawa ke meja perbincangan dengan Mufti, panel syariah, penasihat agama, JAKIM atau sekurang-kurangnya dengan kumpulan ulama muda UMNO? Mereka semua tu dah setuju ke? Janganlah buat sesuatu tu nak ikut kepala sendiri sahaja.. Fikirkanlah implikasi negatifnya ke atas masyarakat dan hamba rakyat.

Kes remaja berzina, buang anak, anak tumbuk ibu sendiri sampai koma, anak pulaukan mak bapak sendiri, kemiskinan rakyat hingga terpaksa berumahtangga di bawah jambatan dan banyak lagi yang perlukan penyelesaian.. tiba-tiba tuan 'Amirul Mukminin' nak suburkan budaya hiburan malam pulak?

Bukan saya seorang sahaja yang bengang dan hairan..benarlah seperti kata Dr. Osman Maamor dari PPIM, kalau macam ni lah gaya pemerintahan dan pendekatan mesra rakyat tuan 'Amirul Mukminin' kita sekarang, just wait for the next PRU je laah..kita bungkus semua yang tak guna dan digantikan dengan mereka yang lebih berfikiran untuk mengislahkan rakyat..

Harap tuan 'Amirul Mukminin' kita tidak lagi mengeluarkan idea-idea seperti ini seperti cerita penganjuran busana Islam naungan 'Ummul Mukminin' di Monte Carlo baru-baru ini..hancur dan malu kita semua sebagai rakyat negara Islam Malaysia.

Monday, October 25, 2010

CADANGAN MEWUJUDKAN KLINIK AL-QUR'AN DI SURAU

Sewaktu diadakan Karnival 1Halal di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, baru-baru ini, saya sempat membawa keluarga ke sana untuk melihat dengan lebih dekat apa pengisian dan program yang dijalankan.

Dalam banyak gerai yang ada di sana, saya tertarik dengan satu sudut bertulis "KLINIK AL-QUR'an". Ada satu meja panjang dan 3 pasang kerusi yang saling menghadap antara satu sama lain. Kelihatan 3 anak remaja yang suci air wajahnya - bersedia untuk mendengar dan menegur bacaan Qur'an daripada pengunjung yang singgah di meja tersebut. Tiada bayaran dikenakan bahkan saya yang sempat singgah dan memperdengarkan bacaan Quran, sebaliknya diberikan cenderahati pula !

Klinik Al-Qur'an.. itulah yang tergambar di dalam fikiran saya hingga ke hari ini. Satu langkah baru untuk membantu saudara dan sahabat yang ingin membetulkan bacaan Qur'an mereka.

Minggu ini, saya memulakan 'test market' Klinik Al-Qur'an di sekolah saya. Bilik guru menjadi pilihan. Meja rehat guru di tengah-tengah bilik guru, saya jadikan sebagai kiosk Klinik Al-Qur'an. Sesiapa dari kalangan guru yang free, silalah datang. Buka sahaja Al-Qur'an di hadapan saya dan perdengarkanlah.

Alhamdulillah.. ada juga sambutannya. Tidak lama..cuma sekitar 2-3 minit sahaja bagi setiap seorang yang datang. Bagi saya, itulah sebahagian sumbangan yang saya mampu hulurkan untuk sahabat-sahabat dan rakan sekerja..

Insya'ALlah, jika masih diberi kekuatan, saya akan buka klinik cawangan saya di surau kita tidak lama lagi..

Tuesday, September 28, 2010

IKLAN TERKINI KELAS PENGAJIAN AGAMA HARIAN SEMPENA CUTI SEKOLAH

Insya'ALlah, Biro Pendidikan dan Dakwah, Surau Al-Hidayah, Bandar Warisan Puteri akan menganjurkan Kelas Pengajian Agama Harian khas untuk anak-anak tahap II sekolah rendah daerah Seremban ( lelaki dan perempuan ) pada musim cuti persekolahan akhir tahun ini.

