Tuesday, June 29, 2010

KULIAH UST NASARUDDIN ALI DI SURAU AL-HIDAYAH

Assalamualaikum w.m;

Saya tidak berhasrat untuk mengulas isu Al-Fadhil Ust Nasarudin Ali dan tulisan-tulisan di dalam blog Al-Fadhil Ustaz Hishamuddin Mansor. Meskipun ramai sahabat yang bertanyakan pandangan saya, jawapan saya ialah : Diam adalah lebih baik !

Zaman sekarang, seperti kata Nabi SAW adalah zaman yang penuh dengan fitnah dan ujian. Manusia semakin hari semakin bergerak menuju ke arah kejahatan. Tidak kira mereka ini ulama' mahupun juhala'. Kejahatan ulama' tidaklah sama sekali serupa seperti kejahatan juhala' kerana setiap ulama' yang melakukan seseuatu kejahatan mempunyai dalil dan nas yang tersendiri untuk menghalalkan kejahatannya. Maka, sewajarnya kita perlu amat berhati-hati dan berwaspada dengan kejahatan mereka ini.

Apabila berlaku sesuatu tuduh-menuduh atau fitnah-memfitnah, kita jangan cepat melatah lalu mengiyakan apa sahaja yang orang kata. Islam mengajar kita supaya hendaklah kita siasat perkara tersebut terlebih dahulu dan jangan menelannya secara bulat-bulat. Orang yang menyampaikan berita atau menolong memanjangkan berita itu pula, hendaklah dia bertanggungjawab dengan kebenaran berita tersebut serta sanggup bersedia untuk memikul dosa penipuannya sekiranya dia adalah pembohong. Pembohong yang bersumpah atas nama ALlah SWT semata-mata untuk menegakkan kebohongannya, maka bertambah lipat gandalah dosanya -dosa sesama manusia dan dosa kepada ALlah.

Malam semalam, saya ke Masjid Sendeng mengikuti kuliah mingguan Ust Nasaruddin. Tujuan saya ialah untuk mempelawa beliau sebagai salah seorang tenaga pengajar atau pengkuliah di Surau Al-Hidayah, lebih tepat lagi supaya beliau dapat mengisi malam kuliah saya yang akan saya kosongkan tidak lama lagi. Alhamdulillah, Ust Nasaruddin akan meneliti jadual kuliah beliau dan akan menghubungi saya tidak lama lagi.

Sunday, June 13, 2010

KEM TUNAS SURAU SIRI 2

Biro Dakwah dan Pendidikan, Surau Al-Hidayah, BWP akan menganjurkan Kem Tunas Surau Siri 2 sepertimana butiran berikut :

Tarikh : 18-19 Jun 2010 ( Jumaat - Sabtu )
Tempat : Hutan Lipur Ulu Bendul, Kuala Pilah.

Jumlah Penyertaan : 40 orang sahaja ( anak-anak lelaki berusia 8-12 tahun)
Bayaran : RM10 untuk Tunas Surau yang telah berdaftar dan RM30 bagi BUKAN Tunas Surau.

Maklumat lanjut, sila hubungi Ust Kamal atau datang je terus ke surau..dapat lah solat jemaah sama-sama.

Monday, April 19, 2010

RESPON SYOR PENAMBAH-BAIKAN SURAU

Baru-baru ini, saya ada menerima satu emel daripada salah seorang ahli jemaah surau. Beliau bertanyakan saya mengenai keadaan surau kita yang semakin hari semakin malap dan tidak seperti tahun 2009 yang lalu. Kata pengirim emel tersebut, pada 2009, surau kita banyak mengendalikan aktiviti sama ada dalaman mahupun luaran.

Disamping itu juga, beliau memberikan beberapa syor untuk menambah-baikkan lagi sistem pengurusan surau dan pemantapan program pengimarahannya (salinan emel tersebut telah saya tampal pada papan putih di surau tetapi telah dikoyakkan oleh tangan-tangan yang tidak dapat menerima teguran membina).

Selaku Imam 1 di surau ini, saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pengirim emel tersebut. Pihak surau sentiasa terbuka untuk menerima apa sahaja cadangan, komen dan nasihat daripada semua jemaah. Inilah konsep "Addin An-Nasihah" dan "At-Ta'awun 'Alal Birr Wa Taqwa"..

Saya serahkan semua cadangan yang diterima kepada Setiausaha Surau, Cikgu Hussin Yaakop, yang bertindak sebagai jurucakap dan 'orang penting' surau. Saya tidak dapat bertindak sendirian, kerana apa sahaja keputusan yang hendak dilakukan, ia mestilah dilakukan di dalam mesyuarat JK Surau. Cuma malangnya, mesyuarat JK Surau yang dicadangkan akan diadakan sebulan sekali, sampai hari ini masih tidak ada lagi.