Kelas tersebut akan bermula pada 22 November hingga 24 Disember 2010 ( jumlah hari belajar : 25 hari ), setiap Isnin hingga Khamis, jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang dan hari Jumaat, 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Seramai 6 orang guru agama dan seorang guru pakar Bahasa Inggeris akan dijemput untuk menjayakan kelas ini.

Antara pengisian kelas ialah :

Bacaan dan hafazan Quran

Amali Solat

Latihan Imam Kecil

Latihan Puasa Sunnat Isnin dan Khamis

Syarahan dan Kuliah Agama

Ibu bapa atau penjaga yang berminat untuk menghantar anak-anak mengikuti kelas ini, bolehlah mendapatkan pamplet dan borang penyertaan daripada Ust Hj. Kamal. Bayaran penyertaan ialah RM150 sahaja ( tidak termasuk makan minum ).

Penyertaan terhad kepada 30 orang sahaja. Tarikh tutup ialah pada 15 November 2010 tetapi bergantung kepada sistem 'FIRST COME, FIRST SERVE' atau 'SIAPA CEPAT DIA DAPAT'. Penyertaan akan ditutup sebaik sahaja mencukupi 30 orang peserta.

Sekian, untuk makluman tuan/puan jua.

Sebarang pertanyaan, sila hubungi : Ust Hj. Kamal, 017-6150169

Wednesday, September 1, 2010

SIAPAKAH AULA DILANTIK SEBAGAI IMAM ?

Seorang ahli jemaah bertanyakan saya mengenai ciri-ciri seseorang yang layak diangkat (dilantik) menjadi imam solat fardhu, terutamanya sebagai imam di masjid atau surau. Perkara ini sudah pun saya huraikan panjang lebar dalam kuliah Fiqh As-Solat pada tahun lepas. Alhamdulillah, kuliah tersebut telah pun selesai setelah berlangsung selama kira-kira setahun 3 bulan. Saya fikir semua jemaah dah faham atau tahu..tapi nampaknya masih ada lagi yang bertanya. Tak apalah..jangan kelorek ilmu, mungkin si penanya tadi tak berpeluang mengikuti kuliah saya tersebut.

Dalam keadaan berjemaah (lebih dari seorang), tak kiralah di mana pun, apabila hendak didirikan solat, maka hendaklah didirikannya secara berjemaah. Lantiklah salah seorang dari kalangan kita supaya menjadi imam solat. Orang yang hendak kita lantik jadi imam itu, ada syarat atau keutamaannya. Jangan pakai tolak jadi imam kepada sesiapa ikut suka hati kita sahaja. Parah nanti kalau tertolak orang yang tak boleh jadi imam..nanti dibantainya solat Zohor 7 rakaat, siapa yang nak dipersalahkan?

Hadith Riwayat Imam Muslim bahawa Nabi SAW telah menggariskan beberapa ciri atau syarat seseorang nak dilantik jadi imam. Sabdanya : " يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ وَأَقْدَمُهُمْ قِرَاءةً فَإِنْ كَانَتْ قِرَاءَتُهُمْ سَوَاءً فَلْيَؤُمَّهُمْ أَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً فَإِنْ كَانُوا فِي الْهِجْرَةِ سَوَاءً فَلْيَؤُمَّهُمْ أَكْبَرُهُمْ سِنًّا .."

Berdasarkan hadith di atas, antara syarat keutamaan kelayakan imamah seseorang itu ialah :

1) paling mahir membaca Al-Qur'an - dari segi sebutan, tajwid, makna, banyak hafazannya dan apa-apa yang berkaitan dengannya.

2) orang yang paling faqih (tahu dengan mendalam) tentang hukum-hakam berkaitan dengan solat (Ilmu Fiqh As-Solat)

3) orang yang paling awal berhijrah atau menetap di sesebuah kawasan perumahan/penempatan tersebut.

4) lebih tua umurnya.

Sebenarnya ada banyak lagi..kalau tak silap saya hingga 12 ciri semua sekali..termasuklah yang paling manis wajahnya, paling kemas dan cantik pakaiannya dsb.

Sekiranya solat itu didirikan di dalam masjid atau surau yang ada imam lantikan (imam rawatib), sama ada oleh Majlis Agama atau persetujuan majoriti penduduk setempat, maka syarat lantikan tersebut mengatasi semua 4 ciri keutamaan di atas.

Jelasnya, kalau kat surau kita dah ada imam yang dilantik (imam rawatib), kita tak boleh memandai-mandai mengkehadapankan diri kita untuk jadi imam melainkan setelah mendapat izin daripada imam lantikan tersebut..walaupun alasan kita ialah : imam tersebut kurang baik bacaannya atau akhlaknya tak disukai oleh orang ramai, atau imam rawatib tersebut hanya lulusan SPM sedangkan kita adalah graduan universiti seberang laut..atau mungkin kerana merasakan diri kita lebih baik dan lebih layak untuk jadi imam. Hukum dalam Fiqh Solat tetap mengatakan TIDAK BOLEH ! Seorang pemegang Phd sekali pun, apabila dia solat di masjid atau surau, wajiblah dia berimamkan imam rawatib masjid/ surau tersebut meski pun imam itu hanya lulusan SPM sahaja..

Tapi kalau ketika nak solat tu tiada imam rawatib, pandai-pandailah jemaah pakat lantik dari kalangan mereka, siapa yang paling layak..dengan berpandukan turutan tertib ciri keutamaan seperti disebutkan tadi. Berlapanglah dadalah kalau tak dipilih..

Saya pernah dengar satu peristiwa di sebuah surau, ada ahli jemaah yang dah sampai kat surau, lari pulang ke rumah semula kerana tak puas hati dengan imam yang dilantik. Janganlah sampai macam tu sekali.. Kut ada tak puas hati tu, just slow talk dengan imam tadi..kalau ada benda yang kurang, boleh kita tegur cara baik dan suasana persaudaraan. Kalau kita tak tegur, sampai bila imam tu nak tak tahu dia punya salah? Tegurlah..tapi biar berhemah. Kalau silap imam dalam solat pun, kita boleh tegur, takkan di luar tak boleh kot..

Sedikit tambahan : Ada yang kata bahawa seseorang itu tak layak jadi imam kerana dia tak ingat periwayatan sesebuah hadith. Ni ambil dari kitab mana lah pulak?.. Kacau betul apabila ada manusia jahil cuba-cuba nak berlagak alim. Ajak datang mendengar kuliah, tak mahu..tapi bila orang cakap pasal agama, alih-alih dia pulak yang lebih..mengalahkan ustaz lah pulak!

Wednesday, August 25, 2010

TAWARAN MENGIKUTI KELAS BAHASA ARAB

Dimaklumkan bahawa Biro Dakwah dan Tarbiyyah, Surau Al-Hidayah akan mengadakan Kelas Bahasa Arab khas untuk guru-guru Pendidikan Islam, pegawai-pegawai masjid/surau serta individu-individu yang berminat.

Maklumat kelas berkenaan adalah seperti berikut :

Tarikh Mula
19 September 2010

Hari dan Masa
Setiap Sabtu, minggu pertama dan ke-3, jam 9-11 pagi dan Ahad, jam 8-10 pagi.

Tempoh Masa
24 jam ( 12 kali pertemuan ) - Modul 1

Tempat
Surau Al-Hidayah, BWP.

Tutor
Ust. Hj. Kamal bin Ismail

Buku yang Digunakan
At-Tathbiq An-Nahwiyyu oleh Dr. Abduh Ar-Raajihi

Yuran
RM 150 sahaja

Sesiapa yang berminat, bolehlah menghubungi Ust Hj. Kamal di talian 017-6150169. Terhad kepada 30 orang peserta sahaja.

Friday, August 13, 2010

LAPAR SEHARI KENYANGNYA SEMINGGU

Ramadhan menyimpan seribu hikmahnya yang tersebunyi. Hanya yang ada mata akal sahaja yang dapat melihatnya dengan jelas.

Mengapakah ALlah mewajibkan kita berpuasa? Saja-saja nak seksa kita supaya lapar kah? Of course ALlah tidak sezalim itu.. Tentu ada hikmahnya. Jom kita sama-sama fikit melalui mata akal pemberian ALlah agar kita dapat memahami rahsianya.