Saya teringat satu kata-kata : Mati hidupnya sesebuah surau itu banyak kebergantungannya kepada keaktifan setiausahanya. Saya tak tahu nak ulas, cuma saya berharap setiausaha kita akan dapat memainkan peranan yang lebih aktif lagi. Kita tahu dengan kesibukan tugasan masing-masing, tapi janganlah menjadikan alasan sibuk untuk tidak mahu bekerja atau menjalankan kewajipan.

Wallaahu A'lam!

KURSUS IMAM DAN BILAL

Dimaklumkan bahawa Biro Dakwah dan Tarbiyyah Surau Al-Hidayah dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan akan menganjurkan Kursus Imam dan Bilal pada (insya'ALlah) akhir bulan April ini.

Sehubungan itu, semua yang berminat untuk mendalami ilmu "keimaman dan kebilalan" ini, dijemput hadir. Bayaran penyertaan : Percuma, tetapi sumbangan ikhlas amat dialu-alukan.

Ust. Haji Kamal,
Imam 1,
Surau Al-Hidayah Bandar Warisan Puteri.

Wednesday, March 3, 2010

PERKHEMAHAN IBADAT SIRI 2/ 2010

Assalamualaikum w.m;

Untuk makluman semua pengunjung, terutamanya yang menetap di BWP atau kawasan persekitaran, Biro Tarbiyyah Surau Al-Hidayah akan menganjurkan satu lagi perkhemahan ibadat khas untuk anak-anak yang berusia antara 8-12 tahun, pada 13-15 Mac 2010 (Sabtu-Isnin) bertempat di perkarangan Surau Al-Hidayah, BWP.

Perkhemahan ini adalah kesinambungan daripada perkhemahan siri 1 yang pernah diadakan pada pertengahan Jun 2009 yang lalu.

Menurut pengerusi Biro Tarbiyyah, Ustaz Hj. Kamal bin Ismail, penempatan peserta program perkhemahan kali ini terbahagi kepada 2 pilihan, iaitu penginapan di dalam khemah (khemah milik peserta sendiri) dan penginapan yang disediakan oleh penganjur, iaitu sebuah rumah 2 tingkat yang DISEWA KHAS berhampiran (kira-kira 100 meter ) dari surau.

Bayaran :
Bagi peserta yang memilih untuk berkhemah, bayaran yang dikenakan ialah sebanyak RM 40 sahaja, manakala RM50 bagi penginapan di rumah sewa.

Tarikh tutup pendaftaran ialah pada 10 Mac 2010. Sebarang pendaftaran selepas tarikh tutup tidak akan dilayan.

Selama tempoh perkhemahan tersebut, peserta akan didedahkan dengan pelbagai bentuk pengisian antaranya ceramah motivasi, bengkel pembentukan peribadi diri muslim, amali solat, qiamullail, tasmik Al-Qur'an, aktiviti kemasyarakatan dan lain-lain lagi.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, sila hubungi Ustaz Hj. Kamal di talian 017-6150169. Sumbangan daripada orang ramai untuk menjayakan program ini turut dialu-alukan.

Monday, December 28, 2009

SELAMAT DATANG JEMAAH TABLIGH INDIA

Surau Al-Hidayah, pada 27-29 Disember 2009 telah menerima kunjungan seramai 5 orang anggota jemaah tabligh dari India. Kehadiran mereka sedikit-sebanyak telah mengimarahkan surau dengan program ziarah, bayan dan sebagainya.

Pihak surau memohon maaf sekiranya tidak dapat menyediakan keselesaan yang sewajarnya kepada mereka.




Monday, December 14, 2009

CERAMAH KHAS SEMPENA AWAL MUHARRAM/ MA'AL HIJRAH

MAKLUMAN TERKINI

CERAMAH KHAS SEMPENA AWAL MUHARRAM


Oleh
Dr. Ann Wan Seng,

Penolong Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan
Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma),
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Cawangan Putra,
Ahli Jawatankuasa Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan
Penasihat Asrama Baitul Ummah, asrama kanak-kanak yatim, fakir miskin dan mualaf di Taman Setapak Indah, Kuala Lumpur.

Tarikh & Masa
18 Disember 2009 ( Jumaat ), selepas solat Maghrib

Tempat
Surau Al-Hidayah, Bandar Warisan Puteri,
Sikamat, Seremban

Semua Muslimin dijemput hadir !

posting disediakan oleh
Ust. Hj. Kamal bin Ismail

SAH..PELETAKAN JAWATAN UST HJ KAMAL BERMULA AWWAL MUHARRAM 1431H

Akhirnya terjawab juga desas-desus yang berbicara tentang peletakan jawatan Ust Hj. Kamal sebagai imam 1 Surau Al-Hidayah. Perkara ini disahkan sendiri oleh beliau ditambah pula dengan surat maklumann yang ditandatanganinya sendiri yang ditampal pada white-board kecil yang terletak di dalam surau.

Ketika mengulas perkara ini, Ust Kamal memaklumkan bahawa peletakan jawatan beliau tidak ada kaitan langsung dengan tekanan daripada sesiapa termasuklah rakan cyber beliau yang sangat dihormati, saudara Orang Minyak dan Anak Mengkarung.

"Ketika dilantik jadi imam 1 kat surau ini, saya menerimanya kerana saya fikir ianya adalah untuk tempoh setahun sahaja..tapi tak sangka pula rupa-rupanya ia adalah untuk 2 tahun.."jelas beliau ketika saya hubunginya melalui telefon.

Peletakan jawatan beliau adalah untuk memberi laluan kepada bakat-bakat baru yang layak memimpin..

"Apa guna dengan jumlah ustaz-ustaz yang ramai di BWP ini, takkan tak ada seorang pun yang boleh menggantikan Ust Kamal dan sanggup pula mewaqafkan diri atau menghambakan dirinya kepada rumah ALlah (surau kita ini..)"demikian petikan kata-kata Pakcik Roslan sebaik sahaja selesai solat Isyak malam tadi.

Untuk makluman semua, sepertimana yang tertulis di dalam surat makluman peletakan jawatan Ust Kamal, beliau tidak akan memegang jawatan tersebut lagi mulai 01 Muharram 1431H ini..oleh yang demikian, perjalanan serta pengurusan surau selepas ini akan dikembalikan semula kepada tuan pengerusi serta AJK yang lain-lain.

Ust Kamal juga memohon ribuan kemaafan sekiranya selama tempoh beliau diberi amanah menerajui surau kita ini, terdapat salah dan silap yang tidak menyenangkan hati semua para jemaah.

Kami (termasuk semua AJK surau) merakamkan penghargaan terima kasih kepada Ust Kamal di atas semua usaha beliau terhadap surau selama ini. Memang betullah apa yang beliau maklumkan kepada saya pada awal Disember baru-baru ini bahawa program Tahfiz untuk 15 orang anak-anak BWP yang berlangsung selama sebulan ini adalah merupakan program yang terakhir yang dikendalikan oleh beliau serta beberapa orang pembantunya..

Insya' ALLah, sama-samalah kita menantikan ustaz yang bakal menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Ust Kamal. Ust Orang Minyak dan Ustaz Anak Mengkarung taknak ambil peluang ini ke?

Saturday, December 5, 2009

TAHNIAH - PERKAHWINAN ANAK PEREMPUAN PAK CHAD TOK BILAL

Pak Chad tersenyum gembira bersama anak perempuan sulongnya yang dinikahkan di Masjid Bandar Senawang pada 05 Disember 2009 (Sabtu), tepat jam 9.45 pagi tadi.

Pengantin perempuan bergambar bersama ibu yang tercinta, Puan Faridah.

Tahniah..Pak Chad sendiri yang mengakad-nikahkan menantunya sambil diperhatikan oleh Imam Masjid Bandar Senawang, merangkap kadi bertugas.
Insya'ALLah tahun depan nanti, bakal bergelar Datuk Chad.

KEKEBALAN VILLA SURIA DIUJI LAGI

Pagi tadi (05 Dis 2009 - Sabtu), sebaik saya selesai kuliah Subuh, Ust Hj Azzhar mengambil kesempatan memaklumkan kepada semua jemaah berkenaan kes pecah masuk yang terbaru, yang berlaku lebih kurang jam 4.45-5.30 pagi hari ini, dimana rumah no. 684 telah dipecah masuk, diikat semua penghuninya dan dilarikan beberapa barang berharga yang tidak diketahui jumlahnya.

Memeranjatkan, kerana rumah Ust Hj. Azzhar sendiri juga didapati ada usaha untuk pecah masuk namun tidak berjaya kerana disedari terlebih awal.

Kita ucapkan takziah kepada penghuni rumah berkenaan di atas musibah yang menimpa. Kepada rakan-rakan yang lain, lebih berhati-hatilah di lain masa demi untuk elakkan daripada kejadian seumpama ini berlaku kepada diri kita dan keluarga.