Objektif utama puasa ialah meningkatkan ketaqwaan hambaNya. Jelas seperti dinyatakan dalam Quran. Objektif sampingan pula (tetapi masih berkait dengan objektif utama) ialah supaya kita dapat merasai dan menyelami penderitaan orang-orang fakir atau miskin yang jarang-jarang bertemu nasi atau makanan-makanan lain. Sebab itu, sepanjang kita berpuasa, kita tidak dibenarkan makan dan minum..supaya kita rasa kelaparannya. Dengan demikian, tujuan puasa pada sebelah siang mungkin dah tercapai. Tetapi bagaimana dengan malamnya? Maksud saya, sejak berbuka puasa hinggalah kita bersahur.. Apakah kita masih lagi merasai dan menyelami penderitaan si fakir miskin?

Jawablah dengan jujur..betul ke kita berbuka dan bersahur sama seperti mereka? Cuba perhatikan cara kita berbuka..dengan aneka jenis makanan hingga tak cukup ruang meja makan. Air sahaja 5 jenis..belum lagi kuih-muih..makan berat ada, makan ringan ada, pencuci mulut pun ada..pendek kata : Full complete package!!

Time bersahur pun macam tu..sama seperti semasa berbuka tadi..jadi, macamana agaknya kita nak merasai sebagaimana orang-orang miskin berpuasa? Kita puasa dengan makanan sahur yang mampu mengenyangkan hingga seminggu.. Agak-agaknya tercapai tak objektif sampingan ini mengikut pandangan ALlah SWT? Sama-sama kita fikirkan..tapi kata Imam Al-Ghazali, kalau perut sentiasa kenyang, akal tentu tak dapat berfungsi dengan sempurna lagi..

Wednesday, August 11, 2010

AHLAN YA RAMADHAN

Syukur Alhamdulillah..Ramadhan yang ditunggu akhirnya muncul. Semoga kehadiran Ramadhan tahun ini membawa seribu maksud menuju ke arah keinsafan diri sebagai seorang hamba ALlah.

Malam tadi bermulalah solat terawih..satu-satunya solat yang cuma wujud dalam bulan Ramadhan, tidak di dalam bulan lain. Seperti dijangkakan, ramai penduduk yang datang bersolat, hinggakan melimpah ke luar. Kanak-kanak pula, tak payah cerita le..riuh-rendah mereka menambahkan lagi keceriaan malam Ramadhan. Tapi kadang-kadang ada juga rasa nak marah kerana suara gurauan mereka yang mengganggu jemaah yang sedang bersolat terawih. Ye lah.. dah nama pun kanak-kanak. Kita dahulu pun, mungkin lebih teruk daripada mereka.

Tahun ini, giliran bertugas imam solat terawih telah siap ditampal. Antara yang bertugas ialah Ust Hj. Shafie, Ust A'lim, Ust Hj. Hishamuddin, Ust Hj. Zainal Ariffin, En. Zamri (Pusat Zakat), Tuan Hj. Mokti, Ust Zawawi dan saya sendiri. Cuma kali ini saya sengaja tak nak banyak bertugas kerana bimbang sekiranya pisang berbuah lima kali lagi. Luka akibat kata-kata sebahagian manusia yang melabelkan saya dengan macam-macam gelaran pada Ramadhan tahun lalu masih terasa lagi hingga kini. Biarlah kali ini saya jadi makmum pula. Sebenarnya lebih seronok jadi makmum daripada jadi imam. Itu petikan dari seorang sahabat saya. Katanya :"Bila imam sedang bertazkirah atau berwirid, kita para makmum ni boleh tidur sekejap. Tapi imam boleh ke buat begitu?".. Lawak Ramadhan aje tu..!

Apa-apa pun, sama-samalah kita memeriahkan Ramadhan dengan menghadiri surau kita pada setiap lima waktu solat. Lagi baik kalau ada yang nak berqiamullail sampai ke waktu sahur..

Selamat berpuasa dan pastikan puasa kita kali ini mendapat markah penuh daripada ALlah SWT.